Kafir Harbi dan Mufti Pahang


25 Jun 2016 | MUJAHID YUSOF RAWA
Malaysia Dateline

Mufti Pahang dinasihatkan bercermat dalam mengkategorikan orang bukan Islam dalam negara ini sebagai Kafir Harbi atas dasar mereka menentang Islam. Kenyataan umum demikian amat merbahaya dalam konteks pembinaan negara bangsa yang terdiri dari berbagai agama di Malaysia, apatah lagi diisyaratkan kepada parti politik tertentu.

Apakah yang didefinisikan sebagai alasan ‘menentang Islam’ sebelum Kafir Harbi dikategorikan? Apakah Sohibus Samahah Mufti Pahang mengandaikan memberi pandangan dalam konteks demokrasi dalam soal perundangan negara dan perlembagaan negara dalam hal pentadbiran Islam itu menentang Islam?

Mufti Pahang nampaknya keliru antara mengkritik isu pentadbiran Islam dengan menentang Islam, ia adalah dua perkara yang berbeza, malah kedudukan beliau sebagai mufti juga ditentukan oleh perundangan negara yang boleh dikritik dan dipertikaikan dari segi pentadbiran. Apakah Mufti menganggap dirinya yang ditentukan oleh pentadbiran sebagai ‘suci’ tidak boleh dikritik?

Mufti Pahang juga ketinggalan dalam fatwa terkini yang diterimapakai oleh dunia Islam bahawa pengkategorian hubungan Muslim dan bukan-Muslim dalam konteks kenegaraan atau Muwathanah ditentukan oleh prinsip kewarganegaraan atau kerakyatan yang diikat dengan undang-undang negara dalam memberi hak dan keadilan kepada semua warganya. Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hak mendapat keadilan undang-undang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, keturunan, bangsa dan tempat lahir.

Dr Yusof Qaradhawi dalam bukunya Al Jihad dan lain-lain ulamak berwibawa menjelaskan bahawa tiada sebab wujudnya Kafir Harbi dan Kafir Zimmi kerana hubungan antara negara dan dalam negara ditentukan oleh kedaulatan undang-undang negara masing-masing dan terikat di bawah piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Kafir Harbi dan Zimmi hanya wujud atas sebab dunia dibahagikan atas geo-politik masa itu antara Darul Harb dan Darul Islam. Tiada Darul Islam atau Darul Harb hari ini dalam konteks hubungan resmi antara negara mahupun dalam negara.

Implikasi Kafir Harbi ialah dihalalkan darah mereka dan semua harta dan barangannya dirampas dan mereka boleh dihalau keluar. Apakah Mufti sedar kenyataannya itu? Melainkan IS dan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Taliban, seluruh dunia Islam menafikan pengkategorian Harbi atau Zimmi ke atas bukan Islam dalam negara masing-masing dan digantikan atas pendekatan prinsip kerakyatan. Apakah Mufti Pahang mempunyai pandangan yang sama dengan IS?

Saya menuntut Mufti Pahang menarik balik kenyataan Kafir Harbi dalam konteks negara Malaysia yang menerima pakai pendekatan Fiqh Muwathonah (kefahaman kerakyatan) sebagai asas hubungan berbagai agama di negara ini. Kenyataan Sohibus Samahah menggalakkan kebencian antara kaum dan amat bahaya kepada integrasi nasional yang dipupuk selama ini. Lebih membimbangkan ialah kerangka pemikiran sempit Mufti boleh membawa kepada menularnya fahaman ekstrimisma di kalangan umat Islam sedangkan beliau adalah penjawat awam negeri.

Saya menasihati Mufti Pahang mengemaskini bacaannya tentang konsep kepelbagaian dalam Islam dan hubungan Muslim dan Non Muslim dalam konsep kerakyatan yang telah dibentangkan dalam seminar NUNJI 15 (Nadwah Ulamak Lil Nahdhah Jadidah) oleh Parti Amanah Negara. Malah saya berbesar hati mengundang beliau untuk membentang konsep Kafir Harbi dalam perspektif negara agar orang ramai lebih mudah melusuri pemikiran Sohibus Samahah dalam menjalankan tugasnya sebagai Mufti Negeri yang tertakluk kepada pentadbiran agama Islam negeri.

Sekian semoga Mufti Pahang menarik balik dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berbagai kaum di negara ini atas keterlanjuran kenyataannya tentang Kafir Harbi tanpa disiplin ilmu waqie (realiti) yang termaktub dalam kerangka negara bangsa Malaysia hari ini.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara dan Ahli Parlimen Malaysia

Print Friendly

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.