Kerugian besar dialami PAS


A Shukur Harun
The Malaysian Insider
16 June 2015

Muktamar PAS berlalu dua minggu lalu dengan keputusan pemilihan pucuk pimpinan menolak sepenuhnya golongan sederhana dan progresif menerusi senarai “chai” iaitu kertas yang mengandungi senarai nama calon pimpinan PAS yang perlu dipilih.

Adapun “chai” itu berasal daripada bahasa China yang merujuk kepada ramalan nombor ekor.

Isu “chai” ini walaupun menggamatkan, tetapi ia berlalu dan menjadi bahagian daripada sejarah PAS itu sendiri walaupun tidak pernah difikirkan selama ini.

Kini selepas muktamar berlalu, pelbagai pihak merenung kesannya, iaitu bagaimana ikatan ukhuwah di dalam jemaah atau kasih sayang di kalangan jemaah PAS terhakis, sesuatu yang paling malang. Malah ia menjadi “the biggest casualties” bagi PAS itu sendiri sebagai sebuah parti Islam.

Maknanya, segala usaha pendukung PAS sejak setengah abad untuk memperkukuh ukhuwah di dalam jemaah yang lumpuh akibat perpecahan yang berlaku yang ketara sejak muktamar tahun lalu di Johor dan lebih ketara lagi pada muktamar baru-baru ini.

Bukan sangat kerana kalah dan menang dalam pemilihan pucuk pimpinan tersebut tetapi lebih kerana subur dan berkembangnya fitnah, label melabel, gelar menggelar sesama jemaah. Jebon, munafik haraki, Islam sekular, Islam liberal, jadi boneka DAP dan pelbagai lagi menjadi peluru hidup yang meranapkan ukhuwah di dalam jemaah.

Semuanya perbuatan keji ini menjadi racun paling berkesan dan akibatnya perpecahan dalaman ini akan berterusan dan mungkin memakan masa yang sangat lama untuk pulih kembali.

Saya tidak tahu adakah pimpinan PAS sedar akan makna dan kesan

Ucapan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N. Balasubramaniam di muktamar tersebut yang menyatakan rasa terkejutnya melihat amalan fitnah memfitnah dan saling melabel yang berlaku dalam parti Islam itu.

Beliau bertanya pemimpin PAS, khususnya kumpulan ulama, sama ada terdapat dalam al-Quran yang menghalang seseorang melakukan amalan memfitnah.

Kata Balasubramaniam, dia tidak pasti sama ada dalam Islam dan dalam al-Quran ada atau tidak larangan supaya jangan memfitnah dan jangan melabel orang lain. Kalau ada, katanya, kenapa ulama PAS tidak mengawal ini daripada berlaku dalam parti?

“Kami di dalam DHPP tidak mahu amalan fitnah dan label-melabel berlaku. Kami berharap Islam di bawah kepimpinan ulama supaya tampil ke depan menegur. Kami menumpang kasih Islam yang dibawa PAS,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam muktamar tersebut.

Bagi saya, ini peringatan dan teguran sangat penting daripada pemimpin DHPP yang saya kira perlu diberi perhatian serius kerana beliau – yang bukan Islam – terkejut dengan budaya fitnah dan melabel yang wujud dalam PAS.

Kata-kata Balasubramaniam, “Kami menumpang kasih Islam yang dibawa PAS,” mempunyai makna yang sangat besar dan mengharukan.

Bayangkan bagaimana orang bukan Islam mahu menumpang kasih kepada Islam, kemurniannya, kasih sayangnya dan segala nilai mulia di dalam Islam, tetapi beliau sangat kecewa apabila dihadapkan dengan sebuah kenyataan pahit yang berlaku di dalam PAS. Iaitu semuanya itu tidak wujud di dalam PAS, sebuah parti politik bernuansa Islam.

Tidak ada sebarang ulasan atau jawapan daripada pimpinan PAS yang berada di atas pentas, seperti membiarkan teguran orang bukan Islam ini berlalu begitu saja, atau barangkali merasakan tidak penting untuk ditawan.

Tidak juga ada respons daripada perwakilan, barangkali kerana sudah merasakan sangat berjaya di tengah riuh rendah menyambut kemenangan dan “membelasah” DAP’ secukupnya.

Adakah PAS lupa akan tanggungjawabnya untuk berdakwah kepada kalangan bukan Islam, lupa menerangkan tasawuur Islam dengan segala nilai mulianya. Di mana contoh akhlak Islam yang terbaik yang sepatutnya ditunjukkan kepada masyarakat umum.

Bahkan lebih parah lagi, seperti yang saya katakan, apabila runtuhnya ukhuwah dan kasih sayang sesama ahli jemaah sendiri, sesuatu yang paling malang yang saya kira inilah kerugian paling besar ditanggung oleh PAS.

Ramai yang berasa hiba dan simpati dengan bekas penyanyi Wan Aishah Wan Arifin apabila beliau melihat perubahan ketara yang dalam PAS yang dilihatnya tidak lagi menepati slogan “PAS for All’.

Sebagai orang baharu dalam PAS, Aishah berkata dia terkejut dengan sikap pemimpin PAS kerana menggunakan bahasa kesat dan pelbagai gelaran.

Petikan kekecewaan Aishah itu disebarkan secara meluas di laman sosial dan hangat dibincangkan di kalangan masyarakat.

Aishah berkata, dia tidak kecewa dengan perjuangan Islam tetapi kecewa dengan perkembangan yang berlaku dalam PAS yang kononnya memperjuangkan Islam.

“Ada pihak menghubungi saya untuk berbincang mengenai Lajnah Seni Budaya Muslimat. Kata saya. carilah orang yang boleh buat kerja, jangan cemari ‘kebersihan, kepimpinan baru. Saya katakan NO kepada pelantikan,” kata Aishah dalam akaun Facebook miliknya.

Aishah berkata, “respect has to be earned not commanded from…”.

Demikianlah pelbagai keluhan dan kekecewaan pelbagai pihak terhadap PAS masa kini, apabila mengenangkan ia sebuah parti politik Islam dengan sejarahnya lebih setengah abad, yang dibina oleh para pejuangnya melalui keringat dan air mata, pengorbanan, tarbiahnya dan harum semerbak ukhuwah yang dibina di kalangan para jemaahnya.

Tiba-tiba kini ia terbentur dengan wajah bengis dan menakutkan, tidak toleran. Membuang sahabat seperti “orang gemuk membuang lemak”.

Untuk semuanya ini saya memetik sebuah dialog menarik dalam drama “Hamlet” karya William Shakespeare:

“Tuanku, jika tuanku hilang harta, tuanku masih tidak kehilangan apa-apa. Jika tuanku sakit, tuanku hanya kehilangan sebahagian saja daripada apa yang tuanku miliki. Tetapi jika tuanku hilang nama baik, maka tuanku hilang segala-galanya.”

Nama baik di dalam perspektif moden adalah imej, maka imej adalah sebuah kemuliaan. Imej dan perjuangan mestilah berjalan seiring. Pemimpin PAS perlu merenung semuanya ini. – 16 Jun, 2015.

Print Friendly

  1. #1 by Sallang on Tuesday, 16 June 2015 - 11:31 am

    Perkataan ‘chai’ dlm. bahasa Cina bermakna ‘sayuran’.
    Walaubagaimanapun,perkataan ‘chai tan’ ,atau senarai/menu di gunakan semasa perhimpunan agung MCA.

  2. #2 by cemerlang on Tuesday, 16 June 2015 - 7:39 pm

    respect ? you respect first, got or not ? nadai…

You must be logged in to post a comment.