Undi bukan Islam tidak penting?


A Shukur Harun
The Malaysian Insider
14 April 2015

Ramai yang berkongsi kerunsingan dan menyertai kebimbangan bekas pemimpin PAS, Ustaz Haji Ahmad Awang apabila beliau berkata, “ramai yang sedih melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat. Sama ada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang mengentahui.”

Menurut Ahmad Awang, kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tidak penting” dan sebagainya adalah sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.

Ungkapan seperti ini bermunculan ketika tercetusnya krisis berat dalam PAS sendiri sekarang ini, lebih-lebih lagi menjelang Muktamar Tahunan PAS bulan Jun depan.

Menurut pendapat saya, pandangan PAS mampu bersendirian sementara sokongan bukan Melayu tidak penting adalah kata-kata yang menggambarkan betapa naifnya bacaan politik mereka ini, yang sama sekali tidak berasaskan realiti politik yang ada.

Bahkan pandangan begini membahayakan kelansungan masa depan PAS lebih-lebih lagi apabila golongan ini berkata, “Putrajaya bukan matlamat kami”.
Pandangan seperti ini bukan saja aneh, tetapi juga membayangkan pemikiran paranoid, kecelaruan, bahkan kedangkalan politik.

Belum pernah dalam sepanjang sejarah politik moden seperti PAS
yang berjuang untuk kemenangan politik dan kuasa, tiba-tiba merasakan Putrajaya (pusat kuasa) tidak penting. Kalau begitu adakah PAS mahu berhenti sebagai parti politik dan hanya mahu menjadi badan dakwah? Pendapat begini bertentangan dengan wawasan pemimpin masa lalu. Perlu diingat, pelaksanaan hudud itu sendiri, umpamanya memerlukan kuasa politik. Oleh itu sangat aneh dan dangkal pemimpin politik yang berkata, “Putrajaya bukan matlamat kami.”

Sepanjang sejarahnya, selama ini pemimpin PAS berjuang dalam politik diiringi dengan niat untuk mencapai keredhaan Allah. Ini bermakna kemenangan politik dan redha Allah itu tidak pernah terpisah. Oleh itu, janganlah ada pemikiran dangkal memisahkannya.

Sementara itu, jika ada pemikiran PAS perlu menumpukan perhatian kepada pengundi kawasan majoriti Islam saja untuk menang, maka pemikiran politik seperti itu sangat naif dan ketinggalan zaman.

Ia hanya merugikan PAS sendiri dan tidak menolong usaha memperkukuh Pakatan Rakyat yang dipersetujui bersama dalam empat kali muktamar tahunan PAS sebelum ini.

Keadaan ini berasaskan realiti demografi pengundi di negara ini yang taburannya pelbagai, di mana negeri di Pantai Timur – Terengganu dan Kelantan – jumlah pengundi Melayunya besar. Tetapi di Pantai Barat, jumlah pengundi Melayu sekitar 60% atau kurang dari itu, sementara jumlah pengundi bukan Melayu ialah sekitar 40%.

Adalah sangat naif jika berfikir cukupkah kalau PAS dapat menang di negeri yang majoriti Melayunya besar, seperti di Pantai Timur.

Sikap seperti itu hanya mahu menarik PAS undur ke belakang 20 atau 30 tahun. Tidak munasabah jika PAS yang sudah berumur 63 tahun hendak ditarik ke belakang semakin jauh.

Sementelah lagi apakah teori memberi fokus lebih kepada kawasan Melayu itu saja, konon kerana orang Melayu majoritinya “pasti” akan mengundi PAS dengan andaian ia didukung orang Melayu/Islam. Sejarah pilihan raya yang lalu menunjukkan keadaan seumpama ini jarang, malah tidak berlaku.

Menurut suatu kajian lain pula, jumlah pengundi Melayu di luar bandar akan jauh merosot di tahun-tahun akan datang di mana mungkin susut hingga tinggal 25% saja dari jumlah keseluruhan peratusan pengundi di Malaysia hingga PRU akan datang.

Ini kerana jumlah pengundi di luar bandar banyak berpindah, mengikut anak di bandar, meninggal dunia dan beberapa sebab lagi ke bandar. Dengan itu jumlah pengundi Melayu seperti di Lembah Kelang, sekitar bandar di Johor, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan lain-lain akan terus bertambah.

Oleh itu, tumpuan pengundian pada asasnya kini ialah di dalam bandar, iaitu pengundi Melayu dan bukan Melayu. Ini tentunya sangat signifikan dalam menentukan kemenangan sesuatu parti yang bertanding dalam PRU akan datang.

Dalam PRU yang lalu, banyak calon PAS menang di kawasan campuran iaitu di bandar seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, terbukti sukar bagi calon PAS untuk menang. Inilah hakikat yang sebenarnya dan terimalah realiti ini walaupun mungkin sukar diterima. Parti politik yang matang menerima realiti yang wujud dan berusaha berasaskan rialiti yang ada.

Bagaimanapun saya yakin, pendukung PAS yang berfikiran jauh ke depan tidak akan berfikir untuk bertanding secara bersendirian dalam PRU akan datang betapapun didorong kemarahan atas apa yang berlaku dalam Pakatan sendiri. Emosi dan pemikiran sempit tidak wajar diberi ruang dalam membuat keputusan politik.

Pemikiran besar dan jauh ke depan perlu ada pada pendukung PAS. Maka di sinilah saya masih ingat pesan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Mat, beberapa tahun lalu:

“Kita (PAS) berada dalam Pakatan Rakyat, banyak manfaatnya. Kita dapat berdakwah dengan luas kepada semua kaum. Kita dapat menjalin hubungan dengan mudah dengan bukan Islam.”

Memang diakui sejak krisis yang menimpa Pakatan Rakyat lebih tujuh bulan lalu dan merecik menjadi krisis dalam PAS sendiri, tetapi ini tidaklah boleh menyebabkan sesetengah pendukung PAS terdorong mahu PAS bersendirian dalam perjuangan politik walau apa hujah pun.

Seperti diketahui, sebanyak empat kali muktamar PAS bukan saja menunjukkan komited dengan Pakatan Rakyat, bahkan berikrar memperkukuh Pakatan Rakyat.

Jadi tidaklah wajar ada sesetengah pihak di dalam PAS sendiri, walau dalam status apa pun, begitu mudah mengeluarkan kenyataan bersifat mengugut, mendesak, mengancam, menyindir, memberi kata dua dan sebagainya mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat. Yang perlu di sini ialah PAS bersama komponan Pakatan perlu kerap berunding untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul. – 14 April, 2015.

Print Friendly

  1. #1 by boh-liao on Tuesday, 14 April 2015 - 5:52 pm

    Between hudud n undi bukan Islam, of cos d former much more important 2 PAS
    PAS oredi announced “Putrajaya bukan matlamat kami”

You must be logged in to post a comment.