Harapan kepada ustaz muda progresif


A Shukur Harun
The Malaysian Insider
14 July 2015

Bagi umat Islam di Malaysia yang mengikuti perkembangan gerakan Islam atau politik Islam yang kini menghadapi pelbagai masalah, menyebabkan pelbagai persoalan dan tanda tanya berlegar di sekitar mereka – apakah sebenarnya yang terjadi.

Apakah tidak ada penyelesaian, atau menempuh jalan mati? Sedangkan mereka mendakwa berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah sejak berabad-abad lamanya.

Persoalan yang menimbulkan perbalahan ini antaranya disebabkan perbezaan pandangan antara mereka yang sempit dan keras (shadid) dalam memahami Islam dengan pandangan mereka terbuka dan lunak didukung dengan kebijaksanaan – sesuai dengan watak Islam itu sendiri yang unggul, anjal, diterima di sepanjang aman dan keadaan, mampu menangani perubahan dan segalanya.

Bagi golongan jalur keras, Islam itu lebih banyak dilihat daripada aspek hukum daripada aspek yang lain.

Demikian rigidnya pandangan ini menyebabkan dalam banyak perbincangan mengenai Islam, kelihatan seperti tidak ada ruang untuk berbicara mengenai aspek lain, umpamanya aspek keadilan, keamanan, demokrasi dan sebagainya.

Oleh itu, mereka yang bercakap mengenai demokrasi, suara atau kuasa rakyat, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dianggap sebagai sesuatu yang menyimpang jauh daripada Islam.

Sebab itu masyarakat sivil dan generasi muda terpelajar yang bersikap lebih terbuka ketika cuba mengikuti perbincangan mengenai Islam ini mendapati bahawa golongan ekstrem ini, seperti tidak berminat membincangkan isu seperti keadilan, keamanan, demokrasi dan sebagainya itu.

Lebih-lebih lagi apabila golongan yang bersikap terbuka ini menyebut ‘kuasa rakyat’, ‘kehendak demokrasi’, ‘hak-hak asasi manusia’ dan sebagainya. Maka kata-kata itu dilihat bertentangan dengan Islam dan tabu. Lalu ia menjadi peluru hidup untuk menyerang apa saja yang dianggap sebagai pemikiran yang tidak Islamik, atau menyeleweng daripada Islam.

Bagaimanapun dalam situasi yang berat ini saya sangat terharu apabila mendengar pandangan 2 agamawan muda – Ustaz Zolkharnain Abidin bekas pelajar pengajian pondok di Kedah, kini menetap di Perlis dan pernah menjadi Adun Perlis 1999-2004. Seorang lagi ialah rakannya, Ustaz Ridzwan Abu Bakar, yang juga bekas pelajar pondok di utara. Kedua-duanya membincangkan buku berjudul ‘Kuasa Rakyat’ karangan ulama tersohor, Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia Sheikh Dr Ahmed al-Raissouni. Buku ini diterjemahkan Ustaz Zolkharnain dengan pandang sisi oleh Ustaz Ridzwan.

Buku ini yang didiskusikan pada suatu majlis di Subang Jaya baru-baru ini menanggapi isu demokrasi, kebebasan bersuara dan kesenian dalam pandangan Islam dengan judul ‘Kuasa Rakyat’ dihuraikan dengan sangat terbuka, seimbang dan kelihatannya tidak bersifat menghukum. Tetapi ia lebih kepada huraian mengenai makna ‘kuasa rakyat’ menurut perspektif Islam.

Buku yang menarik ini cuba memahami kembali arahan syarak dalam Al-Quran dan hadis mengenai urusan kenegaraan dan kemasyarakatan sebagai arahan yang ditunjukkan kepada ummah atau rakyat bukan kepada daulah dan pemimpin secara khusus.

Ia menelusuri pelbagai isu kritikal negara dan masyarakat seperti aspek demokrasi, kebebasan bersuara dan kesenian dari sudut pandang maqasid syariah.

Buku ini juga membangkitkan kesedaran terhadap keperluan menggerakkan massa untuk mengambil kembali kuasa rakyat yang dibolot dan dimonopoli penguasa bobrok.

Ia juga berusaha mengikis kerisauan sebahagian aktivis gerakan Islam terhadap isu utama amalan demokrasi dan kebebasan bersuara disifatkan sebagai produk Barat yang mengancam pegangan agama umat Islam.

Di samping itu buku ini juga melihat kesesuaian pelaksanaan hukum Islam khususnya mengenai hudud dalam konteks politik dan negara pada hari ini.

Buku ini juga mengupas aspek kegiatan kesenian dari sudut pandang tahsinniyyat dan wahana berbanding sudut pandang biasa, iaitu hitam putih atau halal haram.

Seperti saya katakan, buku ini sangat menarik, diterjemahkan ustaz muda yang berfikiran terbuka. Iaitu dalam usaha pencerahan mengenai tanggapan dan pemahaman mengenai Islam sebagai Rahmatan Lil-Alamin.

Menurut pendapat saya, usaha ustaz muda ini sewajarnya diberikan sokongan penuh dalam pelbagai bentuk dan sangatlah elok jika kedua-dua ustaz ini dan rakan mereka yang sealiran melanjutkan lagi usaha pencerahan dalam memahami Islam ini dengan menulis pula buku selanjutnya, huraian daripada perspektif Islam mengenai pelbagai isu yang timbul di kalangan umat Islam kini.

Buku Sheikh Dr Ahmed al-Raissouni saya fikir, boleh dijadikan asas kepada huraian yang lebih lanjut mengenai pelbagai isu yang timbul bukan saja kepada umat Islam umumnya, tetapi juga khususnya kepada pendukung gerakan Islam atau politik Islam.

Saya yakin tentu ramai lagi ustaz muda berfikiran terbuka seperti Ustaz Zolkharnain dan Ustaz Ridzwan ini di mana mereka boleh menyatukan tenaga menulis lagi buku seumpama ini dengan menghuraikan lebih lanjut persoalan yang timbul ini.

Ini kerana mereka berpengalaman luas dan memahami gejolak politik masyarakat majmuk di negara ini. Oleh itu, seperti yang saya katakana tadi, buku Sheikh Dr Ahmed al-Raissouni ini dan mungkin banyak lagi buku seumpama itu boleh dijadikan asas dan rujukan dalam menghuraikan masalah ini lebih lanjut .

Saya yakin, umat Islam di negara ini sangat memerlukan huraian seperti ini dan secara kebetulan kini sebuah parti politik baru bernuansa Islam sedang dirancang penubuhannya di negara ini oleh golongan progresif dan sederhana, maka tentunya pandangan dinamik para ustaz muda seperti ini sangat membantu memberikan kefahaman kepada ramai orang akan kesyumulan dan keanjalan Islam seperti diperjuangkan parti Gerakan Harapan Baharu yang sedang dirancang ini. .

Sebuah cita-cita dan harapan menyerlah. Semoga umat Islam berpeluang melihat Islam dalam orbitnya yang lebih luas, keluar daripada kejumudan dan ketaksuban kepada panorama Islam yang indah dan hebat.

Seperti kata Dr Mujahid Yusof Rawa Islam itu amat luas, mengajar umatnya mengekalkan keamanan, dan bukannya memaksakan pelaksanaan undang-undang semata-mata.

Kumpulan progresif menuju ke arah cita-cita parti baharu ini dengan jelas akan menentukan asas dan dasar Islamnya. Mereka juga akan menghormati Perlembagaan Persekutuan, identiti kaum dan pelbagai budaya serta kepentingan bersama rakyat.

Beliau berkata, walaupun parti itu akan menggunakan Islam sebagai panduan ke arah pembangunan negara, ia akan menjadi lebih inklusif, seperti ditetapkan Islam.

Saya yakin akan ramai ustaz muda yang progresif akan menyahut aspirasi ini. – 14 Julai, 2015.

Print Friendly

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.