Pak Samad buat apa di Kuala Kubu Baru 3 hari?


Dinsman
The Malaysian Insider
30 September 2015

Suatu hari Ridzuan memberitahu saya – wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasannya, Yang Berhormat Lee Kee Hiong, ingin menjemput Sasterawan Negara A Samad Said atau Pak Samad datang ke Kuala Kubu Baru (KKB) dan tinggal di sana selama 3 hari.

Saya tak bertanya untuk apa atau apa tujuannya. Saya kenal siapa Ridzuan dan siapa Lee Kee Hiong, dan saya juga tahu KKB.

Jadi saya fikir saya tahulah apa tujuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tersebut hendak menjemput Pak Samad menjadi tetamunya di KKB selama 3 hari itu.

Ridzuan ialah aktivis seni-budaya yang aktif di KKB. Dulu, melalui Persatuan Seni dan Sastera (Sesama) yang berpusat di KKB. Dalam masa sama dia juga aktif bersama Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang berpusat di Gombak dan Shah Alam.
Setelah Sesama tidak lagi aktif, Ridzuan mengaktifkan Paksi di KKB, menganjurkan beberapa kegiatan seni-budaya yang mendapat dokongan daripada pihak Lee Kee Hiong. Sewaktu Paksi ber‘hening’ (retreat) 2 hari di KKB awal tahun, Ridzuan membawa Lee Kee Hiong bersembang-sembang seni-budaya sambil minum petang bersama Paksi.

Sementara itu Ridzuan juga mengambil alih pimpinan Persatuan Sejarah Kuala Kubu, berikutan meninggalnya pimpinan utama persatuan itu beberapa bulan lalu. Di bawah pimpinannya, misalnya, masyarakat KKB kini menjadi biasa dengan acara pelancaran buku dan juga bicara buku.

Ridzuan pun tak memberitahu tujuan apa A Samad Said hendak dibawa ke KKB itu. Maka saya kira tidaklah mereka ada tujuan tertentu yang istimewa. Hanya tujuan biasa sahajalah. Kalau ada tujuan istimewa tentulah Ridzuan akan bercerita.

Dia hanya tanya saya: “Boleh ke? Pak Samad mahu ke?”

Saya jawab: “Kalau ada program-program yang sesuai, saya rasa dia mahu. Baru-baru ini pun di Tanjung Sedili, program Hening Puisi, dia duduk bersama kita di sana 4 hari penuh.”

Maka selang beberapa hari kemudian Ridzuan memberitahu yang Pak Samad bersetuju. Hanya tarikh yang dicadangkan minggu pertama Oktober itu terpaksa ditunda ke minggu kedua, kerana beliau sudah ada acara lain di Kelantan.

Tarikhnya ialah 8, 9 dan 10 Oktober. “9 Oktober itu Jumaat kedua. Itu tarikh BPMS – Baca Puisi Madrasah Seni.”

Saya menjelaskan kepada Lee Kee Hiong, yang memang sudah mengetahui Paksi mempunyai program tetap baca puisi setiap bulan di Madrasah Tarbiyah Jalan Gombak itu. Dia pun hadir membaca puisi dalam BPMS September.

“Bawalah BPMS ke Dataran KKB, untuk bulan Oktober,” kata Lee. Nampak dia bersungguh-sungguh mahu menjayakan acara “Malam Ekspresi Seni” yang dicadangkan akan dibuat di Dataran KKB, sebagai satu acara dalam program 3 hari bersama Pak Samad di KKB itu.

Program 3 hari itu dinamakan “Seni & Masyarakat” (dengan tajuk kecilnya “3 hari bersama SN A Samad Said di KKB”). Idea di sebalik penamaan itu ialah untuk mendekatkan masyarakat kepada seni-budaya.

Bagaimanapun, ia dimulakan dengan acara yang agak ditujukan lebih kepada mereka yang sedia meminati seni-budaya, iaitu wacana mengenai “Falsafah dan Pemikiran Pak Samad”.

Acara ini dikendalikan oleh Dr Napiee Mat, penyair berasal Kelantan yang lama menetap di KKB, dan menjadi pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim.

Dr Napiee akan memulakan bicara mengenai falsafah dan pemikiran Pak Samad, berdasarkan karya-karyanya, dan kemudian akan meminta beliau sendiri menjelaskan beberapa perkara yang difikirnya penting. Acara pemula ini diadakan pada Khamis, 8 haribulan, 9 malam, bertempat di Galeri Sejarah KKB (Jalan Syed Mashor).

Acara kedua pada pagi Jumaat, 9.00 pagi, bertempat di Galeri Seni dan Sastera KKB, (ya ia sebuah pekan kecil tetapi ada galeri sejarahnya dan ada juga galeri seni dan sasteranya), akan berlangsung perasmian Pameran Lukisan Mansor A.Aziz.

Ini uniknya KKB. Bukan saja ada banyak bangunan-bangunan lama dengan pelbagai bentuk arkitekturnya, banyak pokok-pokok besar dan tinggi di sekitarnya, tetapi ada pula seorang pelukis yang setiap hari duduk melukis di bawah teduhan sebuah pohon berhampiran stesen bas dan pasar pagi pekan itu.

Dialah Mansor Aziz, yang diangkat oleh Persatuan Sejarah Kuala Kubu untuk mempamerkan karya-karyanya sempena kehadiran Pak Samad di pekan ini.

Selepas meraikan Mansor dengan karya-karyanya itu, Pak Samad akan di bawa oleh Lee Kee Hiong berjalan-jalan sekitar pekan KKB, dan kemudian ke perkampungan Orang Asal di Pertak, dan bertemu dengan seniman Antares (Kit Leee) yang menghuni di perkampungan tersebut sejak sekian lama.

Petangnya selepas solat Jumaat di Masjid Kuala Kubu Baru, 3.00 petang, saya akan bersama dengan Pak Samad, Lee Kee Hiong dan Kassim Muhamad (timbalan presiden Paksi) mengambil bahagian dalam forum “Bicara Tekad Budaya”, yang akan berlangsung di Dewan Merdeka KKB.

Tekad Budaya ialah suatu konsep yang sudah hampir sinonim dengan Seniman Paksi Rakyat.

Ia suatu fahaman yang percaya akan pentingnya peranan seni-budaya dalam masyarakat, bukan semata-mata untuk kepentingan seni-budaya itu sendiri tetapi untuk menimbulkan keharmonian dan keseimbangan antara kecenderongan berpolitik berlebih-lebih, dengan keperluan-keperluan lain dalam kehidupan manusia bermasyarakat dan bernegara.

Malamnya acara persembahan Ekspresi Seni, di Dataran KKB. Selain bacaan puisi oleh beberapa penyair jemputan (termasuk Pak Samad dan Prof Irwan) dan nyanyian lagu puisi, yang paling menariknya saya jangka ialah persembahan teater pendek (sekitar 30 minit), di bawah arahan Lena Farida Chin, pensyarah teater di Upsi.

Teater oleh Lena ini diharapkan dapat menghidupkan ingatan atau pencerahan terhadap sejarah awal Kuala Kubu, dengan memfokus kepada peranan dan perwatakan Syed Mashor.

Saya antara orang yang jahil mengenai peranan dan perwatakan Syed Mashor. Makanya tentulah menunggu-nunggu untuk menyaksikan persembahan ini.

Adapun faktor utamanya ialah kerana Lena itu sendiri. Saya pernah menonton “Nur” karyanya yang dipentaskan di Upsi, 5 Disember 2014, dan saya menulis mengenainya dalam kolum ini (31 Disember 2014), dan kerana itulah saya mahu menonton lagi teater yang dihasilkannya.

Program “Seni & Masyarakat” anjuran bersama Persatuan Sejarah Kuala Kubu dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) ini diakhiri dengan acara “Santai Seniman Bersama Pak Samad”, di The Woods, Ulu Yam, pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari, 10 Oktober.

Lalu di mana menariknya program ini? Bagi saya yang menariknya ialah peranan yang dimainkan oleh seorang Adun (Lee Kee Hiong), bagi melaksanakan sebuah program seni-budaya seperti ini. Beliau yang membuat inisiatif dan mencetuskan idea untuk membawa Pak Samad ke kawasannya.

Beliau memulakan sesuatu yang selaras dengan Tekad Budaya yang diperjuangkan oleh Paksi. Maka siapakah pula YB Adun selepas Lee Kee Hiong – menginisiatifkan sebuah program seni-budaya yang seperti ini? – 30 September, 2015.

Print Friendly

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.