IKRAM Iltizam Cakna Perkembangan Politik Semasa


Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
1.7.2015

Mengikuti perkembangan politik dan pembangunan semasa negara, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dan cakna kepada keadilan sejagat, keharmonian masyarakat dan kesatuan umat selaras dengan perjuangan IKRAM untuk memastikan ‘Malaysia Menuju Negara Rahmah’, ingin menegaskan pendirian-pendirian berikut untuk kebaikan bersama warga Malaysia:

IKRAM meyakini bahawa sistem pemerintahan berteraskan konsep dwiparti merupakan satu keperluan demi memastikan proses tatakelola kerajaan yang baik berteraskan akauntabiliti, ketelusan dan proses semak dan imbang sentiasa menepati prinsip-prinsip ‘Siyasah Syar’iyyah’ (politik berinspirasikan Syariah).

IKRAM yang bergerak atas dasar prinsip menyuruh yang makruf mencegah yang mungkar (amar makruf nahi munkar) akan terus menjadi kumpulan pendesak dan pengimbang kepada semua pihak samada daripada pihak pemerintah atau pembangkang, agensi kerajaan atau swasta terutamanya yang melibatkan organisasi yang mengendalikan amanah kepentingan awam dan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa pentadbiran, ketirisan dalam penggunaan wang awam dan seumpamanya.

IKRAM sentiasa terbuka tetapi berpandangan kritis terhadap sebarang usaha kolektif untuk mewujudkan arus baru gerakan rakyat selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum-hakam Syarak dan Maqasid al-Syariah.

Atas pendirian ini, IKRAM menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian dari gelombang harapan baru untuk membina Malaysia yang lebih rahmah, demokratik dan sejahtera.

Print Friendly

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.