Putrajaya salah strategi isu kenaikan tol Tambak Johor: Bahagian 2


Nur Jazlan
The Malaysian Insider
8 August 2014

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Selasa lalu, mengenai kajian untuk menaikkan kadar tol Tambak Johor pada 1 Ogos, sudah dilakukan sejak dua tahun lalu bagi menampung kos pembinaan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) sebenarnya, membuktikan betapa kerajaan terus ‘berahsia’ kepada rakyat.

Pada masa sama kenyataan menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu mengesahkan segala telahan dan andaian rakyat Johor selatan sebelum ini, mengenai kenaikan kadar tol Tambak Johor adalah untuk menampung pembinaan EDL yang siap sepenuhnya pada 2012.

Bagaimanapun, timbul pula persoalan mengapa syarikat MRCB yang diberikan konsesi membina EDL tidak dibenarkan mengutip tol pada lebuh raya sepanjang 8 kilometer itu? Sedangkan menjadi amalan dalam konsesi lebuh raya di negara ini, syarikat yang membina lebuh raya boleh mengenakan tol kepada penggunanya.

Dasar ‘flip flop’ kerajaan Barisan Nasional (BN) ini, sebenarnya terus mengundang tanda tanya kepada rakyat yang memberikan mandat kepada parti untuk memerintah selepas Pilihanraya Umum (PRU) 13, walaupun hanya memenangi 133 kerusi Parlimen dan terus kehilangan Selangor serta Pulau Pinang untuk penggal kedua berturut-turut.

Selama ini, Johor dianggap sebagai tiang seri kepada Umno dan BN tetapi tidak dalam PRU13 lalu, apabila DUN Johor menyaksikan pertambahan kerusi Pakatan Rakyat (PR) serta pertambahan juga dalam kerusi Parlimen.

Abdul Wahid bagaimanapun, tidak boleh dipersalahkan dalam keputusan untuk menaikkan kadar tol Tambak Johor kerana beliau baru bertugas sebagai menteri EPU dan status EDL sudah berada dalam keadaan ‘kabur’ sejak tiga tahun lalu.

Malah difahamkan, menteri yang bertanggungjawab terhadap kenaikan kadar tol ini, tidak mempunyai kebebasan untuk menjelaskan perkara ini, kepada rakyat dan terpaksa menunggu serta mendapat arahan daripada pihak ‘atasan’.

Ia menunjukkan betapa menteri Kabinet tidak boleh bertanggungjawab atas segala keputusan yang dilakukan kementerian masing-masing kerana mereka hanya melaksanakan serta mengikut telunjuk pihak ‘atasan’.

Jika ini, benar-benar berlaku bagaimana pula dengan pandangan daripada wakil rakyat biasa seperti saya, adakah apa yang dinyatakan dan disuarakan ahli Parlimen biasa untuk kepentingan rakyat didengari pihak ‘atasan’.

Secara dasarnya, kerajaan sudah bersetuju untuk EDL dijadikan sebagai projek penswastaan kerana ia jelas menunjukkan kerajaan mengakui tidak mempunyai wang untuk membina infrastruktur berkenaan selain ia hanya berfungsi sebagai laluan alternatif kepada pengguna lalu lintas yang tidak mahu menempuh kesesakan di Jalan Tebrau.

Selaku pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), keputusan kerajaan yang berubah untuk membeli semula EDL daripada syarikat swasta, lari daripada matlamat asalnya, dan ia sudah pasti merugikan wang rakyat kerana pengguna lalu lintas mempunyai pilihan untuk menggunakan jalan Persekutuan iaitu Jalan Tebrau.

Tindakan kerajaan seperti ini, yang terus melakukan keputusan secara reaktif bukan dengan terancang menyebabkan rakyat menjadi tidak yakin terhadap kepimpinan yang ada sekarang.

Ramai termasuk rakan-rakan saya dalam BN yang mempersoalkan mengapa selaku ahli Parlimen Pulai pada 2011 lalu menyokong EDL dikenakan tol tetapi kemudian menentang kenaikan tol Tambak Johor.

Mereka ini sebenarnya, yang tidak memahami persoalan sebenar serta gagal menyelami isu sebenar mengenai kenaikan kadar tol Tambak Johor, EDL dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.

Ketiga-tiga ini, adalah komponen yang berbeza sama sekali dan jika kenaikan kadar tol Tambak Johor sehingga lebih 400% adalah untuk menampung pembinaan EDL, kerajaan ternyata salah sama sekali dalam melaksanakan dasar serta strategi itu.

Yang lebih menghairankan apa sebenarnya dasar kerajaan dalam menaikkan kadar tol Tambak Johor kerana jika Singapura menaikkan kadar Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi mengawal kenderaan Malaysia masuk ke negara itu, apakah rasionalnya kenaikan kadar tol ini.

Di manakah kewajarannya untuk menaikkan kadar tol Tambak Johor bagi membayar balik apa yang sudah dibelanjakan syarikat konsesi EDL bagi membinanya?

Sepatutnya, kerajaan membenarkan syarikat konsesi mengenakan tol di EDL barulah ada keadilan untuk semua pengguna lalu lintas dan sudah pasti, syarikat konsesi EDL mempunyai perancangan asal untuk meletakkan plaza tol di lebuh raya berkenaan bagi mengutip tol, mengapa tidak digunakan sahaja perancangan asal membina plaza tol berkenaan.

Seperti yang saya kupas dalam artikel saya sebelum ini, bertajuk Putrajaya salah strategi dalam isu kenaikan tol Tambak Johor, pengguna lalu lintas yang terjejas teruk adalah mereka berpendapatan rendah yang cuba mencari rezeki lebih baik di negara jiran berikutan pertukaran wang asing.

Walaupun, kerajaan menyatakan pengguna Tambak Johor yang menggunakan motosikal tidak dikenakan tol, tetapi bagaimana pula mereka yang menggunakan perkhidmatan awam serta bas kilang untuk berulang alik seawal jam 4 pagi dan pulang jam 9 malam.

Sudah pasti syarikat pengangkutan ini, akan menaikkan kadar tambang mereka disebabkan kenaikan tol berkenaan begitu mendadak dan dahsyat sekali sehingga tidak pernah berlaku dalam sejarah kenaikan kadar tol di negara ini.

Untuk pengetahuan, kadar tol Tambak Johor untuk perjalanan pergi dan balik Johor Baru ke Singapura naik daripada RM2.90 kepada RM16.50 untuk kereta, kenaikan 568%; lori kecil, RM4.90 kepada RM24.90 (607%); lori besar, RM5.50 kepada RM33.30 (605%); teksi, RM1.30 kepada RM8.20 (630%) dan bas pula daripada RM2.10 kepada RM13.30 (607%).

Akhbar Sin Chew Daily dalam rencananya, baru-baru ini, turut memberikan kiraan mudah dengan mengambil contoh seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan menggunakan kereta serta bekerja 22 hari sebulan, kadar tol yang perlu ditanggung mereka akan meningkat kepada RM2,400 sebulan.

Mengapa dinaikkan sebegitu rupa, apakah justifikasi untuk kenaikan yang begitu mendadak? Jika untuk menampung kos pembinaan EDL, biar saja pengguna yang menggunakan EDL dikenakan tol.

Namun dalam isu ini, pengguna yang tidak menggunakan EDL juga dikenakan kadar tol, dan ia bermakna mereka tidak mempunyai laluan alternatif. Bukankah menjadi dasar kerajaan untuk membina laluan alternatif kepada pengguna jalan raya yang tidak mahu menggunakan lebuh raya dan membayar tol seperti kenyataan seorang pemimpin dulu, ‘jika tidak mahu bayar tol, guna jalan biasa’.

Namun dalam isu tol Tambak Johor, pengguna tidak mempunyai pilihan sama ada mereka menggunakan EDL atau Jalan Tebrau, tol Tambak Johor tetap perlu dibayar, jadi di manakah keadilan kepada rakyat, dimanakah slogan ‘rakyat didahulukan’ ?.

Masalah kesesakan Tambak Johor tidak mungkin dapat diatasi dan ia juga penyebab mengapa kadar tol di laluan berkenaan tidak boleh dinaikkan disebabkan pengguna terus terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk.

Jika kerajaan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor, saya berpendapat kadar tol Tambak Johor boleh dinaikkan tetapi tidaklah dinaikkan pada kadar yang ada sekarang.

Timbulnya isu kenaikan kadar tol Tambak Johor ini, menyebabkan saya terfikir juga mengapa Plus sebagai sebuah syarikat yang diswastakan terus mengutip tol di Tambak Johor sejak berpuluh tahun sedangkan lebuh raya syarikat konsesi berkenaan bermula dan berakhir di Skudai dan Pandan, Johor Baru dan lebih menghairankan, Tambak Johor tidak mengalami sebarang perubahan sejak mula dibina hampir seabad yang lalu.

Ke mana wang kutipan tol itu hendak dibelanjakan dan apa manfaatnya kepada pengguna lalu lintas selama ini, sedangkan kesesakan Tambak Johor terus berlaku sehingga kini.

Atas sebab itu, langkah konkrit bagi menyelesaikan masalah kesesakan Tambak Johor perlu dilakukan dengan segera bagi memberikan justifikasi terhadap kutipan tol Plus di Tambak Johor dan antara langkah segera yang boleh diambil adalah dengan memindahkan operasi lori ke Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Persoalannya yang ditimbulkan ketika ini, adakah kerajaan tunduk pada desakan mana-mana pihak untuk tidak mengenakan tol di EDL atau kerajaan terpaksa menelan janji untuk tidak mengenakan tol EDL yang dibuat pada 2012.

Saya difahamkan, akibat janji untuk tidak mengenakan tol di EDL, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi EDL berjumlah berjuta ringgit setiap bulan walaupun, pada awalnya, kerajaan berhasrat untuk mengambil alih atau kata lain membeli lebuh raya berkenaan.

Disebabkan tidak mampu, kerajaan tidak meneruskan hasrat membeli lebuh raya berkenaan serta tidak mampu membayar pampasan setiap bulan. Berikutan itu, pakar-pakar strategi dan ‘punahsihat’ di Putrajaya membuat keputusan untuk menaikkan kadar tol di Tambak Johor sebagai jalan paling mudah dan cuba untuk mengaburi mata rakyat dengan memberikan pelbagai alasan lemah.

Kerajaan perlu sedar rakyat sebenarnya, mahu sebuah pasukan membela nasib serta kesejahteraan mereka yang mantap, sentiasa mendahulukan mereka dan dengan apa yang berlaku pada kerajaan PR di Selangor, inilah masa terbaik untuk membuktikan segala slogan untuk rakyat bukan sekadar ayat-ayat manis.

Saya tidak mahu rakyat Johor terus menuduh kerajaan BN sebuah kerajaan zalim yang mungkir janji seperti yang dilaungkan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang kerana inilah, yang cuba dipermainkan pembangkang ketika ini.

Suatu keputusan berani dan konkrit perlu diambil sebagai jalan tengah bagi meredakan kemarahan rakyat Johor selatan dalam isu kenaikan kadar tol ini, kerana ia sudah pasti akan menjadi modal politik terbaik buat pembangkang dalam PRU14 kelak.

Jadi sudah sampai masanya, kerajaan berterus terang kepada rakyat, dan jika terpaksa membuat keputusan pusingan U untuk mengenakan tol di EDL, ia amat perlu dilakukan, bukannya mengenakan tol di Tambak Johor bagi melindungi sebuah janji yang sebenarnya, tidak dapat ditepati. – 8 Ogos, 2014.

Datuk Nur Jazlan Mohamed is a three-term MP for Pulai, three-term Umno Pulai Divison Chief and the new PAC chairman. Apart from being in the new politics, he also writes for The Malaysian Insider while debating other matters at www.nurjazlan.net

  1. #1 by Justice Ipsofacto on Friday, 8 August 2014 - 9:03 am

    Salah strategi? Apa tu salah strategi? There is no strategy involved here. Instead it is a plain matter of public administration.

    The increase in toll ought to be justifiable either in terms of costs increase or for covering rising inflation. In either case the increase of several hundred percent can never be justified. And that would immediately make the increase both irrational and unreasonable in law.

    Unless (which if true then umno is hiding the truth from us) our country’s inflation rate is actually running at an insane level.

  2. #2 by Cinapek on Friday, 8 August 2014 - 6:19 pm

    Dear YB Datuk,

    I salute your honesty and courage in telling Putrajaya the hard truth. Some pen pushers in their ivory towers in Putrajaya are so removed from reality and what is happening on the ground simply look for superficial solutions totally removed from justification. and when caught out, could only offer lame excuses that makes the people even angrier as it insults their intelligence.

    You are right. BN will bear the fallout from this come GE14 for their lies, betrayal and robbery of the rakyats’ hard earned money. They will not easily forget and forgive that they have to get up at 4am to go to work and could only return home after 9pm daily only to see a large portion of their hard earned income stolen from them.

You must be logged in to post a comment.