Pengiraan Detik 63 Hari ke PRU13 – Bolehkah Psy dan Gangnam Style menyelamatkan populariti BN di kalangan pengundi Cina, yang menjunam daripada 17% ke 6% dalam tempoh 10 bulan dari Febuari sehingga Disember tahun lalu?


Perang saraf bagi membentuk persepsi pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 masuk ke pusingan akhir, dengan Parlimen dijangka akan dibubarkan dalam dua atau tiga minggu lagi.

Skrip terbaru tukang putar UMNO/Barisan Nasional adalah serampang tiga mata:

  • mereka-reka laporan dan dakwaan palsu serta tidak berasas untuk menfitnah DAP dan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya melalui laman tak berwajah, tak bernama dan tak berjiwa di media sosial dan media perdana UMNO/BN;
  • menimbulkan kesangsian dan rasa tidak percaya di dalam parti DAP, PKR dan PAS serta memprovok permusuhan dan ketegangan di antara parti dalam Pakatan Rakyat, dengan matlamat utama untuk memecahbelahkan Pakatan Raktyat terutamanya kerjasama antara DAP dan PAS untuk menyelamatkan UMNO/BN daripada cabaran “hidup atau mati” dalam PRU13; dan
  • untuk mencipta persepsi bahawa UMNO/BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya berjaya meraih sokongan popular kepada UMNO/BN, baik di kalangan pengundi Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban.

Inilah sebabnya mengapa ditonjolkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Najib di Pulau Pinang pada 11 Febuari – persembahan berjuta-juta ringgit bintang Korea Selatan dan lagu terkenalnya Gangnam Style.

Tetapi adakah kemunculan sensasi Psy dan Gangnam Style di Pulau Pinang adalah “harapan menjadi kenyataan” untuk Najib sehingga meraih sokongan popular di kalangan pengundi Cina untuk UMNO/BN dalam PRU13?

Di sini amat berguna dan menarik untuk memberikan perhatian kepada tinjauan pandangan yang dijalankan Merdeka Centre pada penghujung tahun lalu (15 – 28 Disember 2012) yang mendapati hanya enam peratus pengundi Cina “gembira” dengan Kerajaan Barisan Nasional sementara 65 peratus “tidak berpuas hati” atau “marah” terhadap Kerajaan BN.

Dalam enam undian dilakukan tahun lalu, pengundi Cina yang “gembira” dengan Kerajaan Barisan Nasional telah jatuh dari[ada 17% pada Febuari hingga 19% pada April, 18% pada Mei, 13% pada Jun, 19% pada Oktober menjunam ke 6% pada Disember.

Mampukah kemunculan Psy dan Gangnam Style di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perdana Menteri di Pulau Pinang menyelamatkan populariti Kerajaan BN di kalangan pengundi Cina, yang menjunam daripada 17% ke 6% dalam tempoh 10 bulan dari Febuari ke Disember tahun lalu?

Perlu diberi perhatian bahawa secara keseluruhan, hanya 45 peratus pengundi dari semua kumpulan kaum yang ditinjau pada Disember “gembira” dalam persepsi mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional, dibandingkan dengan 48% pada Febuari dan 51% pada April.

Ditanya tentang persepsi mereka terhadap Barisan Nasional sebagai perikatan bukannya kerajaan Barisan Nasional, tinjauan menunjukkan 16% pengundi Cina “gembira” dibandingkan 57% yang “tidak berpuashati” atau “marah”. Hampir tiada sebarang pergerakan di dalam peratusan pengundi Cina yang “gembira” dengan perikatan Barisan Nasional dalam undian 10 bulan tahun lalu, iaitu 16% pada Febuari, 17% pada April, 17% pada Oktober dan 16% pada Disember.

Tinjauan yang sama menunjukkan walaupun kedudukan populariti Najib lebih tinggi berbanding UMNO/BN, secara keseluruhannya jatuh daripada 69% pada Febuari hingga 63% pada Disember, manakala penurunan ialah 22% dalam sepuluh bulan di kalangan pengundi Cina, iaitu daripada 56% pada Febuari sehingga 34% pada Disember 2012.

Apakah Psy dan persembahan Gangnam Style akan membawa keajaiban buat Najib dan UMNO/BN dalam meningkatkan popularitinya dan UMNO/BN, atau apakah isu ini tidak pernah masuk ke dalam fikiran tukang putar UMNO/BN, seperti mana yang mereka dakwa?

Apa pun, biarlah kehadiran julung kali Psy dan Gangman Style menjadi majlis yang menggembirakan untuk semua orang Pulau Pinang dan rakyat Malaysia menyambut Tahun Ular.

Sebab itulah pada hari Isnin, saya bertanya mengapa hanya mensasarkan 60,000 orang ke persembahan Gangnam Style Psy apabila acara itu boleh mencapai sasaran yang lebih besar seperti 100,000 orang atau 250,000 orang dari Pulau Pinang, seluruh Malaysia dan negara jiran!

Saya mengalu-alukan laporan bahawa Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Najib yang memaparkan Psy dan Gangnam Style di Kolej Han Chiang terbuka untuk semua tanpa sekatan ke atas sesiapa.

Inilah yang sepatutnya. Kita semua rakyat Malaysia dahulu dan kemudian, dan pada perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Vesak atau Krismas, mari kita mengamalkan sifat muhibah, keamanan, harmoni dan solidariti yang mana kita boleh bergaul dengan bebas tanpa menghiraukan perbezaan politik.

Bagaimanapun, untuk menjadikannya lebih bermakna dan berguna, sementara rakyat Malaysia menikmati dan bergembira dengan Psy dan Gangnam Style, biar kita tidak terlepas untuk satu pencarian diri seluruh negara menjawab mengapa Korea Selatan jauh meninggalkan Malaysia dalam semua usaha mereka apabila setengah abad lalu, Malaysia pernah dua kali lebih kaya berbanding negara “Gangnam Style”!

Print Friendly

This article is also available in English at: http://goo.gl/oZdlw

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.