Parti baharu sangat dinantikan


A Shukur Harun
The Malaysian Insider
7 July 2015

Pelbagai pihak, khususnya generasi muda, sedang menunggu-nunggu akan kelahiran parti baharu – Gerakan Harapan Baharu – yang dirancang diumumkan selepas hari raya ini.

Ini menunjukkan sebuah parti baharu yang mampu memberikan harapan masa depan kepada rakyat Malaysia sangat diharapkan. Iaitu ketika rakyat melihat dengan sangat bimbang pelbagai krisis yang menimpa negara yang tidak dapat diselesaikan oleh parti pemerintah, di tengah-tengah Pakatan Rakyat (PR) sendiri juga tidak habis-habisnya berkrisis.

Parti Gerakan Harapan Baharu ini dirancang penubuhannya oleh golongan progresif dan sederhana yang disingkirkan dengan penuh hina dalam muktamar PAS bulan Jun lalu.

Penubuhan parti ini juga untuk meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat yang sangat terbuka dan demokratik serta berpandangan jauh ke depan.

Seperti dikatakan, pelbagai NGO, masyarakat sivil dan golongan muda, menyatakan sokongan terhadap parti baru ini yang membayangkan harapan tinggi mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Perlu diingat, menurut statistik dalam pilihan raya umum yang lalu, jumlah pengundi muda mencapai 4.1 juta orang, suatu jumlah yang sangat signifikan dalam percaturan politik tanah air. Pengundi muda ini sangat mengharapkan kemunculan parti baru ini untuk mendukung aspirasi mereka.

Bagi aktivis pelajar, Fahmi Zainol, gagasan parti baharu yang sedang dirancang itu adalah suatu keperluan, khususnya di kalangan anak muda yang berhaluan Islamik tetapi terbuka dan demokratik.

Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu berkata, parti yang sedemikian itu seharusnya ditubuhkan 5 hingga 10 tahun dulu lagi.

Namun Setiausaha Bertindak Gerakan Harapan Baharu, Dr. Dzullkifly Ahmad berkata, penyingkiran golongan sederhana dan progresif daripada kepimpinan tertinggi PAS tempoh hari menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau menyifatkan kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan di muktamar itu sebagai “rahmat yang tersembunyi” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Dr. Dzullkifly mengakui sejak sekian lama pihaknya bertelingkah dalam PAS dengan pendekatan dan pandangan yang berbeza berhubung beberapa perkara.

Dengan takdir Allah, apa yang berlaku di muktamar PAS Jun lalu itu menyebabkan perubahan besar berlaku di mana “sekarang kita bebas untuk membentuk sebuah wadah baru lebih inklusif untuk semua rakyat negara ini.”

Kalaulah tidak berlaku perubahan dalam muktamar PAS tempoh hari itu, tentunya golongan progresif dan sederhana dalam parti itu sangat sukar melaksanakan idea mereka untuk mengekalkan parti itu sebagai parti yang inklusif.

Sementara itu hingga setakat ini, cadangan penubuhan parti baru ini mendapat dukungan pelbagai pihak termasuk PasMa, iaitu NGO yang pro PR dan NGO Islam serta juga beberapa tokoh masyarakat.

Berapa ramaikah ahli PAS dijangka menyeberang menyertai parti baharu ini? Tidak ada siapa yang pasti. Tetapi yang pasti mereka tidak akan dipujuk rayu dan seumpamanya untuk menyertai parti baharu ini.

Justeru, mereka sangat faham akan percaturan politik tanah air serta memahami situasi parti mereka, malah boleh meramalkan masa depan parti mereka.

Kini, pemimpin yang akan menubuhkan parti baharu ini sedang menyusun serapi mungkin rangka kerja dan strategi untuk memenuhi kehendak pelbagai golongan yang bersedia menyokong.

Parti baharu ini dikatakan mengelak untuk berkonfrontasi dengan sesiapa dan pihak manapun, tetapi akan tetap mendedahkan kelemahan Umno/BN yang memerintah sekarang ini.

Begitu juga pemimpin parti baharu ini akan menjawab dengan hujah fakta dan ilmu serta akhlak Islam segala tuduhan yang ditujukan kepada mereka dari mana-mana pihak. Jawapan ini bukan dalam bentuk “serangan lawan serangan” tetapi hujah lawan hujah.

Parti baharu ini sangat menitikberatkan integriti dan tanggungjawab moral. Justeru, pendukungnya merasakan inilah amanah yang sangat dipegang kukuh oleh pendiri parti baharu ini.

Ia akan bekerjasama, malah menyertai gabungan baharu parti pembangkang yang mempunyai cita-cita yang sama iaitu menentang rasuah, perkauman, fahaman agama yang sempit dan jumud, menentang rasuah, penyelewengan, ketirisan dan segala bentuk salah guna kuasa.

Ia mahu melihat negara ditadbir berdasarkan kelayakan dan amanah seperti yang digariskan oleh Islam.

Inilah visi yang dicetuskan oleh sekumpulan bekas pemimpin progresif PAS.

Menurut pendapat saya, dengan parti baharu ini, mereka berusaha merealisasikan cita-cita murni untuk membina sebuah masyarakat adil yang di dalamnya terbina harapan masa depan rakyat berbilang kaum dan agama.

Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai perbincangan dan gerak kerja sedang dilakukan di seluruh negara oleh pemimpin parti baharu ini, sebagai persiapan untuk menubuhkan secara rasmi parti baharu ini selepas hari raya. Sebelum itu siri penerangan seluruh negara akan diadakan.

Dengan penyertaan parti baharu ini dalam gabungan baru parti politik pembangkang – menggantikan PR – ia diharapkan akan lebih kuat dan berkesan.

Parti politik baharu ini, akan mengambil kedudukannya di centre-stage poltik Malaysia dan akan mengambil peranan penting mencorakkan pentas politik negara ini.

Baru-baru ini saya bertemu dengan beberapa tokoh pemimpin politik baharu Malaysia ini di mana mereka menekankan untuk mendengar sebanyak mungkin pandangan daripada pelbagai NGO, golongan muda, veteran dan lain-lain.

Semuanya kata mereka, akan dirumus untuk membina suatu wadah baharu bagi politik Malaysia.

Saya kira, adalah sangat wajar kita memberikan peluang kepada para tokoh pencetus politik baharu ini kerana mereka adalah para tokoh berpengalaman dalam politik, berilmu dan berwibawa.

Maka itu diharapkan politik baharu Malaysia ini – bersama gabungan baharu pembangkang – akan beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia akan datang. Ini sebuah harapan, dengan izin Allah SWT akan berjaya. – 7 Julai, 2015.

Print Friendly

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.