Saya Melayu tapi saya tolak perhimpunan baju merah


— Mohd Fitri Asmuni
The Malay Mail Online
September 15, 2015

SEPT 15 — Perhimpunan “Baju Merah” tinggal 2 hari saja lagi untuk diadakan. Tarikh yang ditetapkan untuk Perhimpunan tersebut adalah pada 16 September 2015 iaitu tarikh yang sama dengan sambutan “Hari Malaysia”.

Pada tahun 2010, kerajaan telah mengisytiharkan 16 September setiap tahun sebagai cuti umum bagi seluruh rakyat Malaysia.

Pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum pada setiap tahun adalah satu initiatif kerajaan bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963 yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan telah digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, bertujuan bagi mewujudkan satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi diantara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Kerjasama ini juga dibentuk bagi menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau.

Setelah melalui proses rundingan yang panjang bermula sejak tahun 1961, Malaysia akhirnya ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963. Pada hari yang penuh bersejarah tersebut, teks pemasyhuran penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang berkumpul di Stadium Merdeka.

Diantara teks tersebut yang menarik untuk dikongsi di sini adalah: “…………… Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengistihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada 16 September 1963 bersamaan dengan 28 Rabiul Akhir 1383 Hijrah, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.”

Berdasarkan kepada teks pemasyhuran yang dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman itu, jelas bahawa hasrat penubuhan Malaysia ini adalah bagi menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kepada kebebasan dan keadilan serta bagi mempertahankan dan memelihara keamanan dan kemesraan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama.

Tetapi malangnya, Hari Malaysia yang sepatutnya diraikan dengan penuh keharmonian, keamanan dan kepelbagaian bakal dicemari dengan perhimpunan perkauman yang dinamakan “Perhimpunan Baju Merah”. Perhimpunan tersebut pasti akan menjejaskan matlamat asal sambutan Hari Malaysia yang bertujuan untuk memupuk nilai keharmonian, perpaduan dan keamanan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Perhimpunan Baju Merah ini juga diadakan sebagai satu tindak balas terhadap perhimpunan BERSIH 4.0 yang diadakan baru-baru ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kalau dilihat kepada asas penubuhan BERSIH, ia tidak lain melainkan menuntut kepada pihak kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN agar satu transformasi di dalam sistem pentadbiran negara dilakukan antaranya desakan agar mewujudkan sebuah kerajaan yang telus, pilihanraya yang bebas dan adil, hak untuk berdemonstrasi dan mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen.

Kebiasaannya di negara-negara Barat, rakyat turun berhimpun di jalan raya bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap beberapa tindakan dan polisi kerajaan yang dianggap menindas, tidak adil dan membebankan rakyat. Tetapi Perhimpunan Baju Merah ini bukanlah perhimpunan rakyat terhadap kerajaan, tetapi perhimpunan Melayu terhadap BERSIH. Ini pelik !

Bagi saya, apa yang dituntut oleh BERSIH semuanya baik dan bagus untuk diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Ia mesej universal yang dituntut oleh semua rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang telus, adil dan bersih. Jadi, saya tidak faham apakah sebenarnya tindak balas yang mahu ditonjolkan oleh perhimpunan Baju Merah terhadap BERSIH. Adakah bermakna penganjur Perhimpunan Baju Merah tidak bersetuju dengan semua tuntutan BERSIH tersebut terhadap pihak kerajaan? Tidak jelas.

Kalaulah Perhimpunan Baju Merah ini bermotifkan protes terhadap bangsa Cina yang telah mendominasi perhimpunan BERSIH 4.0, itu bukan lesen untuk bangsa Melayu mengadakan Perhimpunan Baju Merah pula.

Bagi saya itu merupakan satu kejahilan dalam menonjolkan kekuatan Melayu.

Sesuatu bangsa itu harus bangkit dengan ilmu dan perpaduan. Tetapi Melayu hari ini telah dibangsatkan dengan kebodohan yang dibangsatkan oleh UMNO. Orang Melayu telah lama dibangsatkan tetapi disebabkan oleh kebodohan yang ditanam oleh UMNO, orang Melayu tidak tahu bahawa mereka sedang dan asyik dibangsatkan.

Kalau benarlah Melayu yang menyokong Perhimpunan Baju Merah itu ingin menonjolkan kekuatan Melayu, maka mereka sepatutnya menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 yang lalu dan nyatakan hasrat mereka secara bersama bahawa kita mahukan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan telus kerana kemunduran Melayu di Malaysia bukanlah disebabkan oleh bangsa Cina, tetapi disebabkan oleh UMNO yang gagal menjaga orang Melayu.

Saya mengkritik bukan bererti saya menafikan hak dan kebebasan mereka untuk berhimpun. Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita bertanggungjawab di atas kebebasan yang diberikan tersebut untuk memastikan perhimpunan yang dianjurkan itu berjalan secara aman dan ia tidak disalahgunakan di tempat yang salah.

Buat para penganjur Perhimpunan Baju Merah, hak anda untuk berhimpun secara aman tidaklah salah, tetapi motif dan tujuan anda berhimpun itulah yang salah. Perhimpunan yang akan anda adakan pada 16 September ini jelas bertentangan dengan matlamat dan objektif penubuhan Malaysia yang mahu menjadikan negara ini sebuah negara demokrasi yang menghormati hak-hak bangsa, agama dan budaya rakyat Malaysia yang pelbagai.

Maaf, walaupun saya Melayu, tetapi saya menolak Perhimpunan Baju Merah anda. Ia PERKAUMAN !!

#‎HarapanBaru

Mohd Fitri Asmuni,
Timbalan Ketua Pemuda
Parti Amanah Negara Negeri Perak

Print Friendly

  1. #1 by Bigjoe on Thursday, 17 September 2015 - 9:53 am

    I really don’t think it matters that much that majority of Malays do not support the Rally.

    The fact is 40,000 of them participated in a LIE – a very very bad LIE..It was suppose to be anti-Bersih and pro-Malay but instead it became anti-DAP and pro-Najib when Mahahthir participated in Bersih AND pro-Malay=pro-Najib is DELUSIONAL.

    How do the opposition allowed such a collosal failure to not be torned apart just as quickly?? Its pretty big failure on part of the opposition..

You must be logged in to post a comment.