Pengiraan Detik 59 Hari ke PRU13 – Sepuluh ribu bendera 1Malaysia pada majlis Gangnam Style Psy di Pulau Pinang hanya menonjolkan kegagalan program transformasi 1Malaysia Najib


Warga Pulau Pinang bangun pada Tahun Baru Cina pada hari Ahad, 10 Febuari 2013 dengan sepuluh ribu bendera 1Malaysia membarisi jalan yang akan digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan dua hari beliau ke Pulau Pinang dari lapangan terbang ke Kolej Han Chiang yang akan menampilkan bintang pop Korea Selatan Psy kepada Georgetown dan kawasan sekitar Komtar.

Akan tetapi bolehkan bintang K-pop Korea Selatan memberikan kehidupan, nyawa dan roh kepada dasar 1Malaysia Najib dengan 10,000 bendera 1Malaysia yang dipacak dengan sombongnya, tidak mengikut peraturan dan berbahaya di sepanjang jalanraya utama Pulau Pinang – menampakkan sifat tidak peduli terhadap kebajikan, keselamatan dan undang-undang negeri serta menonjolkan kegagalan program transformasi 1Malaysia Najib?

Amat menyedihkan selepas empat tahun sebagai Perdana Menteri, hanya satu daripada 68 Menteri dan Timbalan Menteri yang berani secara terbuka menentang arus perdana UMNO/Barisan Nasional dan secara terbuka mengumumkan dirinya rakyat Malaysia dulu dan Melayu kemudian.

Apakah ada Menteri UMNO kedua yang berani mencontohi apa yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah lakukan pada September 2010 mengisytiharkan dirinya rakyat Malaysia dulu dan Melayu kemudian, seiring dengan dasar 1Malaysia berbeza dengan pengisytiharan terbuka Najib?

Saya berkata “seiring dengan dasar 1Malaysia berbeza dengan pengisytiharan terbuka Najib” untuk Perdana Menteri, kerana seingat saya dan saya bersedia untuk diperbetulkan, saya tidak pernah mendengar walau sekalipun sejak empat tahun lalu beliau mengatakan beliau rakyat Malaysia dulu dan Melayu kemudian!

Najib berkata di Pulau Pinang semalam bahawa “Saya tidak akan berjanji sekirangya tidak mampu untuk menunaikannya”.

Sudahkah Najib menunaikan janji 1Malaysianya sepanjang empat tahun ini selain melambakkan 10,000 bendera 1Malaysia bersempena dengan persembahan Gangnam Style Psy?

Sekiranya Najib tidak menjanjikan perkara yang tidak boleh beliau tunaikan, mengapa beliau tidak menjelajah ke seluruh negara sepanjang empat tahun ini untuk mempromosikan dasar 1Malaysia bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang mana setiap rakyat menganggap diri mereka rakyat Malaysia dulu kemudian barulah bangsa, agama, tempat atau latarbelakang ekonomi, dan menjadikan dirinya sebagai teladan pemimpin Malaysia yang “Rakyat Malaysia dulu, bangsa kemudian” untuk dicontohi semua rakyat Malaysia?

Bagaimanapun, sepanjang empat tahun lalu, Najib telah gagal mendapatkan sokongan Majlis Tertinggi UMNO/Barisan Nasional dan Kabinet buat dasar 1Malaysia, sejak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa berlapik pada Mac 2010 sewaktu beliau menolak dasar 1Malaysia dengan secara terbuka mengisytiharkan bahawa dirinya “Melayu dulu, rakyat Malaysia kemudian” – yang mana Najib tidak berani menegur atau berbeza pandangan sepanjang empat tahun lalu.

Malah, pada Julai 2011, Najib mengelak soalan ketika ditanya di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia sama ada beliau bersedia untuk menyatakan beliau meripakan rakyat Malaysia dulu dan apa pandangannya terhadap kenyataan Muhyiddin yang terkenal bahawa dirinya “Melayu dulu dan rakyat Malaysia kemudian”.

Najib tidak menjawab soalan itu, dan berkata: “Saya tidak akan jawab soalan yang akan menyebabkan perpecahan di antara saya dan timbalan saya. Percayalah saya, 1Malaysia akan menjadi pedoman kita. Tidak kiralah apa yang anda katakan selagi mana anda mengikut konsep 1Malaysia.”

Lebih-lebih lagi, Muhyidin disokong oleh orang berkuasa di dalam UMNO, Tun Dr. Mahathir yang secara terbuka mengatakan beliau mengatakan beliau tidak faham dengan konsep 1Malaysia Najib dan “Malaysia telah menjadi lebih perkauman daripada biasa”

Dan pada beberapa bulan ini, ketika Mahathir kelihatan sudah muncul sebagai kuasa sebenar di belakang takhta UMNO, mantan Perdana Menteri itu telah mengamalkan konsep “Malaysia telah menjadi lebih perkauman daripada biasa” seperti mana dapat dilihat dalam ucapan-ucapan terbarunya:

  • Mempersoalkan kelayakan kewarganegaraan satu juta bukan Melayu yang diberikan kerakyatan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman sebelum Merdeka walaupun “tidak layak” – untuk menjustifikasikan perbuatan khianatnya dalam penipuan “kewarganegaraan untuk undi” di Sabah ketika masih menjadi Perdana Menteri;
  • Kata-kata kesat perkauman bahawa ahli politik Melayu dalam Barisan Nasinal dan Pakatan Rakyat telah menjadi “pengemis politik” dalam dakwaan bahawa perebutan mereka untuk menjadi Perdana Menteri menyebabkan mereka merayu sokongan daripada kaum minoriti di dalam negara;
  • Hasutannya bahawa UMNO/Barisan Nasional memerlukan majoriti dua pertiga untuk melucutkan kerakyatan pengerusi bersama Bersih S. Ambiga.

Adakah Najib bersedia untuk meluahkan kekesalan terhadap ketiga-tiga contoh terbaru perkauman dan “lojik degil Mahathir” yang benar-benar memudaratkan konsep 1Malaysia yang mana rakyat Malaysia menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dulu dan bangsa, agama, tempat dan latarbelakang ekonomi kemudian?

Pada Persidangan Agung UMNO terkini yang mana perwakilan UMNO berdiri dan berjujuran air mata tersentuh dengan lagu ‘Anak Kecil Main Api’ yang dinyanyikan oleh wakil kelab pelajar UMNO luar negara, sebuah lagu meratap nasib Melayu yang terpingir di bumi sendiri.

Lagu itu yang ditulis oleh bekas pengarah Biro Tata Negara (BTN), diajar kepada semua yang menghadiri kursus BTN, yang wajib dihadiri pelajar sebelum masuk ke universiti awam tempatan atau ke luar negara dengan biasiswa kerajaan.

Soalan yang dibangkitkan kali ini termasuklah:

  • 55 tahun selepas Merdeka, 42 tahun selepas Dasar Ekonomi Baru dan setengah abad penguasaan politik UMNO, siapa yang patut bertanggungjawab terhadap nasib Melayu yang terpinggir di negara sendiri? Bukankah UMNO-putra yang sepatutnya menanggung tanggungjawab itu?
  • Dengan konsep dan dasar 1Malaysia, bukankah fokus sepatutnya terhadap semua yang terpinggir dan tertindas di kalangan rakyat Malaysia di negara sendiri, sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan atau Iban, dan bukan saja satu masyarakat?
  • Bukankah ini bukti terbaik bahawa Biro Tata Negara telah menjadi agensi utama dalam kerajaan menyemai konsep anti-1Malaysia?

Soalan penting ini hanya boleh dijawab oleh Najib sendiri dan bukannya dengan membelanjakan berjuta ringgit dan mengibarkan sepuluh ribu bendera 1Malaysia menjemput Psy membuat persembahan Gangnam Style di Pulau Pinang.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.