Impian Sabah – seperti Impian Sarawak – adalah sebahagian daripada komitmen DAP untuk mengejar Impian Malaysia bagi membentuk negara Malaysia untuk semua warga Malaysia


Dalam Pilihanraya Umum ke-13, Pakatan Rakyat telah mensasarkan 33 kerusi dari 3 negeri “deposit tetap” Umno/BN, iaitu Johor, Sabah dan Sarawak. Kita telah gagal mencapai sasaran dan hanya memenangi 14 kerusi di negeri-negeri berkenaan, dengan 3 daripadanya kerusi parlimen di Sabah – Kota Kinabalu, Sandakan dan Penampang.

Bagaimanapun, kita telah berjaya “menghancurkan” label “deposit tetap” pada Johor dan Sarawak menerusi peningkatan besar jumlah undi keseluruhan. Di Johor, undi popular Pakatan Rakyat meningkat sebanyak 10%, iaitu kepada 45%, manakala di Sarawak peningkatan sebanyak 8.9%, iaitu kepada 37.3%.

Bagaimanapun, undi popular Pakatan di Sabah hanya meningkat sebanyak 3.4%, iaitu kepada 35.9%.

Maka, tidak syak lagi bahawa Pakatan Rakyat perlu berusaha sedaya-upaya untuk meningkatkan sokongan di negeri yang mempunyai 26 kerusi parlimen ini (termasuk Labuan).

Sabah secara logiknya adalah negeri paling bersedia untuk menerima perubahan kerana negeri itu berdepan dengan banyak masalah, termasuk tahap korupsi, salah urus, dan kemiskinan yang tinggi di sana, selain kekurangan peluang kerja dan kebanjiran pendatang haram yang dikaitkan dengan masalah sosial dan keselamatan.

Walaupun Sabah adalah antara negeri paling kaya sumber alam, selain pernah mencatatkan rekod pendapatan per kapita paling tinggi di tahun 1970an, negeri ini kini mencatatkan kadar kemiskinan paling tinggi dalam negara. Sehingga tahun 2010, 43% daripada rumah di Sabah belum mendapat bekalan air bersih atau air terawat dan 20% tiada bekalan elektrik.

Walaupun rakyat Sabah dipinggirkan dan kekayaan sumber negeri dirompak oleh kerajaan Barisan Nasional, Sabah terus kekal di tangan Umno-BN. Pakatan Rakyat tidak harus putus asa melihat keputusan PRU13, ia perlu menggandakan usaha untuk menembusi kawasan luar bandar Sabah. Kita perlu memenangi hati rakyat Sabah dengan membuktikan keikhlasan dan komitmen kita terhadap penduduk desa, serta membuktikan menerusi perbuatan bahawa kita tidak akan mengabaikan hak dan keperluan mereka.

Tiada jalan lebih baik untuk mengurangkan beban penduduk desa yang terpinggir serta hidup miskin dan melarat itu melainkan dengan turun ke bawah. Maka, inilah waktu terbaik untuk melancarkan “Impian Sabah” untuk menghantar “Agen-agen Impian Malaysia” ke pelbagai kampung di Sabah bagi mengubah kehidupan penduduk kampung.

Keputusan untuk membekalkan sistem bekalan air berasaskan graviti ke Kampung Samaritan Laut yang terletak dalam kawasan parlimen Kota Marudu adalah penting kerana kerusi itu dipegang oleh Dr Maximus Ongkili, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Lebih penting, Dr Ongkili menang di Kota Marudu dengan majoriti hanya 842 undi setelah meraih 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru. Mahap mendapat 14,326 undi, calon STAR Majamis Timbong 2,228, manakala Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya 444 undi. Jika STAR tidak memecahkan undi, Pakatan Rakyat tentu telah memenangi kerusi itu. Justeru itu, tenaga mesti dikerah untuk merebut kerusi-kerusi marginal bagi memastikan Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Impian Sabah akan menunjukkan kepada rakyat Sabah dan rakyat Malaysia di seluruh negara bahawa DAP bukan sebuah parti yang hanya pandai bercakap, sebaliknya ia adalah parti yang sanggup melaksanakan kata-katanya bagi memperbaiki kehidupan rakyat, khususnya golongan tertindas.

Kejayaan kempen Impian Sabah dan Impian Sarawak dalam memenuhi keperluan yang paling mendesak bagi rakyat bukan saja akan menyumbang ke arah usaha menawan Putrajaya, malah ke arah mencapai Impian Malaysia – sebuah masyarakat majmuk yang anggotanya bersatu-padu sebagai satu bangsa, melampaui latar kaum, agama, budaya dan bahasa.

Impian Sabah – seperti juga Impian Sarawak – adalah sebahagian daripada komitmen DAP dalam mengejar Impian Malaysia bagi membentuk Malaysia

Impian Sabah – seperti Impian Sarawak – adalah sebahagian daripada komitmen DAP untuk mengejar Impian Malaysia bagi membentuk negara Malaysia untuk semua warga Malaysia.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.