Soal AS$700 juta masih jadi tanda tanya


OLEH SHERIDAN MAHAVERA
The Malaysian Insider
5 September 2015

Minggu lepas, kira-kira 500,000 rakyat Malaysia turun ke jalanan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan derma sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang diterimanya.

Minggu ini pula, beberapa badan dunia yang terlibat dalam membanteras rasuah melakukan perkara yang sama, bukan di jalanan tetapi pada Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah (IACC) ke-16 di Putrajaya, tidak jauh dari pejabat Najib.

Najib bagaimanapun tidak menghadiri IACC itu, atas nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low, kerana bimbang perdana menteri mungkin berdepan dengan reaksi negatif.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri perhimpunan Bersih 4 sebanyak 2 kali, menegaskan beliau tidak menyokong tuntutan penganjur, tetapi berdiri bersama rakyat Malaysia yang mahukan jawapan kepada AS$700 juta yang disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Tema pada 2 peristiwa itu, Bersih 4 dan IACC, senada – tindakan harus diambil kepada sesiapa saja yang terlibat rasuah, tanpa mengira kedudukan.

Setakat ini Najib seolah-olah memekakkan telinga kepada rakyat Malaysia. Tetapi dengan mengabaikan saranan beberapa pejuang rasuah ternama dunia, akan menunjukkan beliau mempermainkan janjinya bagi membasmi rasuah di negara ini.

Dan demikian merupakan perkara utama yang diambil kira daripada IACC – persidangan terbesar seumpamanya di dunia – jika Malaysia serius dalam menangani rasuah dan menyertai liga negara maju seperti diinginkan Najib, maka tiada sorang pun yang boleh terlepas, termasuk perdana menteri.

Cobus de Swardt daripada Transparency International-Afrika Selatan mendakwa Najib tidak boleh berdiam diri jika beliau mahu meyakinkan dunia, terutama pelabur, untuk membuat pelaburan di Malaysia.

Kepercayaan pasaran terhadap ekonomi Malaysia amat penting sekarang apabila negara ini berdepan dengan masalah kejatuhan nilai ringgit dan keuntungan hasil minyak yang berkurangan.

“Langkah berdiam diri pegawai tertinggi di negara ini akan menghakis apa saja kepercayaan yang terdapat di negara ini,” kata de Swardt kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang berterusan tidak dapat dikekalkan jika terdapat amalan rasuah dan ini terbukti di beberapa negara yang mengamalkan rasuah pada tahap tinggi.

Terus berdiam diri juga akan menimbulkan satu penghinaan terhadap usaha pentadbiran beliau sendiri dalam memerangi rasuah di setiap lapisan masyarakat kerana mesej yang dihantar adalah individu tertentu tidak perlu bimbang yang mereka akan didakwa.

“Kami bersetuju dengan ribuan rakyat Malaysia yang turun ke jalanan mendesak perdana menteri menjawab soalan berhubung dana AS$700 juta dalam akaunnya,” kata Naib Pengerusi Transparency International (TI) Elena Panfilova.

Panfilova dan de Swardt adalah yang terkini di kalangan pegawai TI – kumpulan anti rasuah peringkat global yang mengkritik sikap berdiam diri Najib tentang sumbangan derma itu.

Sepanjang 3 hari lepas, peserta persidangan yang merupakan pegawai tertinggi dan pakar anti rasuah di negara masing-masing mengemukakan 3 soalan kepada Najib:

* Siapa yang memberikan AS$700 juta itu?

* Apakah tujuan derma itu?

* Apakah jenis pertalian, jika ada, yang berhubung kait derma itu?

Pada hari kedua persidangan itu, Pengerusi TI Jose Ugaz menggambarkan sumbangan itu sebagai satu kes rasuah dahsyat, yang boleh memberi kesan kepada hak asasi manusia.

Sehingga kini, Najib hanya mendedahkan yang wang itu adalah sumbangan penderma dari Timur Tengah dan ia bertujuan membantu Malaysia menentang kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (Isis).

Pengkritiknya menolak penjelasan yang dibuat beliau kerana wang itu dipindahkan secara berperingkat ke akaun beliau pada 2013, sedangkan Isis hanya ditubuhkan pada 2014.

Beberapa menteri dalam Kabinet beliau mengatakan derma itu bukan satu isu besar atau ia perkara biasa bagi Najib sebagai presiden Umno untuk menyimpan wang amanah dalam akaunnya.

Ini meningkatkan pandangan orang ramai yang Najib seolah-olah terkecuali daripada menerima akibat atas sebarang tuduhan salah laku.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak akan ada pengecualian ke atas sesiapa pun yang dituduh rasuah, Panfilova berkata:”Kami harap beliau bertanggungjawab mengotakan janjinya.”

Beliau segera menambah, “menghentikan pengecualian bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan”. – 5 September, 2015.

  1. #1 by Bigjoe on Saturday, 5 September 2015 - 3:10 pm

    Najib is not concern with what the world think of his corruption, he is not concern even about the most of the participants of Bersih’s opinion. What he is concern about is what the Malay voters and UMNO members who his division leaders and MPs, assemblymen, and Sarawak and Sabahan BN MP depend on to stay relevant.

    Lets not kid ourselves, they know its corruption, its whether they can give a plausible face-saving excuse and whether it went into his and Rosmah personal pockets. Its why the inaction of PAS is the ultimate thing that holds him as they can move the line on the moral/immoral authority..

    Frankly, I am surprised Hadi Awang have not made an ultimatum to Najib on Hudud – accept or they will take to the streets and he would fall…

You must be logged in to post a comment.