Tidak mungkin Muhyiddin mampu mengadakan rancangan untuk melonjakkan Malaysia ke dalam kelompok sepertiga teratas dalam PISA 2021 kerana untuk mencatat pencapaian sedemikian dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA, Malaysia perlu menjadi “negara ajaib”


Sejak dua hari yang lalu, saya meminta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berhenti membina “mahligai kayangan” dan menggariskan rancangan padu untuk membuktikan bahawa sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk meletakkan pelajar berusia 15 tahun di Malaysia dalam kalangan sepertiga teratas dalam PISA 2021 bukan angan-angan kosong.

Kini saya faham mengapa Muhyiddin membisu tentang keputusan PISA 2012, ujian tiga tahunan global melibatkan 510,000 pelajar berusia 15 tahun dari 65 buah negara untuk subjek sains, matematik, dan bacaan, yang mendapati pencapaian pelajar berusia 15 tahun di Malaysia dalam ketiga-tiga subjek itu bukan saja di bawah tahap purata antarabangsa, malah mereka ketinggalan empat atau lima tahun di belakang rakan-rakan mereka yang seusia dari negara-negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan.

Sebagai contoh, untuk subjek matematik, skor 421 yang dicapai oleh pelajar berusia 15 tahun Malaysia adalah lima tahun ketinggalan di belakang rakan-rakan sebaya mereka dari Shanghai (613), empat tahun di belakang Singapura , dan lebih tiga tahun di belakang tujuh buah negara/wilayah lain –Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Macao, Jepun, Liechtenstein dan Switzerland.

Untuk subjek sains, skor 420 pelajar Malaysia adalah 4.2 tahun di belakang Shanghai (580), dan lebih tiga tahun di belakang enam negara/wilayah lain – Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Finland dan Estonia.

Untuk bacaan, dengan skor 398 Malaysia ketinggalan empat setengah tahun di bekalang Shanghai (570) dan lebih tiga tahun di belakang 13 buah negara/wilayah – Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Finland, Kanada, Taiwan, Ireland, Poland, Estonia, Liechtenstein, Australia dan New Zealand.

Sebab Muhyiddin membisu tentang keputusan PISA 2012 adalah mudah dan jelas – beliau tidak mempunyai rancangan padu untuk melonjakkan Malaysia ke dalam kelompok sepertiga teratas dalam PISA 2021, kerana untuk mencatat pencapaian sedemikian dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA Malaysia perlu menjadi “negara ajaib” memandangkan tiada negara mampu berbuat demikian.

PISA 2012 menunjukkan bahawa di kalangan negara yang ikut serta dalam setiap penilaian PISA sejak 2003, tujuh buah negara mencatatkan peningkatan pencapaian dalam subjek matematik secara purata 2.5 mata setahun sejak tahun 2003.

Negara-negara berkenaan ialah Brazil yang telah mencatatkan peningkatan sebanyak 35 mata dari 356 mata kepada 391 mata dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA, iaitu bagi tahun 2003, 2006, 2009 dan 2012; Itali yang telah mencatatkan peningkatan 19 mata dari 466 kepada 485 mata; Mexico yang telah mencatatkan peningkatan 28 mata dari 385 kepada 413; Poland yang telaah mencatatkan peningkatan 18 mata dari 490 kepada 518 mata; Portugal yang telah mencatatkan peningkatan 21 mata dari 466 kepada 487; Tunisia yang telah mencatatkan peningkatan 29 mata dari 359 kepada 388 mata; dan Turki yang telah mencatatkan peningkatan 25 mata dari 423 kepada 448 mata.

Malaysia pada masa ini terperangkap dalam kelompok sepertiga tercorot dalam PISA, iaitu di bawah 450 mata untuk matematik. Untuk melonjak ke dalam kelompok sepertiga terbaik dalam PISA, Malaysia perlu meraih sekurang-kurangnya 532 mata, bererti ia perlu mencatatkan peningkatan 111 mata dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA 2012, 2015, 2018 dan 2021 – sesuatu yang belum pernah dicapai oleh mana-mana negara, memandangkan peningkatan terbaik sejauh ini hanya 35 mata, dicatatkan oleh Brazil dalam ujian PISA tahun 2003 hingga 2012.

Keadaan yang sama boleh diterapkan dalam kes ujian sains dan bacaan PISA.

Seperti persoalan yang saya ajukan kelmarain, apakah sasaran ini realistik dan mungkin untuk dicapai, atau apakah Malaysia telah berbelanja RM20 juta untuk membayar perunding asing bagi menulis Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia sebagai satu “angan-angat mat jenin” tentang transformasi pendidikan bagi tempoh 13 tahun mendatang.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pelajar berusia 15 tahun Malaysia dijangka akan mencapai tahap purata antarabangsa dalam PISA 2015 dan PISA 2018 sebelum memasuki golongan sepertiga terbaik dalam PISA 2021.

Purata OECD untuk matematik adalah 494 mata, sains 501 mata dan bacaan 496 mata. Dengan skor PISA 2012 Malaysia untuk matematik hanya 421 mata, sains 420 mata, dan bacaan 398 mata, apakah Muhyiddin benar-benar serius hendak memberitahu kita bahawa Malaysia mampu mencapai purata OECD bagi ketiga-tiga subjek ini dalam ujian PISA tahun 2015 dan 2018?

Muhyiddin tidak seharusnya merasa rakyat Malaysia begitu mudah diperdayakan dengan kerja menulis Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bernilai RM20 juta dan dijalankan oleh perunding asing.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.