Budget Debate

Merakyatkan Ekonomi Malaysia – Pembinaan kapasiti (Bahagian 4)

By Kit

October 26, 2009

Ucapan Belanjawan Setiausaha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Dewan Rakyat Pada 26.10.2009 (Bahagian 4)

Teras III: Pembinaan kapasiti

Akhir sekali, DAP sangat menitik-beratkan pembangunan dan usaha menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk membantu negara mencapai status negara maju. Sebagai tambahan, bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global, beberapa rangkaian pendekatan akan diambil dalam sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkuran, kewangan, teknologi, keselamatan, tenaga dan alam sekitar untuk meningkatkan daya saing di peringkat serantau dan global.

Kelemahan daya saing negara kini sangat ketara. Sikap kerajaan yang terus mendabik dada dengan kejayaan lalu akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada ekonomi dan daya saing negara. Walau bagaimanapun, jika kita menerapkan unsur-unsur ketahanan dan peningkatan daya tahan, kerja keras dan inovasi, Malaysia akan mendapat kedudukan lebih baik untuk merebut peluang pertumbuhan ekonomi dunia. DAP mahu membangkitkan semula semangat daya saing kepada ekonomi negara menerusi penerapan daya juang lebih tinggi, lebih bertanggungjawab dan peningkatan tahap ketelusan. Oleh itu kita harapkan Belanjawan boleh bantu hapuskan miskin tegar samada yang dilakukan di Pulau Pinang yang telah menjaminkan sekurang-kurangnya RM500 setiap keluarga sebulan. Bantulah juga mereka yang perlukan kredit kad untuk “roll over” lebih baik daripada pinjam daripada Along. Sekiranya ingin kenakan caj, RM 50 terlalu tinggi ia harus dikurangkan kepada RM10. Cukai keuntungan hartanah atau RPGT sebanyak 5 peratus yang dicadangkan juga harus dibatalkan.

Tuan Yang di Pertua,

Saya ingin bertanyakan bahagian Pulau Pinang dalam Bajet 2010 Kerajaan Persekutuan berjumlah RM191.5 bilion yang merangkumi RM138.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM53.2 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan. Saya harap pecahan terperinci ikut Kementerian dan sektor boleh diberikan. Adalah diharapkan unjuran ekonomi GDP mengikut sektor, kadar inflasi dan pendapatan isirumah boleh diberikan.

Negeri Pulau Pinang adalah di antara negeri yang paling pesat membangun dan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia. Kadar purata pertumbuhan tahunan KDNK sebenar yang dicatakan dalam tempoh 1990-2000 ialah 8.2%. Adalah dijangkakan dalam tempoh 2001-2010 akan mencatatkan pertumbuhan KDNK melebihi 6.5%. Bagaimanapun ekoran daripada kemelesetan ekonomi global telah memberi kesan ketara ke atas kadar pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang di mana anggaran KDNK bagi tahun 2009 menyusut sehingga -3 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun 2008.

Sebagai negeri yang bergantung kepada sumber manusia, kita perlu membangunkan insan kreatif, inovatif dan pintar. It has been said small minds discuss people, average minds discuss events and great minds discuss ideas. We want to grow great minds with new ideas that makes your dreams come true.

Pulau Pinang berhasrat untuk menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi pilihan utama para pelabur, pelancong dan mempunyai kehidupan yang mapan (sustainable living). Kita perlu pengiktirafan antarabangsa dan urus tadbir CAT – Competency, Acountability and Transparency. Cekap, Akauntable dan Telus telah berjaya memerangi rasuah dan penyelewengan serta menjimatkan wang sehingga mendapat pujian Transparency International dan Laporan Ketua Audit Negara. UNESCO pun telah memberikan pengiktirafan kepada George Town sebagai Tapak Warisan Dunia yang menjadikan Pulau Pinang suatu pilihan pelancongan utama.

Di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di mana Pulau Pinang dikenalpasti sebagai hub logistik. Oleh itu perlu peruntukan sebanyak RM800 juta bagi mewujudkan Integrated Cargo Terminal (Terminal Kargo Bersepadu) di Pulau Pinang bagi mengendalikan perkhidmatan kargo di bawah satu pengurusan kargo yang berkesan, pembinaan 2nd runway kedua dan LCCT di Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri amat berharap agar siling peruntukan asal RMKe-9 sepertimana yang telah diluluskan untuk Projek Menaik Taraf Infrastruktur Asas Kawasan Perindustrian Sedia Ada Pulau Pinang berjumlah RM128.0 juta dapat dipenuhi semula oleh Kerajaan Persekutuan. Sehingga kini, jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima ialah RM71,797,000. Tambahan peruntukan yang dipohon adalah sebanyak RM56.2 juta bagi menampung keperluan pelaksanaan projek di Kawasan Perusahaan Perai I, II, III, IV dan Zon Perindustrian Bebas Perai serta Kawasan Perindustrian Bayan Lepas. Peruntukan ini adalah untuk melaksanakan projek infrastruktur asas seperti perparitan dan jalan ban bagi mengatasi masalah banjir di kawasan ini. Sekiranya dibiarkan berlarutan akan menjejaskan imej negeri Pulau Pinang terutamanya dalam usaha Kerajaan Negeri untuk menarik pelaburan asing ke negeri ini.

Penyenaraian George Town dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008 merupakan suatu yang yang amat membanggakan rakyat dan negara Malaysia. Pengumuman pemberian peruntukan sebanyak RM25 juta oleh Kerajaan Persekutuan masing-masing kepada George Town dan Melaka bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan sehingga kini masih belum disalurkan kepada Negeri Pulau Pinang. Adalah tidak adil Melaka disalurkan RM30 juta sedangkan tidak ada sesen pun diperuntukkan kepada George Town bila ia mengharumkan bukan sahaja Pulau Pinang tetapi juga Malaysia di pentas antarabangsa.

Kerajaan Negeri sentiasa memberi komitmen dalam pembangunan perumahan terutamanya perumahan kos rendah dan sederhana rendah untuk golongan berpendapatan rendah. Usaha dan komitmen kerajaan ini telah membolehkan seramai 30,829 pemohon ditawarkan rumah manakala 14,139 pemohon lagi masih dalam senarai menunggu untuk ditawarkan rumah. Sehubungan itu, kerajaan Negeri amat berharap agar 3 buah tapak cadangan bagi pembangunan PPR Dimiliki yang telahpun dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan diberi pertimbangan sewajarnya.

Di dalam menyelesaikan masalah projek terbengkalai pula, Kerajaan Negeri harap peruntukan daripada dana RM 200 juta boleh diberikan kepada 8 buah projek terbengkalai rumah awam di Pulau Pinang bagi menjamin kepentingan pembeli-pembeli perumahan tersebut.

Di bawah Rancangan Bandar Selamat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat janji pada tahun 2007 untuk membekalkan 48 CCTV untuk di pasang di kawasan-kawasan hitam yang telah dikenalpasti oleh pihak Polis. Tetapi sehingga kini pemasangan CCTV tersebut masih belum dilaksanakan. Memandangkan Kerajaan Negeri amat peka dengan isu keselamatan dan sebagai langkah untuk mencegah dan membenteras jenayah, pihak MPPP telah memasang 31 unit CCTV dengan peruntukan sendiri untuk memastikan rakyat Pulau Pinang bukan sahaja selamat tetapi merasi selamat juga.

Dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mempromosikan hasil keluaran mereka, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) ketika itu telah meluluskan peruntukan berjumlah RM9.0 juta. Peruntukan ini bertujuan menaik taraf Tapak Ekspo di Seberang Jaya yang telah berusia melebihi 10 tahun sebagai sebuah Pusat Pameran Perdagangan dan Pertanian di Pulau Pinang. Namun begitu projek ini juga mengalami nasib yang sama kerana ditangguhkan pelaksanaannya oleh MECD.

Melalui Kempen “Malaysia Cergas’, rakyat di negeri ini digalakkan agar bergiat cergas di dalam bidang sukan dan rekreasi bagi mewujudkan komuniti masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan berdisplin. Kerajaan Negeri ingin merayu agar projek-projek yang telah ditarik balik kelulusannya dan ditangguhkan pelaksanaannya oleh Kementerian Belia dan Sukan diaktifkan semula. Ini merangkumi Projek Pembinaan Dry Gym di Pusat Arena Sukan Antarbangsa Pulau Pinang (PISA) dan Projek Menaik Taraf Kompleks Sukan Bertam masing-masing diluluskan peruntukan berjumlah RM3.5 juta dan RM3.6 juta.

Penempatan semula pendudukan terlibat bertujuan memastikan Projek Menaik Taraf Sungai Pinang beratus juta di bawah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang dapat dilaksanakan dengan segera memandangkan masalah banjir kilat merupakan suatu fenomena yang tidak dapat dielakkan setiap kali hujan lebat, RM2.4 juta untuk tujuan pembaikan dan pembinaan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin, RM 3 juta untuk menaik taraf persimpangan Jalan Jarak-Padang Menora di kawasan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri..

Sebuah kerajaan berjiwa rakyat adalah berlandaskan prinsip 3P:-

Adalah diharapkan tema Kemakmuran Bersama dalam Belanjawan ini boleh dilaksanakan dengan memastikan semua rakyat diberikan layanan yang sama sebagai warganegara yang bermaruah. Jangan hanya sebut RM20 juta untuk skim Tekun bagi kaum India bila yang diharapkan ialah layanan yang adil kepada semua. Apa itu RM20 juta berbanding dengan keseluruhan Belanjawan RM191.5 bilion? Sepatutnya disebutkan berdasarkan keperluan bukanlah warna kulit.

Sekiranya 1 Malaysia yang didokong, mengapa cukai untuk knowledge workers di Iskandar dikurangkan kepada 15% bila di Malaysia masih dikekalkan 26%. Macam mana ini boleh selaras dengan semangat satu hati untuk satu Malaysia bila ada diskriminasi terhadap negeri selain daripada Johor. Saya harap semua negeri boleh menikmati insentif cukai 15% untuk mengelakkan gambaran Satu Negara, Dua Sistem!

Saya ingin akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun :

Malaysia Tercinta Negara Kita Adil Ditegak Rakyat Dijaga Anak Malaysia Harapan Bersinar Amar Maaruf Nahi Mungkar