Ucapan Belanjawan Setiausaha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Dewan Rakyat Pada 26.10.2009 (Bahagian 2)
Tema bajet alternatif kami iaitu Merakyatkan Ekonomi Malaysia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan politik untuk demokrasi yang lebih besar malah mahu menjamin perbelanjaan kerajaan mampu dinikmati oleh rakyat yang membayar cukai sambil mengekang dasar kerajaan yang memihak kepada mereka yang mempunyai kepentingan politik sahaja sedangkan rakyat biasa berhak menerima bahagian masing-masing sejajar dengan sumbangan mereka dalam ekonomi dan keperluan kewangan rakyat.
Kami percaya dengan merakyatkan ekonomi Malaysia, kami mampu bukan sahaja membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik malah menetapkan dasar dan institusi yang boleh menjamin hak ekonomi rakyat negara ini walaupun siapa juga kerajaan yang memerintah. Dengan Merakyatkan ekonomi Malaysia, kami menggalakkan pencapaian matlamat membina kerajaan yang Cekap, Amanah serta Telus (CAT). Bajet alternatif Merakyatkan Ekonomi Malaysia bermatlamat memastikan dana awam dan pendapatan kerajaan disalurkan secara berkesan dan efektif bersandarkan kepada keperluan rakyat, memastikan projek awam disusun dan distrukturkan dalam mekanisma yang boleh menguntungkan rakyat berbanding pengendali yang mempunyai hubungan serta kaitan politik di samping membolehkan rakyat Malaysia menikmati lonjakan kebebasan ekonomi. Oleh itu, proses Merakyatkan ekonomi akan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu :
Teras I: Penyahpusatan fiskal
Ekonomi Malaysia sekian lama mengamalkan pendekatan pemerintahan birokrasi dan ditadbir secara keseluruhan oleh kerajaan pusat dengan peranan kerajaan negeri yang semakin berkurangan. Perolehan rakyat dan pendapatan cukai korporat dikutip oleh kerajaan pusat dan seterusnya pendapatan ini diagihkan kepada pelbagai kerajaan negeri menerusi geran per kapitan berasaskan perlembagaan serta pengagihan geran secara tertutup.
Malaysia ditubuhkan sebagai suatu Negara persekutuan yang menjamin hak-hak negeri bersekutu, tetapi, setelah 50 tahun berlalu, kita lihat kuasa politik dan kewangan semakin memusat di tahap kerajaan persekutuan. Dasar semasa telah mengakibatkan berlakunya ketidak seimbangan ketara antara bajet perbelanjaan kerajaan pusat berbanding kerajaan negeri. Sebagai contoh, pada tahun 1990, bajet perbelanjaan negeri yang digabungkan memberi tambahan sebanyak 25 peratus kepada perbelanjaan kerajaan pusat. Pecahan ini terus menurun dari tahun ke tahun selama lebih 20 tahun kepada 9 peratus pada tahun 2007.
Memandangkan bagaimana pendapatan dan perbelanjaan kerajaan negeri keseluruhan adalah dijana dan dicarum dari 13 negeri kesemuanya, adalah jelas bahawa perbelanjaan am rakyat bergantung tinggi kepada kerajaan persekutuan. Kerajaan persekutuan mempunyai bajet lebih RM200 bilion dalam tahun 2009, walhal rangkaian bajet negeri adalah kurang dari RM200 juta (Perlis) dan tidak mencecah RM3 bilion untuk negeri Sabah.
Dasar pemusatan dan keputusan membuat dasar tertutup itu boleh juga menyebabkan ketidak seimbangan antara kerajaan negeri di Malaysia. Sebagai contoh, agihan kepada kerajaan negeri dibuat berdasarkan dasar pilih kasih kerajaan pusat mengakibatkan hanya beberapa kerajaan negeri menikmati pengagihan lebih besar manakala beberapa negeri lain mendapat bahagian yang tidak adil.
Akibatnya, pelaksanaan dasar kerajaan dan ekonomi menjadi kurang berkesan dan tidak cekap ekoran tabiat birokratik pemindahan dana oleh kerajaan pusat kepada pembangunan tempatan sebenar. Perancangan berpusat juga menunjukkan kelemahan ketara dalam pembuatan keputusan yang lemah ekoran kegagalan untuk memahami keperluan dan keadaan sebenar soal pembangunan tempatan. Sebagai contoh, Kementerian Pengangkutan yang mengamalkan dasar pemusatan berlebihan gagal untuk melaksanakan polisi pengangkutan awam yang berkesan lagi cekap di peringkat bandar dan daerah di seluruh negara.
Justeru, bagi memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diserahkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan, keperluan dan situasi unik masing-masing. Dengan itu, kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi. Antara sektor yang mandapat manfaat daripada cadangan penyahpusatan dasar fiskal ialah pengangkutan serta keselamatan dalaman.
Dalam perkara ini, kami mencadang supaya perjanjian perkongsian cukai pendapatan dengan 20 peratus individu dan cukai perolehan korporat yang dikutip di negeri akan menjadi hak negeri. Bagi Selangor dan Pulau Pinang, perjanjian perkongsian pendapatan ini akan membolehkan masing-masing mandapat RM 3.2 bilion dan RM 600 juta. Formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan factor populasi, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
Negeri juga perlu diberikan hak untuk meminjam sehingga 50 peratus daripada pendapatan tahunan yang dijana daripada sumber sendiri, iaitu pendapatan yang diperolehi secara langsung oleh kerajaan negeri.
Cadangan kami untuk merakyatkan ekonomi menerusi penyahpusatan dasar fiskal boleh mendorong kepada perubahan teknikal dalam kerangka ekonomi Malaysia yang menjurus kepada lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara. Penyahpusatan fiskal juga akan memastikan pembangunan kawasan yang lebih seimbang berbanding Lembah Klang sahaja pada masa ini, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara.
Untuk menyediakan langkah permulaan ke arah pendemokrasian ekonomi menerusi penyahpusatan fiskal, kami menyeru supaya kerajaan pusat mula mengorak langkah kepada penganjuran sistem pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan menerusi pindaan perlembagaan persekutuan bagi membolehkan perkongsian kuasa fiskal yang lebih besar dengan kerajaan negeri. Ini akan memastikan pengagihan fiskal dan penggunaan oleh pihak berkuasa tempatan sementara kerajaan negeri akan terus bersikap telus dan bertanggungjawab sebagai oleh wakil yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat.