Letters

Minyak Oh Minyak…!

By Kit

June 09, 2008

Letters by Dr. ASM

Harga minyak kita jauh lebih murah jika dibandingkan dengan negara jiran. Kenaikan harga tak dapat dielakkan lagi. Rakyat digesa ubah cara hidup. Itulah antara kenyataan yang menguasai dada akhbar dimasa ini. Semua ini seolah-olah memperbodohkan rakyat Malaysia.

Harga minyak kita jauh lebih murah dari negara jiran, Singapura, Thailand dan juga beberapa negara lain. Jangan bandingkan harga kita dengan negara jiran yang bukannya pengeluar minyak. Bandingkanlah harga kita dengan negara pengeluar minyak lain (Iran(0.35), UAE (1.19), Arab Saudi (0.38), Venezuela (0.16), Mesir (1.03), Bahrain (0.87), Qatar (0.68) , Kuwait (0.67), Nigeria (0.32) dll). Jangan fikir rakyat Malaysia bodoh dan mudah diperdayakan dengan fakta dan perbandingan yang tidak tepat.

Rakyat digesa ubah cara hidup. Kita disuruh ubah, tapi pemimpin semuanya masih berkereta mewah. Kerajaan sepatutnya ubah cara berbelanja. Tangguhkan dulu projek mega. Tukar semua kereta mewah kepada Proton Perdana. Barulah cakap serupa bikin.

Kerajaan tidak pernah menjawab soalan yang ditanya. Kita tanya, kemana pergi minyak yang dikeluarkan oleh negara kita sehingga kita terpaksa membayar harga minyak mengikut pasaran antarabangsa. Kerajaan jawab, harga pasaran minyak antarabangsa telah meningkat berlipat kali ganda. Tahun lepas USD40 setong sekarang mencecah USD140 setong. Kerajaan boleh bankrap jika subsidi diteruskan. Jawapan ini bukan sahaja diberikan oleh pihak menteri kerajaan bahkan oleh pakar-pakar ekonomi dan professor universiti yang kononnya ahli. Mungkinkah ahli pengampu kot. Kalau ikutkan teknik peperiksaan disekolah mereka semua ini akan gagal kerana jawapan yang diberi tidak menepati soalan. Lain yang kita tanya lain pula yang mereka jawab. Maklumlah pakar semuanya. Pakar apa, anda fikirkanlah sendiri.

Jadi, kalau nak tutup cerita ini senang sahaja. Jawab soalan yang ditanya: Kenapa harga kita jauh lebih tinggi daripada negara pengeluar minyak yang lain. Kenapa kita tak guna minyak kita untuk dalam negara terlebih dahulu sebelum diekspot apa jua lebihan keluar negara. Kemana dana atau keuntungan yang disumbang oleh Petronas dibelanjakan selama ini.

Kerajaan tidak perlu takut untuk berterus terang dengan rakyat. Rakyat bukannya tak berakal. Sekiranya jawapan yang diberikan tersebut memuaskan hati rakyat, maka mereka sudah tentu boleh menerimanya. Tetapi jika sebaliknya, maka perasaan tidak puas hati akan berterusan. Dan seperti biasa, rakyat akan tersenyum simpul. Ramai antara mereka hanya akan memendam perasaan dalam hati mereka. Tak semua yang berani untuk keluar memboikot dan protes dijalanan. Sampai masanya PRU-13 kita semua akan tahu apa yang perlu dibuat.