Najib perlu bertindak segera untuk menghentikan sebarang serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh pihak berkuasa Islam ke atas agama lain kerana kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan mesej yang beliau sampaikan bersempena perayaan Krismas dan Tahun Baru


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu bertindak segera untuk menghentikan sebarang serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh pihak berkuasa Islam ke atas agama lain kerana kegagalan berbuat demikian akan menjadikan mesej yang beliau sampaikan bersempena perayaan Krismas dan Tahun Baru hilang makna dan hilang kredibiliti.

Dalam tempoh kurang daripada sepuluh hari selepas Najib menyampaikan dua ucapan Krismas – satu dalam majlis Hi-Tea Krismas rasmi di Kuala Lumpur dan satu lagi dalam majlis Rumah Terbuka Krismas peringkat kebangsaan di Pulau Pinang – mesej kesederhanaan, keharmonian dan kerukunan hidup antara kaum telah dinafikan menerusi serbuan haram oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis ke atas premis Persatuan Alkitab Malaysia dan rampasan sebanyak 350 naskhah Alkitab berbahasa Melayu dan Iban.

Dalam ucapannya, Najib menyebut bahawa lebih baik untuk Muslim dan Kristian tidak berbalah tentang perbezaan di antara mereka, sebaliknya mencari titik persamaan “untuk memelihara keamanan, keharmonian dan kestabilan negara,” sambil menggesa kedua-dua kelompok itu untuk memahami sensitiviti kedua-dua agama supaya masing-masing tidak tersentuh.

Ujar Najib, “Muslim tidak patut mengguris perasaan Kristian dan begitu juga sebaliknya, Kristian tidak patut mengguris perasaan Muslim.”

Namun, sentimen ini dipadamkan dengan serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jais ke atas Persatuan Alkitab Malaysia kelmarin.

Menurut Najib dalam ucapan Krismas beliau, pendekatan yang moderat dan rasional diperlukan untuk memastikan Malaysia kekal aman dan harmoni, agar “perbezaan antara agama tidak menjadi faktor yang melemahkan masyarakat, sebaliknya menjadi unsur yang kuat dalam pembinaan negara, kerana ia sentiasa mengingatkan kita bahawa kita berkongsi banyak titik persamaan dan nilai yang diterima sejagat, seperti semangat cintakan negara, keamanan, kemurahan hati, membantu orang yang miskin dan memerlukan, keadilan sosial dan sebagainya.”

Ujar Najib lagi, “Agama kita berbeza, tetapi kita tidak berpecah-belah.”

Mesej ini juga sama sekali tidak dipedulikan dalam serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan kelmarin.

Najib telah menyerang ahli-ahli politik yang menurut beliau menimbulkan kontroversi demi keuntungan politik tanpa menghiraukan keamanan dan keharmonian apabila beliau menyebut:

“Tekad kita untuk menjadi sebuah negara yang toleran dan aman telah diuji berkali-kali. Seperti dalam ujian sebelum ini, kita tetap berwaspada dalam memberi respons namun pada masa yang sama teguh mempertahankan cara hidup kita yang moderat dan harmoni.

“Ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan hanya mencari kemasyhuran untuk jangka pendek sehingga menjejaskan keharmonian akan terus membangkitkan perkara-perkara sensitif dan titik kelemahan bagi menonjolkan dirinya sebagai seorang pahlawan demi meraih keuntungan politik.

“Saya sentiasa menolak tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian dan saya percaya semua rakyat melihat tindakan itu sebagai sesuatu yang sia-sia.”

Serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jais ke atas Persatuan Alkitab Malaysia serta rampasan Alkitab versi Melayu dan Iban adalah contoh bagi “tindakan tidak bertanggungjawab” dan “sia-sia” yang disebut Najib, maka sebagai seorang Perdana Menteri beliau perlu bertindak segera.

Dalam Perutusan Tahun Baru beliau, Najib menyatakan keperluan untuk secara giat membina perpaduan berikutan hubungan antara kaum yang memburuk di tahun lalu.

Kata beliau, “Tanggungjawab kerajaan – dan keutamaan saya – adalah untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung kepada faktor-faktor ini. Membina semula perpaduan negara, dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini. Apabila tahun baru menjelma, anda akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana kerajaan akan melaksanakan dasar ini.

Sudah tentu serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh pihak berkuasa Islam ke atas agama lain bukan perkara yang dimaksudkan oleh Najib sewaktu beliau berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan Barisan Nasional akan mengukuhkan semula perpaduan nasional di tahun baru – malah, beliau perlu memberi jaminan bahawa tindakan haram dan bertentangan dengan perlembagaan sedemikian tidak akan dibiarkan berlaku kerana ia akan menjejaskan lagi perpaduan dan akan lebih menimbulkan pecah-belah, bukannya mengukuhkan perpaduan.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.