Najib perlu memberi kenyataan kementerian di Parlimen pada hari Isnin ini tentang kelonggaran kawalan keselamatan Esscom sehingga menyebabkan seorang pelancong dari Taiwan ditembak mati dan isterinya diculik oleh kumpulan yang disyaki sebagai pengganas Abu Sayyaf di pulau Pom Pom berhampiran Semporna


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi kenyataan kementerian di Parlimen pada hari Isnin ini tentang kelonggaran kawalan keselamatan Esscom sehingga menyebabkan seorang pelancong Cina ditembak mati dan isterinya diculik oleh kumpulan yang disyaki sebagai pengganas Abu Sayyaf di pulau Pom Pom berhampiran Semporna awal pagi ini.

Najib perlu memaklumkan kepada Parlimen tindakan apa yang akan diambil oleh Esscom untuk mengetatkan kawalan keselamatan supaya kejadian pembunuhan dan penculikan oleh para pengganas Filipina tidak akan berulang lagi di Sabah.

Laporan awal menyatakan bahawa sekumpulan lelaki lengkap bersenjata telah tiba di pusat peranginan Mandur Pom Pom dan menyerbu restoran di pusat peranginan tersebut yang ketika itu hanya dilanggani oleh pasangan dari Taiwan terbabit dan lalu melepaskan beberapa tembakan.

Mangsa tembakan Lim Min Hsu, 57, telah ditembak dua kali pada bahagian dada dan rusuk. Beliau meninggal di tempat kejadian. Isterinya, Lim Min Hsu, 57, dilarikan oleh kumpulan bersenjata tersebut dengan sebuah bot kecil ke arah Filipina selatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengesahkan kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1 pagi.

Pembunuhan dan penculikan di pulau Pom Pom itu memberikan tamparan hebat kepada usaha untuk memulihkan keyakinan pelancong dan orang ramai terhadap kawalan keselamatan di Sabah selepas pencorobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu pada bulan Februari lalu.

Sewaktu pelancaran Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bulan April tahun ini, Najib telah menggariskan empat strategi dan pendekatan teknikal yang akan diambil oleh Esscom untuk memelihara keamanan dan keselamatan di sepanjang 1,400 km kawasan pinggir laut bahagian timur Sabah, iaitu:

  • Peningkatan kemampuan perisikan;

  • Kawalan perairan yang berkesan 24 jam sehari;

  • Peningkatan keupayaan negara untuk memintas ancaman dari laut; dan

  • Penguatkuasaan undang-undang secara ketat, termasuk dengan mengambil tindakan segera sebaik saja penceroboh mendarat

Peristiwa tragik di pulau Pom Pom pagi ini yang membawa kepada pembunuhan seorang pelancong dan penculikan pasangannya menunjukkan bahawa keempat-empat strategi tersebut telah terjejas.

Pembentukan dan peruntukan besar kepada Esscom belum menghasilkan keamanan dan keselamatan di Pantai Timur Sabah, manakala tiga matlamat Esscom yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, iaitu untuk “menjamin sepenuhnya keselamatan,” “memulihkan keyakinan orang rami untuk kembali hidup seperti biasa” dan “memulihkan keyakinan pelancong” selepas pencerobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu, masih terlalu jauh untuk dicapai!

  1. #1 by boh-liao on Friday, 22 November 2013 - 3:52 am

    Rakyat want MURALs on walls in Sabah warning all of such incident on Pom Pom

You must be logged in to post a comment.