Seruan supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen ditubuhkan bagi menggembleng sokongan untuk kesederhanaan dan menggubal undang-undang untuk menangani ancaman Islamic State (IS)


DAP mengalu-alukan Kertas Putih “Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State” dan usul Perdana Menteri untuk mendapatkan sokongan Parlimen ke atas usaha Kerajaan bagi menangani ancaman IS serta untuk “menyeru semua lapisan rakyat Malaysia mempergiatkan usaha dan komitmen mereka untuk bersama-sama menyokong Kerajaan menangani ancaman berkenaan”.

Sebelum saya teruskan, izinkan saya menyatakan bahawa Kertas Putih mengenai IS adalah salah satu daripada tiga urusan Najib yang belum selesai yang sepatutnya siap dalam sidang Parlimen kali ini yang berakhir esok.

Sambil mengalu-alukan Kertas Putih mengenai IS, saya ingin merakamkan kekecewaan dan rasa tidak senang rakyat kerana Perdana Menteri telah enggan untuk menyelesaikan dua lagi urusan lain yang belum selesai sebelum Parlimen ditangguh esok, iaitu:

Pertama, Laporan Suruhanjaya Diraja Pendatang Tanpa Izin di Sabah (RCIIIS), yang bertujuan untuk menamatkan masalah 40 tahun pendatang tanpa izin di Sabah yang telah bertambah sehingga 15 malah 19 kali ganda dalam tempoh empat dekad dari bilangan 100,000 orang pada tahun tujuh puluhan hingga 1.5 juta hingga 1.9 juta pada masa ini.

Laporan RCIIIS telah dibentangkan kepada Kerajaan Persekutuan pada 14 Mei, dan kegagalan Perdana Menteri untuk membentangkannya pula kepada Parlimen sepanjang lebih daripada enam bulan dan untuk membolehkan perbahasan penuh di parlimen, hanya boleh bermakna bahawa – Barisan Nasional dan Kerajaan Persekutuan langsung tidak mempunyai keazaman politik dan mengesahkan bahawa RCI tersebut hanyalah satu muslihat Barisan Nasional untuk mendapatkan undi daripada pengundi Sabah untuk PRU13 pada Mei tahun lepas.

Penubuhan Jawatankuasa Kajian Laporan RCIIIS Joseph Pairin Kitingan – tanpa butir-butir mengenai siapa yang menjadi ahli, bidang tugasnya dan tempoh masa yang diberikan – hanya satu lagi silap mata dan permainan dalam masa 40 tahun untuk menolak ke tepi masalah pendatang tanpa izin di Sabah ke suatu masa sehingga penduduk pendatang tanpa izin di Sabah sudah melebihi dua juta, dan benar-benar mengubah demografi politik dan suasana sosio-ekonomi, menjadikan jumlah penduduk Sabah sekadar orang asing dan minoriti di tanah mereka sendiri.

Dua puluh lapan tahun yang lalu di Parlimen pada tahun 1986, saya telah memberi amaran bahawa jika aktiviti kemasukan secara haram pendatang tanpa izin di Sabah berterusan tanpa halangan, dalam masa tiga tahun, taburan demografi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan 21 kerusi majoriti Kadazan, 8 kerusi majoriti Cina dan 19 kerusi majoriti Melayu akan diubah dan disempadan-semula sehingga menjadi 16 kerusi majoriti Kadazan, 2 kerusi majoriti Cina, dan 30 kerusi Melayu/Filipina/Indonesia.

Rakyat Sabah berhak untuk mengetahui sama ada demografi politik akan bertambah buruk di lain-lain kawasan persempadanan semula pilihan raya, justeru ini adalah salah satu sebab mengapa penerbitan segera dan pelaksanaan Laporan RCIIIS adalah penting.

Walaupun esok adalah hari terakhir sidang belanjawan Parlimen, masih lagi sempat untuk membentangkan Laporan RCIIIS sebelum Parlimen ditangguhkan esok memandangkan Laporan RCIIIS telah pun dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan selama enam setengah bulan. Saya juga menggesa Perdana Menteri untuk mengeluarkan arahan supaya Laporan RCIIIS dibentangkan di Parlimen esok, diikuti oleh perbahasan parlimen.

Kedua, kenyataan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan ke atas skandal berbilion ringgit syarikat 1MDB dan jaminan bahawa beliau tidak cuba untuk menghalang pertanyaan dan perbahasan dari kalangan awam dan ahli parlimen mengenai skandal kewangan terkini itu dengan ancaman tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen DAP PJ Utara, Tony Pua.

Malah, Najib perlu memberikan aku janji awam bahawa ancaman tindakan undang-undang terhadap Tony Pua tidak akan digunakan untuk menutup soal siasat awam terhadap mana-mana aspek pengurusan dan perniagaan 1MDB.

Pada hari Ahad, Perdana Menteri telah bertanya: “Di manakah silapnya kita?”

Ini adalah salah satu aspek di mana Kerajaan Barisan Nasional telah melakukan kesalahan.

Saya masih ingat dengan jelas bahawa apabila Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ketiga, beliau berkeras membentangkan Kertas Putih di Parlimen pada tahun 1979 mengenai Laporan Price Waterhouse berkenaan skandal Bank Rakyat, yang melibatkan penyelewengan, salah urustadbir dan pecah amanah dana awam bernilai RM65 juta.

Jumlah ini kini sekadar ‘dedak ayam’, kerana skandal kewangan sekarang adalah dalam jumlah puluhan bilion ringgit yang tidak menyebabkan seseorang Perdana Menteri atau Menteri Kewangan (atau seseorang yang merupakan kedua-duanya sekali) untuk tidak rasa terkejut sedikit pun.

Jika Hussein Onn bersedia untuk membentangkan Kertas Putih mengenai skandal kewangan RM65 juta, mengapa Najib enggan tertakluk kepada akauntabiliti Parlimen dan mengeluarkan kenyataan kementerian mengenai skandal 1MDB bernilai berbilion ringgit?

Sekali lagi, adalah tidak terlalu lewat memandangkan kenyataan kementerian mengenai skandal 1MDB boleh dibentangkan di Parlimen esok, dan saya menggesa Najib untuk berbuat demikian.

Berbalik kepada tajuk kita hari ini, Kertas Putih mengenai ancaman IS, Najib mungkin satu-satunya ketua kerajaan di dunia yang secara terbuka memuji kumpulan pengganas IS (dahulunya ISIL/ISIS) apabila beliau menggesa ahli-ahli UMNO pada 24 Jun supaya mencontohi apa yang beliau sifatkan sebagai keberanian ISIL/ISIS supaya UMNO dapat terus bernyawa.

Walaupun Najib kemudiannya telah mengecam IS tanpa sebarang keraguan dan tanpa syarat dalam Perhimpunan Agung PBB pada 26 September, ia masih tidak mampu untuk menghapuskan kesan buruk pujian beliau yang tidak tepat terhadap IS pada bulan Jun.

Kertas Putih ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa telah mengesan aktiviti rakyat Malaysia yang disyaki mempunyai kaitan dengan Islamic State of Iraq (ISI) pada tahun 2012, maka jika benar, Najib sebenarnya berhutang penjelasan sebenar kepada Parlimen dan kepada negara bagaimana beliau boleh dinasihatkan untuk memberi pujian secara terbuka kepada pengganas ISIL/ISIS di atas ‘keberanian’ mereka hanya lima hari sebelum pengisytiharan khalifah IS oleh pemimpinnya Abu Bakar al-Baghdadi pada 29 Jun, 2014 – yang jelas menunjukkan sama ada wujud risikan keselamatan yang sangat lemah atau pertimbangan yang menyedihkan di pihak Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, apabila Najib membuat perubahan dan tanpa sebarang keraguan dan tanpa syarat mengecam IS ketika berucap di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 27 September 2014, saya tidak teragak-agak untuk segera mengucapkan syabas kepada beliau atas ucapan dan seruannya kepada masyarakat global untuk menewaskan ekstremisme ganas dan sikap tidak bertoleransi antara agama.

Saya sebelum ini telah menggesa Najib supaya secara jelas dan tanpa syarat mengecam IS di dalam ucapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana tiga sebab:

  • Pertama, rujukan awal Najib yang bersifat pujian Najib untuk ISIL/ISIS pada 24 Jun, adalah bersamaan dengan mengagungkan, menghantar mesej yang salah mengenai pendirian Malaysia terhadap militan Islam, pelampau dan pengganas. Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir begitu marah dengan pujian awal Najib untuk ISIL/ISIS, sambil menyertakan kutukan keras terhadap ISIS pada 16 Ogos semasa membuat komen pedas “Saya tidak tahu jika dia tahu apa yang dikatakannya, tetapi jika Malaysia mampu meniru ISIS, negara ini tidak akan stabil. Malaysia akan menjadi sebuah negara yang sangat ganas.”

  • Kedua, pelanggaran sadis dan ngeri ISIS terhadap hak asasi manusia setiap hari, termasuk pembunuhan, pemerdagangan manusia, penderaan seksual, penculikan, penukaran agama secara paksa dan pemenggalan kepala yang bertentangan dengan Pergerakan Kesederhanaan Global dan Wasatiyah yang diperjuangkan oleh Najib untuk menolak semua bentuk keganasan dan ekstremisme, sama ada politik atau agama.

  • Ketiga, sebagai Perdana Menteri sebuah negara Malaysia yang berbilang agama, dengan Islam sebagai agama rasmi, Najib seharusnya menjadi suara yang kuat dan jelas untuk memimpin dunia, termasuk negara-negara Islam, supaya mengutuk keganasan dan kekejaman ISIS, bukan sahaja sebagai satu penghinaan dan celaan terhadap Islam sebagai agama keamanan tetapi kerana jenayah terhadap kemanusiaan.

Adalah sepatutnya lebih baik jika kutukan Najib terhadap militan IS dan para pelampau telah dibuat lebih awal dan bukan menunggu Perhimpunan Agung PBB pada 27 September, kira-kira tiga bulan selepas pujiannya yang begitu dangkal terhadap ISIL/ISIS pada 24 Jun, tetapi lebih baiklah terlambat daripada langsung tidak dilakukan.

Sehari sebelum ucapan Najib di Perhimpunan Agung PBB, sebuah pakatan ulama Islam antarabangsa telah menyatakan kutukan terhadap IS dengan meleraikan doktrinnya dalam surat terbuka dan mengisytiharkan kewujudannya “suatu jenayah terhadap Islam”.

Lebih daripada 120 imam dan ahli akademik Ahli Sunnah, termasuk sebahagian ulama yang paling dihormati di dunia Muslim, menandatangani dokumen 18 muka surat yang menggariskan 24 alasan yang berasingan mengenai bagaimana kumpulan pengganas itu telahmelanggar peraturan Islam.

Surat itu, yang ditujukan kepada ketua IS, Abu Bakar Al-Baghdadi, adalah penting bukan sahaja kerana individu-individu yang menandatangan tetapi juga rujukan terperinci kepada Al-Quran dan teks-teks Islam yang lain untuk menangani justifikasi yang diberikan oleh pihak pelampau bagu tujuan amukan berdarah mereka merentasi Syria dan Iraq.

Dokumen tersebut menyebut secara khusus pembunuhan wartawan Amerika James Foley dan Steven Sotloff, dan pekerja bantuan British David Haines (yang kemudiannya diikuti oleh hukuman kejam lain, termasuk warga Perancis Hervé Gourdel pada 24 September, warganegara Inggeris Alan Henning pada 3 Oktober, warga Amerika Peter Kasig pada 16 November, serta penduduk Kurd dan Syria) dengan alasan bahawa orang-orang itu adalah “utusan” dan pembunuhan mereka adalah “dilarang tanpa sebarang keraguan”.

Ia juga mempertanggungjawabkan ISIS ke atas perbuatan keganasan yang tidak terkira banyaknya dan pembunuhan beramai-ramai di atas nama jihad, atau perjuangan suci. Walaupun mengakui kepada Al-Baghdadi bahawa “anda dan pejuang anda adalah berani” dan bersedia untuk mati demi perjuangan mereka, para ulama menyatakan tindakan mereka adalah “bukan jihad sama sekali, tetapi sebaliknya, penghasutan perang dan jenayah”.

Dokumen-dokumen memetik beberapa contoh kekejaman yang dilakukan oleh pejuang IS, menggambarkan pembunuhan beratus-ratus etnik Yazidi di utara Iraq sebagai “jenayah yang keji” dan menggambarkan sikap mereka terhadap wanita dan kanak-kanak sebagai menjijikkan dari segi moral.

Surat itu membuat kesimpulan: “Anda telah salah menafsir Islam menjadi agama kekerasan, kekejaman, penyeksaan dan pembunuhan. Ini adalah dosa besar dan jenayah terhadap Islam, kepada orang Islam dan kepada seluruh dunia.”

Surat itu, yang ditandatangani mereka yang datang dari Sudan hinggalah ke Iceland dan termasuk mufti besar Mesir, Sheikh Shawqi Allam, dan mufti Jerusalem dan seluruh Palestin, Sheikh Muhammad Ahmad Hussein, adalah kutukan yang terbaru daripada umat Islam terkemuka di seluruh dunia terhadap IS dan doktrinnya.

Kertas Putih berkata: “Malaysia berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa untuk menentang kumpulan pengganas ini kerana perjuangan IS mencermarkan nama baik Islam dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan”

Malah, Pergerakan Kesederhanaan Global harus berada di barisan hadapan dalam kempen antarabangsa untuk menggerakkan pandangan dunia terhadap pengganas IS, kerana Najib telah berulang kali membuat seruan itu dalam forum antarabangsa, termasuk tiga kali pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, supaya “para moderat daripada semua negara, semua agama, untuk mengambil kembali jalan tengah, untuk menuntut semula agenda keamanan dan pragmatisme, dan meminggirkan golongan pelampau”.

Seperti yang telah dinyatakan Najib berulang kali, “jurang sebenar bukanlah antara Timur dan Barat atau antara negara maju dan membangun atau di antara orang Islam, Kristian dan Yahudi; ia adalah antara sederhana dan ekstremis semua agama”.

Malangnya, Pergerakan Kesederhanaan Global yang dimulakan oleh Najib tidak dapat menyahut cabaran besar kali untuk menggerakkan pendapat kebangsaan dan antarabangsa terhadap ekstremisme ganas dan ketiadaan toleransi agama di Syria dan Iraq kerana ia sedang jenuh menangkis serangan puak extremis dan haluan kanan yang tidak bertoleransi di negara ini kerana “menghasut” akibat daripada pesta “white terror” kerajaan Najib dalam beberapa bulan yang lalu melalui pendakwaan pukat tunda Akta Hasutan untuk menyekat kebebasan bersuara dan kritikan serta perbezaan pendapat – yang ironinya memberikan kekebalan dan kebebasan untuk para pelampau dan anasir yang tidak toleran di negara ini untuk melanggar peraturan dan undang-undang.

Najib mesti menyelaraskan dasar-dasar domestik dengan deklarasi antarabangsa atau beliau akan kehilangan semua rasa hormat dan kredibiliti, sama ada di negara sendiri atau di arena antarabangsa.

Seperti mana Islam tidak terancam di peringkat antarabangsa, ia juga tidak terancam di Malaysia, dan mereka yang menggunakan nama Islam untuk mewajarkan ekstremisme dan ledakan tindakan tidak toleran mesti dibendung, bukan sahaja di peringkat antarabangsa, tetapi juga di peringkat nasional.

Ini adalah sebebnya kenapa dalam kenyataan saya serta-merta selepas ucapan Najib di Perhimpunan Agung PBB, saya telah membuat dua cadangan untuk Najib supaya menyelaraskan dasar-dasar domestik dengan deklarasi antarabangsa mengenai kesederhanaan dan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), iaitu:

  1. untuk menamatkan “white terror” Akta Hasutan sepanjang minggu-minggu sebelumnya melalui pendakwaan dan penyiasatan yang berniat jahat dan terpilih, menggugurkan semua pertuduhan hasutan, dan memberi kuasa kepada GMM untuk melancarkan inisiatif kebangsaan dan antarabangsa untuk menggalakkan kesederhanaan dan menolak semua bentuk keganasan dan ekstremisme dalam menghadapi ancaman IS; dan

  2. membuat usul apabila Parlimen bersidang pada 7 Okt untuk mengutuk secara jelas dan tanpa syarat terhadap ekstremisme, keganasan dan kebiadaban IS.

Usul untuk mengutuk IS kini di hadapan Dewan, tetapi Najib masih perlu menyelaraskan dasar-dasar domestik dengan pengumuman antarabangsanya mengenai kesederhanaan dan penubuhan GMM.

Dalam ucapan pertamanya di Perhimpunan Agung PBB pada 27 september 2010 apabila beliau pertama kali membenihkan idea GMM, untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian dan menangani Islamofobia yang merendahkan martabat Islam dan menyinggung satu setengah bilion penganut agama itu, beliau memuji sekumpulan Kristian Amerika yang telah “bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mengelakkan ugutan pembakaran al-Quran dengan hujah yang menarik bahawa ia adalah sebenarnya tidak-Kristian untuk membakar al-Quran”.

Najib berkata pada waktu itu bahawa ini adalah satu contoh yang jelas apa yang boleh dicapai “apabila moderat dalam setiap agama bersemuka dengan pelampau yang cuba untuk merampas nilai sejagat agama kita semua”.

Namun, Najib tidak bersedia untuk ke hadapan dan mengutuk Presiden Perkasa Ibrahim Ali di atas ancaman pada Januari 2013 untuk membakar Bible berbahasa Melayu dengan hujah bahawa ia adalah tindakan membakar Bible atau mana-mana kitab suci mana-mana agama adalah tidak Islamik – itu belum lagi menyebut double standard Peguam Negara yang enggan untuk mendakwa Ibrahim Ali sama ada di bawah Akta Hasutan atau undang-undang lain yang sambil membenarkan pendakwaan hasutan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis dan intelektual seperti pensyarah undang-undang Dr. Azmi Sharom dan Ali Abdul Jalil yang terpaksa melarikan diri dari Malaysia dan mendapatkan suaka dan perlindungan di Sweden kerana penindasan dari pihak berkuasa dan kumpulan samseng.

Dalam mesejnya pada hari Aidiladha, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulangi bahawa ia akan menepati ikrar “kesederhanaan” beliau yang diulanginya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-69 pada bulan September tahun ini.

Najib perlu sedar bahawa kempen wasatiyyah (kesederhanaan) beliau demi keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan tidak mempunyai kredibiliti melainkan jika beliau dilihat menegakkan semua prinsip-prinsip ini bukan sahaja di arena antarabangsa tetapi juga dalam dasar-dasar kerajaan di dalam negara ini.

Ini adalah sebabnya mengapa semua mata tertuju pada Perhimpunan Agung UMNO minggu ini, semua rakyat Malaysia, Umno dan bukan Umno, orang Melayu dan bukan Melayu, bertanyakan soalan “Di manakah silapnya kita” dalam mempromosikan wasatiyyah bukan sahaja di bawah Perdana Menteri sekarang tetapi dalam sejarah 57 tahun negara sehinggakan bekas Ketua Hakim Negara (Tun Abdul Hamid Mohamad) ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen Perpaduan Nasional NGO Melayu dan Islam pada hari Ahad boleh memberi amaran bahawa orang Melayu boleh mengalami nasib yang sama seperti Red Indian di Amerika Syarikat kecuali jika PAS dan UMNO bersatu untuk kononnya menghalang DAP dari mendapat kuasa di peringkat persekutuan.

Pertamanya, DAP tidak pernah berkata atau percaya bahawa ia boleh mencapai kuasa persekutuan tanpa menjadi sebahagian daripada gabungan politik yang dikuasai Melayu.

Ini bukan satu-satunya perkara yang salah atau kesilapan dalam tesis bekas Ketua Hakim Negara, yang bertentangan dengan ketiga-tiga prinsip Wasatiyyah keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan.

Adakah Najib, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Hishammuddin, Zahid dan Shafie Apdal mengakui bahawa UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu, telah menggagali orang Melayu selepas memerintah Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia untuk 57 tahun di bawah enam Perdana Menteri UMNO sehinggakan orang Melayu kini menghadapi risiko mengalami nasib yang sama seperti orang Red Indian di Amerika Syarikat – dan bahawa hasil mengerikan ini hanya dapat dielakkan, dan orang Melayu dapat diselamatkan hanya jika PAS bersatu dengan UMNO untuk menyelamatkan Melayu.

Adakah Najib dan Hishammuddin akan mengakui bahawa bapa mereka masing-masing, Tun Razak dan Tun Hussein, telah gagal sebagai Perdana Menteri kedua dan ketiga sehingga meletakkan orang Melayu di Malaysia di bawah risiko sedemikian?

Amaran ‘Red Indian’ ini adalah menjadi helah kegemaran Tun Dr. Mahathir. Apakah Mahathir mengakui bahawa beliau adalah begitu gagal sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 sehinggakan beliau telah meninggalkan orang Melayu selepas lebih dua dekad sebagai Perdana Menteri, mempertaruhkan nasib menjadi sepertiRed Indian di Amerika Syarikat?

Kita berhadapan dengan cabaran sama ada kita bersedia untuk menjadi sederhana di negara kita sendiri, yang merupakan ujian sebenar sama ada kita boleh menjadi benar-benar sederhana di dunia dalam satu Pergerakan Kempen Kesederhanaan Global bagi memimpin seruan untuk mengasingkan dan meminggirkan segala bentuk ekstremisme, sikap tidak bertoleransi dan keganasan.

Selepas mentadbir negara selama 57 tahun, UMNO perlu lebih inklusif dan kurang eksklusif – malangnya, yang sebaliknya berlaku, ia menjadi lebih eksklusif dan kurang inklusif berbanding masa lalu.

Apakah UMNO bersedia untuk meletakkan garis pemisah, dan Perhimpunan Agung UMNO minggu ini dapat menunjukkan bahawa UMNO berdiri teguh untuk kesederhanaan dan meminggirkan ekstremisme, sikap tidak bertoleransi dan ketaksuban di Malaysia?

Usul di hadapan Dewan meminta sokongan bagi dasar dan usaha-usaha kerajaan untuk menangani ancaman dari militan IS – “menyokong Kerajaan melaksanakan dasar-dasar dan usaha-usaha yang diperkenalkan menangani ancaman kumpulan militan Islamic State; melulus dan merestui dasar-dasar dan usaha-usaha yang diperkenal oleh Kerajaan untuk menangani ancaman kumpulan militan Islamic State” dan “menyeru semua lapisan rakyat Malaysia mempergiatkan usaha dan komitmen mereka untuk bersama-sama menyokong Kerajaan menangani ancaman berkenaan”

Seandainya dalam pergelutan demi kesederhanaan ini, kempen Pergerakan Kesederhanaan Global mahu berjaya di peringkat nasional dan antarabangsa, dalam menghadapi ancaman yang ditimbulkan oleh IS dan pelampau sepertinya, pihak yang tidak bertoleransi dan pertubuhan-pertubuhan pengganas, ia mestilah menjadi usaha untuk penyatuan nasional bagi semua rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama, melangkaui bangsa, agama atau politik.

Atas sebab ini, saya memohon diadakan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk menggembleng sokongan demi kesederhanaan dan menggubal undang-undang untuk menangani ancaman IS, kerana ancaman oleh pihak pelampau, golongan yang tidak bertoleransi dan pertubuhan-pertubuhan pengganas seperti Negara Islam tidak boleh ditentang dan memenangi melainkan jika ia adalah usaha bersama seluruh rakyat Malaysia, dan bukan hanya Umno atau Barisan Nasional – terutamanya pada ketika kerajaan UMNO/BN hanyalah sebuah kerajaan minoriti, dengan sokongan minoriti rakyat Malaysia.

Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk menggembleng sokongan untuk kesederhanaan dan untuk menggubal undang-undang dan langkah-langkah untuk menangani ancaman IS perlu ditubuhkan sebelum Parlimen ditangguhkan esok sehingga Mac tahun hadapan.

[Ucapan oleh Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang berkenaan usul Perdana Menteri mengenai Kertas Putih Islamic State di Parlimen pada hari Rabu, 26 November4 2014]

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.