Boikot Bersih 4: PAS untung atau rugi?


Mohsin Abdullah
The Malaysian Insider
2 September 2015

Akar umbi Umno pun tidak marah Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada perhimpunan Bersih 4. Itu menurut berita yang disiarkan The Malaysian Insider.

Sebabnya – mereka terima “penjelasan “ Dr Mahathir yang bekas presiden mereka bukan sokong gerakan Bersih secara khusus tetapi kerana beliau menyokong rakyat.

Maknanya Dr Mahathir melihat rakyat menyebelahi atau bersama gerakan Bersih. Sekali gus tuntutan Bersih adalah tuntutan rakyat. Boleh disimpulkan begitu?

Jika boleh, persamaannya (berdasarkan hujah Dr Mahathir) ialah Bersih = rakyat. Satu “equation” yang boleh membimbangkan pucuk pimpinan Umno
kerana “akar umbi setuju with such an equation”.

Dan dalam konteks PAS pula – adakah ketidakhadiran parti itu pada perhimpunan Bersih kali ini membawa erti parti itu “tidak bersama rakyat”?

Rasanya tidak adil menuduh demikian. Namun ada juga berpendapat PAS “detached“ atau “terpisah daripada rakyat berbilang kaum di Malaysia”. Setuju atau tidak terpulang.

Tetapi pemerhati politik beranggapan PAS terlepas peluang keemasan membuktikan parti itu masih bersifat “inclusive ” walaupun tanpa golongan progresif yang kini aktif dalam Gerakan Harapan Baru (GHB).

Seorang aktivis seni (yang kerap mengambil bahagian dalam aktiviti PAS) menyifatkan keputusan tidak menyertai Bersih 4 didorong “hasrat pimpinan tertinggi parti mahu berbaik-baik dengan Umno dan mengejar pangkat serta kedudukan”.

Dengan kenyataan sekeras itu tidak memeranjatkan, beliau menambah kata “aku sudah bercerai dengan PAS“.

Seperkara menarik ialah Idris Ahmad, naib presiden PAS yang mendapat undi terbanyak pada pemilihan parti lalu, muncul pada hari kedua perhimpunan Bersih 4 (katanya siap berkemeja t kuning).

Mengapa beliau datang tidak pula dijelaskan. Pertanyaan wartawan kepada beliau dibalas dengan senyuman.

Lantas timbul spekulasi dan andaian yang tidak perlu diulangi.

Tidak dinafikan ketidakhadiran PAS pada Bersih 4 dirasai terutama pada aspek jumlah peserta Melayu.

Apa pun tindakan PAS itu “understandable “ berikutan pergeseran dengan DAP dan kehadiran anggota GHB bersama Bersih.

Dan tentunya PAS tahu – baik buruknya – kesan tindakan mereka memulaukan Bersih 4.

Keputusan mereka wajar dihormati. Ikut serta atau tidak, itu hak mereka.

Cuma PAS kelihatan tidak berterus-terang dalam menjelaskan mengapa parti itu mengambil keputusan berkenaan.

Sebaliknya mereka memilih untuk memberi alasan seperti “tidak dijemput daripada awal” dan “sibuk dengan aktiviti Hari Kemerdekaan”.

Bagi orang di luar PAS, alasan seperti itu agak “melucukan”. – 2 September, 2015.

Print Friendly

  1. #1 by quigonbond on Thursday, 3 September 2015 - 1:10 am

    Keputusan mereka wajar dihormati. Ikut serta atau tidak, itu hak mereka.

    Memang hak mereka, tetapi nyatanya mereka akan dilihat sebagai menyebelahi Najib.

    Malang untuk mereka kerana sudah tidak lagi bersama Pakatan, and bukan sebahagian daripada Barisan Nasional. Mereka sedang berhanyut.

You must be logged in to post a comment.