Kenapa SPRM tidak mampu cemerlang seperti ICAC Hong Kong dalam membasmi rasuah walaupun undang-undang anti rasuah untuk 15 tahun yang lalu dicorakkan berdasarkan model Hong Kong, dan apakah pengajaran yang boleh didapati?


PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

Tuan Lim Kit Siang [ Gelang Patah ] minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapa SPRM tidak mampu cemerlang seperti ICAC Hong Kong dalam membasmi rasuah walaupun undang-undang anti rasuah untuk 15 tahun yang lalu dicorakkan berdasarkan model Hong Kong, dan apakah pengajaran yang boleh didapati.

JAWAPAN: YB SENATOR DATUK PAUL LOW SENG KUAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat Gelang Patah, begitu dalam masa 4 tahun setelah perubahan struktur daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM, agensi ini telah mengorak langkah dengan melaksanakan transformasi sejajar dengan matlamat transformasi negara. Hasilnya dapat dilihat dengan peningkatan kadar sabitan sebanyak 54% pada tahun 2009 kepada 89% (Jun 2013), tangkapan-tangkapan ke atas individu berprofil tinggi, peningkatan keyakinan masyarakat terhadap SPRM, serta pengiktirafan antarabangsa yang diperolehi oleh Kerajaan Malaysia dalam komitmennya untuk mencegah rasuah.

Hasil kajian yang dibuat menunjukkan tahap keyakinan masyarakat telah meningkat. Kajian Merdeka Center pada tahun 2009 menunjukkan tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM adalah 31 peratus dan pada 2010 pula kajian yang sama menunjukkan ia meningkat kepada 39 peratus. Pada 2011, kajian oleh Business Ethics pula menunjukkan tahap keyakinan pada 43 peratus. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh SPRM kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012 pula menunjukkan keyakinan masyarakat meningkat kepada 64 peratus dan SPRM meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus.

Malaysia juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi usaha-usaha pencegahan rasuah. Antara yang diperolehi adalah daripada Pasukan Penilai UNCAC (United Nation Convention Against Corruption) di bawah Bab III UNCAC mengenai Penjenayahan Rasuah dan Penguatkuasaan Undang-Undang (Criminalization and Law Enforcement) yang merangkumi amalan yang baik antaranya adalah pembentukan undang-undang seperti seksyen 25 dan seksyen 50 Akta SPRM 2009, pengwujudan Mahkamah Khas Rasuah, pengwujudan Panel Penilaian Operasi (PPO) yang boleh mengkaji kes-kes tertangguh atau yang tiada pendakwaan serta lain-lain lagi. Malaysia juga turut diiktiraf di bawah Bab IV UNCAC pula merupakan Kerjasama Antarabangsa yang meliputi perjanjian dua hala dan pelbagai hala yang dimeterai oleh Kerajaan, selain kerjasama luas dengan organisasi serta initiatif di peringkat antarabangsa dan peringkat rantau Asia.

Keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap SPRM juga terbukti dengan perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai salah seorang ahli International Academic Advisory Board di International Anti-Corruption Academy (IACA) yang bertanggungjawab memberi nasihat ke atas pembangunan kurikulum dan menentukan struktur akademik IACA. IACA adalah inisiatif bersama United Nations Office On Drugs and Crime (UNODC), Republik Austria, European Anti-Fraud Office (OLAF) dan Iain-lain stakeholders untuk mencegah rasuah melalui penghasilan modul yang menggabungkan kepakaran dan pengalaman pelbagai negara, agensi dan organisasi. SPRM merupakan salah satu daripada agensi yang diminta untuk menyumbangkan kepakarannya dalam pembentukan modul berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM juga telah dilantik sebagai Naib Pengerusi kepada Ahli Lembaga (Vice Chairperson of Board of Governors) Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (International Anti-Corruption Academy or IACA) pada bulan November 2012 bagi tempoh enam tahun.

Tuan Yang di-Pertua,

Usaha pencegahan rasuah merupakan satu proses yang panjang dan Kerajaan Malaysia melalui SPRM tidak pernah berhenti dari belajar untuk menangani isu-isu rasuah di negara ini. Sejak tahun 2009, SPRM telah melalui transformasi besar-besaran bukan sahaja melibatkan aspek struktur, tetapi juga dari segi cara bekerja, sistem dan operasi. Kerana itulah, Kerajaan telah bersetuju untuk mempertingkatkan jumlah anggota SPRM sehingga menjadi 5,000 orang. SPRM juga sedang melaksanakan proses membawa masuk kepakaran tertentu yang kritikal, contohnya seperti forensik perakaunan bagi membantu agensi ini melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan. Pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia seperti Seksyen 23 dan Seksyen 36 juga akan disyorkan kepada Kerajaan bagi memberikan skop kuasa yang lebih luas kepada SPRM.

Sekian, terima kasih.

  1. #1 by Bigjoe on Wednesday, 30 October 2013 - 2:05 pm

    How to be good when every difficult problem or failures is someone else’s fault or responsibility? Najib even outsourced being the top dog in UMNO/BN to Zahid Hamidi given he has taken upon himself to lead to criticize the opposition entire Manifesto.

    Maybe we should just ask Zahid Hamidi why SPRM is so bad given Najib has abrogated his responsibility to him….

  2. #2 by undertaker888 on Wednesday, 30 October 2013 - 9:41 pm

    ICAC= I Catch All Crooks.
    MACC= Motionless Against Crony Crooks.

You must be logged in to post a comment.