Adakah Kerajaan menyokong pemberian kuasa penuh pendakwaan kepada SPRM, serta kuasa menuntut pengistiharan harta dari mereka yang sedang disiasat ?


Pertayaan Dewan Rakyat:-

SOALAN :
Tuan Lim Kit Siang [Gelang Patah] minta PERDANA MENTERI
menyatakan sama ada Kerajaan akan menyokong pemberian kuasa penuh pendakwaan kepada SPRM dalam kes rasuah serta memberikan kuasa kepada SPRM menuntut kakitangan awam termasuklah Menteri, Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar mengisytiharkan harta mereka sementara menunggu siasatan.

JAWAPAN : YB HAJAH NANCY SHUKRI
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan tidak bercadang untuk memberikan kuasa penuh pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan pendakwaan bagi kes rasuah tanpa perlu merujuk Peguam Negara kerana dalam penyiasatan dan pendakwaan sesuatu kes, perlu ada ‘check and balance’.

2. Sekiranya SPRM yang merupakan suatu agensi penyiasatan diberikan kuasa untuk membuat keputusan untuk mendakwa kes yang disiasatnya, maka tidak wujud suatu unsur pemikiran yang bebas (independence of mind) dalam mempertimbangkan fakta dan keterangan sesuatu kes secara objektif.

3. Pemberian kuasa pendakwaan kepada SPRM turut tidak disokong oleh Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang berpandangan bahawa cadangan ini tidak sama sekali menambah baik sistem sedia ada. Suruhanjaya Diraja ini juga berpandangan bahawa Timbalan Pendakwa Raya yang berurusan dengan SPRM hendaklah ditempatkan secara fizikal jauh daripada SPRM agar mereka lebih bebas dan tidak dipengaruhi oleh pegawai SPRM di tempat kerja. Suruhanjaya Diraja ini turut mencadangkan agar subseksyen 5(6) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memberikan kuasa Timbalan Pendakwa Raya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dipotong.

4. Sehubungan dengan itu, bagi mengekalkan prinsip ‘check and balance’ dalam pelaksanaan sistem keadilan jenayah di negara ini, Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan untuk memindahkan budi bicara mendakwa kes-kes rasuah daripada Peguam Negara kepada SPRM.

5. Di mana-mana negara pun, kuasa untuk membuat pertuduhan dan memulakan pendakwaan adalah terletak hak kepada Peguam Negara atau pun Pendakwa Raya yang bebas dan tidak dipengaruhi oleh agensi penyiasatan.

6. Selanjutnya, asas pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan untuk memulakan pendakwaan adalah sama ada terdapat keterangan mencukupi untuk mendapatkan sabitan bagi setiap pertuduhan yang dibuat terhadap orang kena tuduh. Keterangan yang ada hendaklah keterangan yang relevan, boleh diterima dan credible bagi menentukan sabitan diperoleh dan juga bagi memastikan keadilan kepada semua pihak. Asas pertimbangan ini diguna pakai bagi setiap kes jenayah termasuk kes rasuah tanpa mengira siapa atau apakah kedudukan pelaku jenayah tersebut.

7. Sebagai tambahan, terdapat Panel Penilaian Operasi (PPO) yang diwujudkan secara pentadbiran dalam SPRM. Ahlinya dilantik oleh Perdana Menteri dari kalangan individu yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan profesional yang bersesuaian serta individu yang berupaya memperlihatkan ketelusan dan kebebasan dalam menyemak (review) tindakan yang diambil oleh SPRM. PPO adalah mekanisme ‘check and balance’ bagi kes penyiasatan yang dijalankan dan akan menyemak (review) justifikasi sesuatu kes diperakukan untuk didakwa atau ditutup. PPO juga boleh mencadangkan kes dikaji semula sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dikemukakan oleh SPRM.

8. Dalam hal kuasa SPRM untuk mengarahkan orang yang disiasat untuk mengisytiharkan harta, kuasa ini telah pun diperuntukkan dalam seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Menurut seksyen ini, pegawai SPRM yang berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi boleh, dengan notis bertulis menghendaki seseorang yang disiasat memberikan penyataan bertulis secara bersumpah, antaranya tentang tiap-tiap harta, sama ada alih atau tak alih, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, yang dipunyai olehnya atau yang mengenainya dia mempunyai apa-apa kepentingan, sama ada di sisi undang-undang atau ekuiti. Notis yang sama turut boleh dikeluarkan ke atas saudara atau sekutu orang yang disiasat oleh SPRM untuk mengisytiharkan hartanya. Kegagalan seseorang untuk mematuhi notis ini merupakan satu kesalahan dan sekiranya disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit.

Sekian, terima kasih.

  1. #1 by tak tahan on Wednesday, 25 September 2013 - 9:08 pm

    Pembetulan:

    1.Kerajaan tidak bercadang untuk memberikan kuasa penuh pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan pendakwaan bagi kes rasuah tanpa perlu merujuk Peguam Negara kerana dalam penyiasatan dan pendakwaan sesuatu kes, perlu ada ‘cheque and cover-up’ seperti mana yang diamanahkan dari dulu,sekarang hingga bila-bila masa akan datang.

  2. #2 by tak tahan on Wednesday, 25 September 2013 - 9:09 pm

    Lu tolong AG,AG tolong lu

  3. #3 by Bigjoe on Wednesday, 25 September 2013 - 10:53 pm

    Given what we know of the going ons in UMNO, the evidence is absolutely clear that nothing has really changed as far as corruption is concern and in fact its likely worst given that they have gotten better at it at a much faster pace.

    Given the evidence being so clear, why should there be really any significant change at SPRM? They simply don’t want it.. Its all fake, the Najib administration is just one big fake after another..

  4. #4 by sheriff singh on Thursday, 26 September 2013 - 12:34 am

    Kenapa, Nancy, kenapa? Sebagai sebuah negara yang merdeka kita boleh menentukan cara kita. Mengapa kita perlu mengikut negara-negara lain?

  5. #5 by lee tai king (previously dagen) on Thursday, 26 September 2013 - 10:05 am

    Cadangan saya senang dan mudah dilaksanakan. Hak dan kepentingan semua pihak pasti dapat diperliharakan. Saya cadang bahawa badan rasuah diberi kuasa yg sepenuh utk mendakwa dengan suatu pengecualian, iaitu badan tersebut tidak boleh menyiasat serta mendakwa ahli2 atasan umno.

  6. #6 by undertaker888 on Thursday, 26 September 2013 - 1:07 pm

    I think she meant,,,, perlu merujuk Peguam Negara kerana dalam penyiasatan dan pendakwaan sesuatu kes, perlu ada “cheque and balance”.

    that’s why corruption is rampant….

  7. #7 by sotong on Thursday, 26 September 2013 - 1:28 pm

    There is no such thing as real independent.

    They want total control over the whole process….these people do not respect the law, fairness and justice.

You must be logged in to post a comment.