Sudah sampai masanya orang kampung diberitahu perkara sebenar


Amin Iskandar
The Malaysian Insider
12 July 2015

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengatakan semalam “orang kampung” jangan menyangka kehidupan di kota besar Kuala Lumpur lebih baik berbanding di luar bandar.

Menurut menteri Wilayah Persekutuan itu, ini kerana kos kehidupan di kota besar jauh lebih tinggi dan menyebabkan sesetengah penduduk luar bandar yang mempunyai cita-cita untuk hidup mewah akhirnya menjadi gelandangan.

Benar apa yang dikatakan setiausaha agung Umno itu. Di luar bandar jika kita diwariskan tanah keluarga, sekurang-kurangnya kita ada tempat tinggal.

Barangkali sudah sampai masanya Tengku Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan dan Umno memberitahu penduduk luar bandar perkara sebenar tentang Malaysia.

Selama ini, penduduk luar bandar hanya diberitahu “cerita-cerita yang indah” saja tentang Malaysia sehingga ramai tertipu dan berhijrah ke kota besar di Kuala Lumpur dan akhirnya merempat.

Oleh kerana kebanyakan penduduk luar bandar selama ini hanya mendapat berita daripada Utusan Malaysia, RTM dan TV3, mereka mungkin tidak berapa tahu tentang Malaysia yang sebenar.

Dengan kekuatan sokongan Umno di kalangan penduduk luar bandar, mungkin Ku Nan selaku setiausaha agung perlu mula beritahu mereka perkara sebenar.

Penduduk luar bandar perlu diberitahu hari ini, Malaysia terkenal di peringkat antarabangsa kerana syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hari ini, nama Malaysia semakin “harum” di peringkat antarabangsa selepas akhbar The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan RM2.67 bilion wang 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri menafikan pendedahan itu dan pasukan petugas khas ditubuhkan Putrajaya bagi menyiasat perkara itu.

Kalau di negara maju lain, sudah tentu perdana menteri bercuti sementara menunggu siasatan selesai, tetapi “hebatnya” di Malaysia, Najib masih boleh ke hulu ke hilir seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Orang kampung juga perlu tahu kehebatan Malaysia apabila membeli hartanah di peringkat antarabangsa. Antara kehebatan Malaysia ialah “mampu membayar dengan harga mahal” berbanding pihak lain.

Baru-baru ini akhbar The Age di Australia mendedahkan, “sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya” membayar lebihan A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi membeli sebuah pangsapuri di Melbourne pada 2013.

Orang kampung juga perlu tahu, pegawai-pegawai Malaysia yang dimaksudkan merupakan pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Orang kampung juga perlu diberitahu hari ini nilai ringgit jatuh ke tahap terendah sejak 1998.

Bagi yang tinggal berhampiran dengan sempadan Thailand sudah tentu lebih tahu hari ini, Baht jauh lebih mahal berbanding ringgit.

Ketika pemimpin membelanjakan berbilion ringgit wang negara dengan sesuka hati, anak-anak kepada ibu dan ayah di kampung dikejar seperti “penjenayah” oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Hanya kerana tidak mampu membayar hutang pinjaman, nama mereka disenaraihitamkan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sejak awal 2015.

Selepas disenaraihitamkan CCRIS, mereka tidak dapat lagi membuat pinjaman lain dan tidak hairanlah jika mereka terpaksa hidup merempat pada hari ini pada ketika ramai “peniaga mesra kerajaan” terlepas daripada membayar hutang berbilion ringgit.

Apabila wang Malaysia semakin kurang, akhirnya penduduk luar bandar turut “dikerjakan” dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kebanyakan harga barang keperluan asas naik melambung tinggi.

Datuk Ahmad Maslan mungkin tidak begitu terasa kesan kenaikan harga barang selepas GST kerana beliau adalah timbalan menteri.

Jangan sedih jika Aidilfitri tahun ini tidak seindah tahun-tahun sebelumnya. Inilah realiti yang berlaku di Malaysia pada hari ini.

Inilah “keadilan ala Malaysia” yang perlu diketahui masyarakat luar bandar. Malaysia tidaklah seindah lagi seperti digambarkan Utusan Malaysia, RTM dan TV3. – 12 Julai, 2015.

  1. #1 by drngsc on Sunday, 12 July 2015 - 5:52 pm

    Hari Raya is coming. Selamat Berpuasa now. And soon Selamat Hari Raya.
    Even as we prepare to balik kampong, please make sure that your cars are in good condition and plan your journey. As part of your planning, please bring back as many CDs and You tubes of what is happening in the country. CDs and you tubes of GST,1 MDB, “Najib took our money”, 1MDB uses Tabung Haji money, Petrol Saudi, Losimah’ RM 1 million extra money, the losses of FGV, the falling Ringgit and how it will affect them, Please arm yourselves with all these “entertainment”, to help the Kampong understand the issues and corruption of Putrajaya.
    Selamat berpuasa, Selamat berjalan. Selamat Hari Raya.
    Let us all make a difference this Raya.

You must be logged in to post a comment.