Letters

Kedaulatan Pulau Pisang

By Kit

May 23, 2008

Letters

by Azmi

Salam sejahtera YB, saya adalah seorang anggota TLDM yang pernah ditugaskan untuk memantau kehadiran petugas rumah api warga Singapura di Pulau Pisang. YB, Pulau Pisang adalah pulau yang tidak dihuni, dimana penduduk asalnya telah berpindah ketanah besar di Pontian, yang tinggal hanya dusun dan perkuburan yang tidak terjaga, Ia terletak di perairan Pontian Johor dan jauh daripada Singapura.

Persoalannya mengapa kita yang telah 50 tahun merdeka masih memerlukan bantuan Singapura untuk mengawal selia rumah api tersebut, adakah Jabatan Laut tidak berupaya untuk mengawal selianya. Disini saya ingin memaklumkan kepada YB, selama penugasan saya di pulau tersebut, kami tidak dibenarkan memasuki persekitaran rumah api, malah menggunakan jetinya juga dilarang apatah lagi memasuki kedalam rumah api. Maka sepanjang penugasan kami di sana, kami hanya memerhatikan dari jauh warga Singapura keluar masuk, tidak lebih dari itu.

Merujuk kepada kemenangan Malaysia keatas kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan adalah atas dasar pembangunan dan kawal selia Malaysia di pulau tersebut, begitu juga kehilangan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura juga atas alasan yang sama.

Tidakkah kerajaan Malaysia berasa risau dengan kedudukan Pulau Pisang yang mungkin akan dituntut haknya oleh Singapura pada masa akan datang (tidak sekarang, mungkin 50 tahun akan datang. Tuntutan keatas Pulau Batu Puteh pun dilakukan setelah puluhan tahun ia mengawal selia pulau tersebut). Ada atau tidak perjanjian antara Malaysia dan Singapura yang jelas menyatakan bahawa kehadiran Singapura di Pulau Pisang hanya mengawal selia rumah api sahaja.

Apakah para penasihat Kementerian Pertahanan atau Panglima Angkatan Tentera tidak sedar akan perkara ini. Tidakkah PAT terfikir, sekiranya berlaku konflik antara Malaysia dan Singapura, dengan mudah mereka boleh menempatkan pasukan elitnya di pulau ini. Mahukah kita buah pisang berbuah dua kali? kehilangan kedaulatan wilayah kepada pihak yang berada jauh dua kali ganda jaraknya daripada kita.

Saya amat berharap YB dapat memanjangkan persoalan ini kepada Menteri Pertahanan semasa persidangan parlimen.