Walaupun berbeza pendapat, Nik Aziz sedih dengan kematian Karpal


TMI | April 17, 2014

Walaupun mempunyai perbezaan ketara dalam beberapa hal namun Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat terasa dengan kehilangan Karpal Singh yang beliau sifatkan sebagai pendokong kuat Perlembagaan Persekutuan.‎

Menurut bekas menteri besar Kelantan itu, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan seperti Karpal, Kelantan pasti tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan.

Nik Aziz berkata demikian dalam satu kenyataan bertulisnya hari ini ekoran kematian Karpal dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

“Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli Parlimen Jelutong yang meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini.

“Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya,” katanya.

Bagi Nik Aziz, Karpal merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular.

“Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS, dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini,” katanya.

Nik Aziz juga masih ingat bagaimana layanan Karpal terhadapnya ketika beliau mengunjungi mendiang di rumahnya di Pulau Pinang.

“Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat mesra daripada beliau.

“Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda,” katanya.

“Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Namun, Nik Aziz sedikit terkilan kerana Karpal pergi sebelum rang undang-undang persendirian mengenai undang-undang Islam termasuk hudud dibentangkan.

“Saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud.

“Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud,” katanya.

Nik Aziz juga mengungkitkan sepucuk surat yang dihantar oleh seorang perdana menteri ketika beliau menjadi menteri besar Kelantan dahulu.

“Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh.

“Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali,” katanya. – 17 April, 2014.

  1. #1 by undertaker888 on Thursday, 17 April 2014 - 3:28 pm

    A big contrast compared to the donkey zulkifli nordin. Only a animal can behave this way.

  2. #2 by Justice Ipsofacto on Thursday, 17 April 2014 - 4:10 pm

    PAS leaders are showing great maturity and tolerance very much unlike umno idiots.

    The lion of jelutong is a lion with a difference. He smiles. And that is what that makes him even greater.

  3. #3 by Bigjoe on Thursday, 17 April 2014 - 4:21 pm

    VERY EXCELLENT INSIGHT. If everyone respect the law and constitution like Karpal, there would not be any need for talk of Hudud.

You must be logged in to post a comment.