Kemelut dalam Pakatan boleh selesai


A Shukur Harun
The Malaysian Insider
27 January 2015

Walaupun dilihat kemelut dalam Pakatan Rakyat (PR), terutamanya antara pemimpin PAS dan DAP berterusan, tetapi ada perkembangan baru yang melegakan hati yang memungkinkan keharmonian wujud kembali dalam PR.

Dalam masa yang sama, sudah ada tanda PAS dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), tidak lagi dilihat dalam suasana permusuhan.

Pada peringkat bawahan, yakni akar umbi, antara pendukung PasMa dan PAS kelihatan tidak ada masalah, justeru mereka dari keluarga besar yang tidak mungkin dipisahkan hanya kerana perbezaan pendapat.

Sementara itu, ada perkembangan yang menarik di peringkat akar umbi PAS dan DAP yang tercetus ketika banjir merempuh Kelantan dan negeri lain baru-baru ini.

Pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng datang sendiri ke Kelantan memberikan bantuan kepada mangsa banjir, di mana Lim Kit Siang yang turut mengharungi banjir sudah 3 kali ke sana.

Beliau berada di Kota Baru bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow, Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Penerangan dan Warisan Phee Boon Poh diiringi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Haji Mohamad Sabu.

Delegasi pemimpin DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang itu disambut Adun Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad.

Pelbagai bantuan DAP Pulau Pinang itu diserahkan kepada pimpinan PAS dalam majlis penyerahan ringkas baru-baru ini.

Sementara itu, penyelaras bantuan banjir DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee pula menghantar trak UBAH ke Gua Musang berisi barangan bantuan untuk mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Selain itu, DAP melancarkan Tabung Bencana Banjir DAP di mana semua kutipan derma untuk itu diminta dimasukkan dalam satu akaun khas iaitu ‘Tabung Dana Kecemasan’ (Ambank 8881002244649).

Ini usaha sangat murni atas dorongan rasa kemanusiaan yang melimpah dan sewajarnya boleh menjadi pemangkin meredakan ketegangan politik antara DAP dan PAS. Malah ia mampu meruntuhkan tembok perkauman setebal mana pun.

Sementara itu, satu perkembangan lain yang juga sangat menarik ialah suasana ‘Kenduri Rakyat’ atas inisiatif PAS Kuala Kedah di mana di majlis itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tetamu khas dan duduk bersama YDP kawasan tersebut, Phahrolrazi Mohd Zawawi yang juga Presiden PasMa. Beliau juga Adun Pengkalan Kundur.

Majlis itu yang juga dihadiri pemimpin PAS Kedah memperlihatkan keharmonian dan hubungan antara mereka, isyarat jelas tidak ada masalah untuk membina hubungan antara PAS dan PasMa.

Pada pendapat saya, PasMa bukanlah musuh PAS. Ia ditubuhkan hanya mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat, iaitu untuk memastikan PAS terus bersama Pakatan Rakyat dan juga memastikan keutuhannya.

Di peringkat akar umbi, nampaknya, tidak ada masalah. Pendukung PAS dan PasMa dari akar yang sama, mempunyai matlamat yang sama, maka tidak ada sebab untuk bermusuh. Mereka sama-sama makan gulai kawah, nasi dagang dan gulai asam pedas, malah boleh sama-sama bertakbir di majlis yang perlu bertakbir.

Adapun yang menjadi masalah ialah segelintir golongan fanatik, yang penuh emosi, prejudis dan fikiran tidak terbuka di dalam PAS sendiri. Golongan ini, saya kira, jumlahnya kecil saja di dalam PAS dan sudah tentu ia bukan mainstream di dalam PAS.

Golongan minoriti ini tidak dapat menerima hakikat berlainan pendapat, malah dengan mudah saja memainkan isu wala’ (kesetiaan) kepada pemimpin. Maka berbeza pendapat dianggap menentang pemimpin.

Jika menurut pemikiran waras, wala’ itu bukan saja kepada jamaah. pemimpin utama dan tertentu, tetapi juga kepada semua AJK PAS Pusat yang dipilih Muktamar Tahunan PAS.

Malang sungguh jika isu wala’ disalahgunakan, nescaya ia boleh memecahbelahkan jamaah kerana menimbulkan syak wasangka, malah fitnah. Maka itu, berhati-hatilah apabila menurunkan ‘cop mohor wala’ dan tidak wala’ itu. Jangan sewenang-wenang membubuh label ini jika mahu melihat peraduan di dalam jamaah PAS.

Berbeza pendapat sudah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad dan tidak ada masalah, malah Nabi Muhammad menerima pendapat yang berbeza dalam beberapa peristiwa seperti yang dirakam dalam sirah Nabi. Inilah jiwa besar Baginda yang sangat perlu dicontohi.

Ketakutan golongan tertentu di dalam PAS untuk menerima perbezaan pendapat itu, walau apa hujah pun, adalah daripada watak yang lemah, kurang membaca, kurang berfikir dan kurang pemahaman terutama erti demokrasi dan pra-syarat dalam menangani politik kontemporari.

Sementara itu, sesuatu yang ‘mengerikan’ apabila ada unsur pemikiran perkauman atau assabiyah apabila tercetusnya isu Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Isu Cina ramai di bandar tidak timbul kerana orang Melayu sudah ramai di bandar, berbeza dengan suasana zaman berlakunya 13 Mei 1969 dulu. Keadaan sudah berubah sama sekali.

Malah masyarakat sivil, khususnya generasi baru hari ini, sudah melupakan peristiwa hitam itu dan. Kini sejarah 13 Mei itu hanya menjadi bahan akademik.

Masyarakat sivil dan generasi baru yang semakin ramai di bandar mahukan pilihan raya – sama ada parlimen, negeri dan PBT – diadakan secara telus dan adil.

Rakyat akan memilih calonnya yang terbaik, peduli rakyat, amanah, jauh daripada rasuah dan penyelewengan, tanpa mengira calon itu datang daripada kaum mana pun. Inilah asas yang diperlukan oleh masyarakat madani.

Dari itu tidak wajar persoalan calon pilihan raya, walau dalam apa peringkat pun, dilihat dari sudut kaum. Justeru yang penting ialah kualiti calon itu dari mana pun datangnya.

Boleh disimpulkan semua masalah dan isu yang berbangkit boleh saja diselesaikan dengan harmoni. Syaratnya, pemimpin dan ahli yang mendukung Pakatan Rakyat, berfikiran terbuka, bersikap rasional dan mempunyai advanced thinking.

Dengan elemen itu, Pakatan Rakyat boleh diperkukuh. Maka dengan peristiwa yang saya sebutkan di atas tadi, antaranya – bantuan banjir dari DAP dan PAS-PasMa – boleh menjadi pendorong utama ke arah itu. – 27 Januari, 2015.

  1. #1 by Bigjoe on Wednesday, 28 January 2015 - 10:01 am

    The truth is unless PAS comes to the conclusion that either they go with Pakatan OR they will never dig out from the hole they are in. If they don’t get it they already lost Kelantan and that joining with UMNO ultra is just face saving for old men in their party and stubborn stand-alone is just a slow demise for them.

    Those in PASMa know the state of PAS already. But its not up to them to decide for the entire party whether to move forward or the other sad alternatives. All they can do is propose and move on if they have to..Like it or not the vane old men who sits on top of the their party decides the dysfunctionality..

You must be logged in to post a comment.