Completion of Impian Sabah’s inaugural project in Kampung Samparita Laut, Kota Marudu


Tuan-tuan puan-puan sekalian, hari ini merupakan satu hari bersejarah untuk Kg Samparita Laut ‎dan juga bagi parti DAP.

Hari ini cukup bermakna sebab akhirnya selepas 50 tahun pertubuhan Malaysia, penduduk-penduduk Kg Samparita Laut dapat menikmati air paip dalam rumah sendiri. Lima puluh tahun Sabah masuk Malaysia, Kg Samparita Laut diabaikan, dipinggirkan. ‎ Tetapi walaupun penduduk-penduduk kampung bukan dapat air paip yang dirawat, sekurang-kurangnya, ‎Tuan-tuan puan-puan tak perlu bergantung kepada air hujan dan air sungai yang keruh lagi.

Hari ini amat bersejarah untuk parti DAP kerana Kg Samparita Laut merupakan projek Impian Sabah yang pertama. Impian Sabah dilancarkan oleh DAP untuk membantu menaiktarafkan kehidupan rakyat di kawasan pendalaman Sabah yang masih hidup tanpa infrastruktur dan keperluan asas seperti elektrik, air dan lain-lain.

Impian Sabah berhasrat untuk mengumpul Dana daripada rakyat Malaysia, terutamanya daripada Semenanjung Malaysia untuk mengusahakan projek – projek yang diperlukan. ‎ Impian Sabah juga ingin membolehkan sukarelawan-sukarelawan terutamanya daripada Semenanjung Malaysia untuk datang ke Sabah untuk membawa perubahan. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua ‎sukarelawan-sukarelawan yang bukan sahaja bertungkus-lumus membantu projek air paip graviti ini, mereka datang tanpa dibayar oleh sesiapa pun. Kesemua kos perjalanan yang berjumlah melebihi seribu ringgit setiap orang adalah ditanggung oleh mereka sendiri.

Kami berharap sukarelawan-sukarelawan yang hadir bukan sahaja dapat membantu dari segi kerja-kerja projek air ini, tetapi juga dapat meningkatkan pesefahaman antara orang Semenanjung dengan rakyat di pendalaman Sabah. Kami berharap supaya perkongsian ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan kita kerana kita semua rakyat Malaysia.

Akan tetapi, Impian Sabah merupakan hanya suatu permulaan sahaja. Rakyat di kawasan pendalaman Sabah seperti Kg Samparita Laut mempunyai banyak masalah yang rumit. Penduduk-penduduk masih tiada bekalan elektrik. Orang kampung nak menyeberangi sungai tidak ada bot atau jambatan. Tanah orang kampung milik nenek-moyang dirampas oleh orang lain. Kesemua ini sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Akan tetapi harapan ini, kian hari, kian kurang. Kerajaan BN yang selalu memberikan janji-janji manis tidak menunaikan janji.‎ ‎‎

Saya telah berkali-kali melawat Batu Sumpah Keningau yang mencatatkan janji-janji BN kepada rakyat Sabah.‎ ‎‎ Tiga janji tersebut merupakan asas kepada penggabungan Sabah dengan Malaya yang membentuk persekutuan Malaysia pada 1963 yang mengetengahkan kebebasan beragama dalam Sabah, penguasaan tanah oleh kerajaan Sabah dan menghormati serta memulihara adat istiadat di negeri tersebut.‎ Adakah sumpah yang dilakar di atas Batu Sumpah Keningau ini sudah ditunaikan?‎‎

Yang paling penting sekali, dan juga yang berkaitan dengan hak orang Kg Samparita Laut adalah Isu Tanah‎. Walaupun penduduk-penduduk di sini telah menetap di kampung ini berpuluh-puluh tahun, tetapi tanah nenek moyang Tuan-tuan dan puan-puan telah dirampas oleh syarikat-syarikat kayu balak.‎ Ini jelas satu pencabulan melampau, memeranjatkan dan benar-benar satu jenayah terhadap perjanjian “tanah” pada Batu Sumpah Keningau. Peminggiran, kemiskinan dan keterbelakangan sosio-ekonomi tidak sepatutnya berlaku pada negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak.

Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberikan peluang pimpinan di Sabah dan Putrajaya akan segera melaksanakan dasar “Tanah bagi yang Tidak Bertanah” untuk rakyat asal Sabah yang mahu mengusahakan tanah. ‎Kami juga akan membanteras penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan sebahagian besar tanah dirampas oleh mereka yang berkuasa untuk kroni-kroni mereka.

Pada masa ini mungkin ramai termasuk yang ada di Kg Samparita, tidak mengenali DAP. DAP telah ditubuhkan sejak 1966 dan kini merupakan parti pembangkang yang paling besar di Malaysia dengan 38 ahli Parlimen dan 103 ahli Dewan Undangan Negeri. Kami bekerja sama dengan PKR dan PAS untuk mendirikan Pakatan Rakyat, untuk lawan sama Barisan Nasional. Kami telah mendapat keyakinan daripada semua rakyat kawasan bandar – Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu. Kami nak memberikan jaminan bahawa DAP tidak akan mengabaikan kepentingan dan hak rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak. Rakyat di semua bandar-bandar Malaysia memilih DAP dan Pakatan Rakyat akibat rasuah dan penyelewengan Barisan Nasional. Rakyat di bandar juga yakin kepada DAP dan Pakatan Rakyat kerana kami telah membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor adalah tidak be rasuah, cekap dan beramanah.

Yang paling penting sekali, kerajaan Pakatan Rakyat berjaya membantu semua rakyat mi skin dan kurang upaya dalam negeri kami. Parti DAP akan berikrar kepada penduduk-penduduk Kg Samparita Laut dan juga rakyat Sabah hari ini, bahawa DAP tidak akan mengabaikan aspirasi dan keperluan rakyat yang menderita. Impian Sabah membuktikan DAP bukan sahaja pandai cakap. Kami akan buat dengan bersungguh-sungguh. Kami akan menunaikan janji-janji kami. Wakil rakyat DAP akan berjanji untuk mendesak kerajaan BN negeri dan pusat untuk membantu orang kampung di sini.

Akhirnya, Impian Sabah bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan BN yang tamak, rasuah dan menyeleweng. Dan kami harap penduduk – penduduk akan berjuang bersama kami untuk membawa perubahan ke Malaysia, negara yang kita cinta ini.

(Speech when officiating the completion of the Impian Sabah gravity water pump in Kampung Samparita Laut, Kota Marudu on Thursday 19th December 2013 at 2 pm)

  1. #1 by boh-liao on Friday, 20 December 2013 - 8:48 am

    “Satu lagi projek kerajaan BN” ……. ooops, sorry “Projek pertama pembangkang DAP”

You must be logged in to post a comment.