Umno diseru untuk berhenti menyebarkan pembohongan dalam pilihanraya kecil Sg Limau kerana ia menjejaskan dasar 1Malaysia Najib, mengancam keharmonian hubungan antara kaum dan menjejaskan daya saing Malaysia


Umno diseru untuk berhenti menyebarkan pembohongan dalam pilihanraya kecil Sg Limau kerana ia menjejaskan dasar 1Malaysia Najib, mengancam keharmonian hubungan antara kaum dan menjejaskan daya saing Malaysia.

Dalam sidang media di Sungai Limau menjelang tengah malam Isnin, selepas PAS dan Pakatan Rakyat mengumumkan Mohd Azam Samat sebagai
calon untuk pilihanraya kecil Sungai Limau, saya meminta semua parti yang bertanding untuk menjadikan pilihanraya kecil itu sebagai model bagi politik bersi, jujur, dan bermaruah dengan memastikan pembohongan dan kepalsuan tidak disebarkan dan taktik serangan peribadi atau politik wang tidak digunakan.

Di sini saya melahirkan kekecewaan kerana seruan saya ke arah pilihanraya kecil yang bersih, jujur, dan bermaruah di Sungai Limau telah diabaikan sejak hari pertama kempen pilihanraya kecil itu lagi, iaitu kelmarin.

Seperti dilaporkan oleh wartawan Malaysiakini Susan Loone dalam laporan bertajuk “UMNO bids to undermine PAS’ Islamic credentials”,
dalam sebuah ceramah kelompok malam kelmarin, juru kempen Umno dan Barisan Nasional telah cuba meraih sokongan 93 peratus pengundi Melayu Muslim di Sungai Limau dengan menyebarkan pembohongan bahawa DAP merancang untuk membentuk Negara Kristian di Malaysia.

Seperti telah saya sebutkan sebelum itu dalam ceramah di Sungai Limau Dalam pada malam Isnin, DAP sepenuhnya dan dengan teguh menyokong ciri-ciri asasi dalam Perlembagaan Malaysia, khususnya peruntukan berkenaan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di samping jaminan terhadap bahasa-bahasa lain, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan di samping kebebasan beragama untuk bukan-Muslim, selain sistem Raja Melayu dan raja berperlembagaan dalam negara ini.

Ciri-ciri asasi dalam Perlembagaan Malaysia ini, di samping matlamat untuk mengembangkan demokrasi, tadbir urus yang baik, keadilan
ekonomi, kecemerlangan pendidikan, dan integriti dalam kehidupan awam dengan cara membasmi korupsi, ketamakan, kronisme, dan penyalahgunaan kuasa, adalah juga matlamat bersama parti-parti Pakatan Rakyat, iaitu PAS, PKR dan DAP.

Sememangnya telah diduga bahawa semua parti dan calon yang bertanding akan mencuba sedaya-upaya masing-masing utnuk memenangi pilihanraya kecil Sungai Limau, tetapi kita mesti memastikan kemenangan yang dicapai nanti bukan berasaskan pembohongan, pendustaan, serangan peribadi dan politik wang.

Apakah Umno dan BN sanggup menafikan pembohongan seperti yang disebutkan di atas, iaitu bahawa DAP merancang untuk membentuk Negara
Kristian di Malaysia, dalam pilihanraya kecil Sg Limau ini?

Saya menyeru Umno dan BN untuk berhenti menyebarkan pembohongan dalam pilihanraya kecil Sg Limau kerana ia menjejaskan dasar 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengancam keharmonian hubungan antara kaum dan menjejaskan daya saing Malaysia.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.