DAP “egosentrik”? Benarkah begitu wahai anak muda?


oleh WAN HAMIDI HAMID
Roketkini
3 Julai 2015

Sekalung tahniah untuk sekumpulan 146 aktivis politik yang menggelar diri sebagai Anak Muda atas keberanian menyuarakan keinginan mereka kepada sebuah kerajaan alternatif.

Pada masa yang sama, mungkin kerana salah faham atau kurang maklumat, ada yang membuat generalisasi bahawa “Anak muda berasa mual melihat parti-parti yang kononnya berpakat, tetapi gagal mengurus egosentrik lantas memberi talian hayat kepada Kerajaan minoriti Barisan Nasional”.

Sebenarnya ayat lazim seperti ini tidak akan membantu kepada penyelesaian masalah. “Mual”, “egosentrik”, “talian hayat” kepada musuh politik adalah antara kata-kata yang penuh dengan pelbagai telahan negatif.

Tuduhan seperti itu sama seperti sikap seorang guru sekolah yang menyangka dirinya adil dengan menghukum kedua-dua pembuli dan mangsa yang dibuli tanpa sebarang siasatan.


Gabungan baru demi rakyat

Kumpulan anak muda tersebut mahu kepada Gabungan Baru Demi Rakyat dengan mengharapkan “Parti-parti pembangkang perlu konsisten dalam menjadikan harapan rakyat sebagai fundamental kerjasama, seterusnya memangkas perbezaan dan memberi tumpuan untuk merealisasikan perubahan”.

Memang baik tujuannya. Malah, jika disemak semula Dasar Bersama Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga serta beberapa perisytiharan bersamanya, memang itulah yang dilaksanakan oleh ketiga-tiga bekas komponen Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP sejak 2008.

Sehinggalah PAS yang dipimpin ulamak memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP, dan keputusan itu dibuat sebulat suara dalam Muktamar PAS bulan Jun lalu.

Mengapa PAS berbuat demikian? Kerana pimpinannya menyalahkan DAP yang bertegas mahu berpegang kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, iaitu tidak menyentuh tentang soal hudud, sedangkan PAS pimpinan ulamak bermati-matian mahu menguatkuasakan hudud tanpa mempedulikan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Adakah DAP yang wajar dituduh bersikap egoistik dan angkuh kerana berpegang kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat? Adakah DAP yang membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PAS? Adakah DAP yang terlibat dengan gara-gara “unity government” dengan UMNO?

Memang bukan golongan anak muda ini yang membuat tuduhan-tuduhan sedemikian. Mereka jauh lebih matang untuk bermain dengan sentimen seperti ini.

Namun, tuduhan berat sebelah ini sering memenuhi ruang alam siber dan media sosial. Dan ia kadang-kadang dimamah juga oleh mereka yang masih mengikat diri dengan politik kaum dan agama.

Jelas bererti eksplisit

Jika perlu wujud satu gabungan pembangkang nasional yang baru, ia perlu meneliti semula dasar bersama Pakatan atau mungkin memperkenalkan draf yang baru yang sepatutnya lebih baik.

Kumpulan anak muda telah mencadangkan supaya “Gabungan yang baru ini perlulah lebih kemas dengan dipandu terma-terma rujukan yang lebih jelas”.

Memang cukup baik saranan ini. Tetapi golongan muda itu mungkin terlupa untuk menyatakan secara terbuka dan eksplisit apakah “terma-terma rujukan yang lebih jelas”.

Adakah ia mahu gabungan baru menyatakan secara eksplisit untuk melaksanakan hudud atau menyatakan secara eksplisit hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia?

Atau ia perlu menyebut secara jelas bahawa gabungan baru menolak cadangan penubuhan “Negara Islam” (yang mana isu ini telah memecahbelahkan Barisan Alternatif selepas PRU 1999)? Atau menolak “negara sekular”, jika ada?

Atau adakah ia perlu secara eksplisit mempersoalkan apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan?


Prinsip kerjasama lebih tegas

Seperti yang diperkatakan, saranan anak muda tentang teras penting, termasuk “cita-cita rakyat sebagai asas kerjasama” tidak dinyatakan secara jelas atau eksplisit.

Maksudnya ada kalangan rakyat yang bercita-cita mahu menubuhkan kerajaan berteraskan agama, mahu melaksanakan hukum hudud, mahu kaum majoriti memegang tampuk pemerintahan negara dan negeri, serta pelbagai “cita-cita” lain.

Ada baiknya jika anak muda dapat merumuskan cadangan-cadangan untuk “cita-cita” jika ada pertemuan dengan parti-parti pembangkang nasional tidak lama lagi.

Anak muda dicadangkan supaya lebih eksplisit berbanding politisi yang terpaksa menjaga hati banyak pihak. Ini termasuk cadangan anak muda bahawa “setiap parti perlu bersedia untuk meletakkan kepentingan parti sebagai perkara kedua sekiranya bertembung diantara kepentingan parti dan kepentingan gabungan”.

Sekali lagi, ia perlu dijelaskan sama ada ini bermakna, parti yang mahu kepada hukum hudud mesti membelakangkan kepentingannya, atau sama ada parti yang mahu kepada ketuanan kaum perlu meletakkan agenda kaumnya di belakang dasar bersama gabungan, atau sama ada parti sosialis perlu mengetepikan ideologinya.

Gabungan inklusif

Dalam tuntutan anak muda, ada dicatatkan “Tatanan pemikiran lama yang mengatakan pemimpin tahu segalanya sudah terlalu tua untuk diamalkan dalam politik kontemporari” adalah tepat sekali.

Sebenarnya ada kalangan anak muda yang sudah berjangkit dengan pemikiran lama. Dalam beberapa parti dan NGO, terbukti pemikiran pimpinan dan anggota muda mereka lebih jumud berbanding golongan dewasa yang prihatin dengan perkembangan semasa.

Ada juga masalah lain seperti ada kumpulan yang menganggap diri mereka sangat progresif sehingga enggan bekerjasama dengan gabungan yang mereka tuduh sebagai kapitalistik. Begitu juga kumpulan agama yang enggan bersama dengan gabungan yang mereka dakwa sebagai sekular, liberal, plural, longgar, progresif dan entah apa-apa lagi.

Jadi ia kembali kepada tuntutan awal tentang “cita-cita”. Sememangnya sudah ada asasnya dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat, walaupun ia tidak sempurna.

Bukan kerana ia tidak boleh disempurnakan tetapi kerana politik Malaysia yang terlalu sensitif dengan isu-isu pinggiran yang menyebabkan ia terpaksa dihasilkan melalui kompromi.

Ya, dalam politik, kompromi bukanlah satu kata kotor. Ia adalah keperluan. Tetapi kompromi bukan bererti menghalalkan salah guna kuasa, korupsi atau rasuah. Itu sudah melanggar prinsip kemanusiaan.

Dialog

Tuntutan anak muda masih agak kabur, mungkin mereka juga mahu menjaga hati banyak pihak – itu namanya kompromi dan diplomasi.
Semoga apabila bertemu dengan pihak-pihak yang mereka mahu berjumpa nanti, kumpulan anak muda boleh menyuarakan cadangan-cadangan yang jelas dan eksplisit.

Sama ada di kalangan 146 anak muda itu bersatu hati dengan cita-cita mereka, itu soal kedua. Seperti manusia biasa, mungkin mereka juga bertelagah antara satu sama lain. Polemik, walaupun kadangkala memualkan, adalah keperluan dalam arena politik.

DAP patut pada dasarnya bersetuju dengan saranan anak muda bahawa “adalah menjadi keperluan mendesak untuk gabungan baru ini ditubuhkan segera”.

Walau apa pun tema wacana dan dialog, semoga DAP tidak dijadikan sasaran kebencian atau ketakutan semata-mata kerana ia tdiak berjuang atas nama kaum atau agama; ia hanya mahu kepada demokrasi yang mengamalkan keadilan sosial, hak dan peluang saksama, kebebasan individu dan kumpulan, serta kesetaraan gender dan kaum.

Dan memang patut DAP, khususnya melalui Sosialis Muda DAP (DAPSY), bertemu dengan golongan muda ini bagi mendengar suara mereka serta memperbetulkan salah faham tentang DAP yang dikatakan “egosentrik” seperti parti-parti lain, di samping benar-benar jelas tentang mengapa Pakatan Rakyat berkubur – akibat pelanggaran Dasar Bersama.

Pencerahan dua hala amat diperlukan untuk memastikan prejudis dapat dipecahkan bagi mengelakkan wabak benci, dan jika perkauman dan keagamaan yang sempit terus berleluasa, ia akan menghancurkan cita-cita anak muda yang mahu kepada kerajaan alternatif demi rakyat. – Roketkini.com

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.