Dua mesej Belanjawan 2014 – Malaysia terus menjadi negara yang “mempunyai jenayah besar, tetapi tiada penjenayah” dan para menteri pula kebal daripada tindakan undang-undang walaupun cuai dalam tugas


Beberapa jam sebelum Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membentangkan Belanjawan 2014 di Parlimen dan mengumumkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 6% bermula April 2015, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Tun Dr. Ling Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan berbilion-bilion ringgit.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu membawa dua mesej yang memberi kesan langsung terhadap Belanjawan 2014, Rancangan Transformasi Nasional Najib dan arah tuju negara dan ekonomi Malaysia di masa depan, iaitu:

  • Malaysia terus menjadi negara yang “mempunyai jenayah besar, tetapi tiada penjenayah”, di mana rakyat Malaysia menjadi mangsa korupsi dan skandal raksasa dalam keadaan kerajaan dan agensi pencegahan rasuah, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tidak mampu berbuat apa-apa untuk memerangi korupsi yang melibatkan “jerung” dan bukan hanya “ikan bilis”; dan

  • Menteri kabinet kini kebal daripada hukuman jika mereka cuai dalam menjalankan tugas rasmi, termasuk tugasan di peringkat kabinet.


Ungkapan “jenayah tanpa penjenayah” terkenal 30 tahun lalu dalam skandal Bumiputra Malaysia Finance yang melibatkan dana sebanyak RM2.5 bilion ringgi – skandal raksasa pertama dalam sejarah Malaysia – kerana walaupun Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir, mengakui skandal RM2.5 bilion BMF itu adalah jenayah besar, tiada penjenayah terlibat, memandangkan tiada siapa didakwa di mahkamah jenayah mahu pun sivil.

Sepanjang tiga dekad yang lalu, fenomena “jenayah besar tanpa penjenayah” semakin menjadi-jadi, di mana setiap satu skandal baru yang muncul melibatkan jumlah wang lebih besar daripada skandal sebelumnya, manakala para pelakunya pula semakin kebal – yang terbaru skandal PKFZ yang melibatkan wang sebanyak RM12.5 bilion.

Tetapi yang lebih mengejutkan kita ialah apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin memutuskan bahawa bekas Menteri Pengangkutan itu tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang kesilapan serta maklumat mengelirukan atau tidak tepat yang dikemukakan di peringkat penyediaan dokumen kementerian bagi tujuan pembelian tanah PKFZ memandangkan beliau bukan orang “nombor satu” dalam kementerian, sebaliknya hanya berperanan sebagai “penghantar maklumat”.

Menurut hakim Ahmadi Asnawi, “Jika ada, kesalahan hendaklah diletakkan ke atas pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan yang merangka dan menyediakan dokumen tersebut.”

Bukankah ini memberi erti bahawa semua Menteri kebal daripada hukuman jika mereka cuai dalam melakukan tugas rasmi, termasuk tugasan di peringkat kabinet?

Apakah ini penghujung jalan dalam usaha kita mengenalpasti orang yang bertanggungjawab dalam skandal PKFZ yang membabitkan wang sebanyak RM12.5 bilion itu?

Pada September 2009, Najib mengumumkan penubuhan sebuah “Super Task Force” untuk menyiasa skandal PKFZ itu, diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, iaitu Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Apa yang terjadi pada “Super Task Force” PKFZ itu memandangkan sepanjang empat tahun lalu Najib tidak pernah menerbitkan walau secebis berita tentang kegiatan dan hasil penemuan pasukan tersebut.

Apakah Ketua Setiausaha Negara sekarang, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, mengambil alih teraju “Super Task Force” PKFZ atau apakah pasukan tersebut telah dibubarkan?

Jika tiada apa-apa yang boleh dinyatakan oleh Perdana Menteri tentang “Super Task Force” PKFZ yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, maka rakyat Malaysia tidak boleh terlalu berharap dengan Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara dan disebutkan Najib dalam Belanjawan 2014.
Najib membisu tentang banyak perkara. Apakah beliau akan turut membisu tentang natijah daripada usaha untuk menghadapkan pihak yang terlibat dalam skandal PKFZ ke muka pengadilan – atau apakah ini satu lagi contoh kegagalan NKRA Anti-Rasuah Program Transformasi Kerajaan Najib dalam membasmi “grand corruption”?

  1. #1 by undertaker888 on Monday, 28 October 2013 - 7:13 pm

    Berbilion billion boleh hilang tapi tiada siapa yang bersalah. Lumayannya jadi menteri menteri di bolehland. Kepada yang masih undi bn, keparatlah engkau. Sudah dirogol, nak jual harapan anak pula.

You must be logged in to post a comment.