Pengiraan Detik 81 Hari ke PRU13: Jangan benarkan Mahathir mengalihkan perhatian daripada masalah utama dalam RCI Sabah, iaitu secara haramnya menghalalkan pendatang haram di Sabah ketika 22 tahun era Mahathir yang boleh mencecah antara 1.5 juta hingga 1.9 juta, dengan permintaan mengarutnya supaya diadakan RCI terhadap satu juta kewarganegaraan sebelum Merdeka


Perdana Menteri keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad; yang merupakan Perdana Menteri Malaysia paling lama memerintah selama 22 tahun dari 1981-2003, terus memburukkan politik dan masa depan Malaysia – lama selepas beliau bersara sepuluh tahun lalu.

Semalam, Mahathir telah membuat satu cadangan mengarut supaya suruhanjaya siasatan diraja diwujudkan bagi menyiasat tentang pemberian kewarganegaraan kepada satu juta pendatang asing di dalam Persekutuan Malaya sebelum Merdeka, dua hari selepas Mahathir menegaskan bahawa apa yang beliau lakukan di dalam Projek IC atau Projek M di Sabah adalah “mengikut undang-undang”, dan Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman “telah melakukan lebih teruk dengan memberikan kewarganegaraan kepada satu juta warga semenanjung Malaysia yang tidak layak” sebelum Merdeka.

Malah Mahathir secara retoriknya turut bertanya: “Kenapa apa yang dia buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?”.

Dengan sekali pukul, Mahathir bukan sahaja telah mencemar kenangan dan nama baik Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, tetapi semua pemimpin UMNO/Perikatan yang terlibat di dalam perjuangan kemerdekaan, termasuklah Tun Razak, Tun Ismail, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan.

Amat mengejutkan bahawa tiga hari telah berlalu tanpa sebarang suara daripada pemimpin UMNO/MCA/MIC untuk mempertahankan Tunku, Tun Razak, Tun Ismail, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan.

Saya sendiri merasa tidak percaya apabila selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional pada Khamis malam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah menyatakan persetujuan dan mengesahkan dakwaan Mahathir tentang Tunku memberikan kewarganegaraan kepada satu juta orang Cina – yang menjadi sebab mengapa semalam saya meminta Najib membersihkan bukan sahaja nama Tunku, tetapi juga Tun Razak dan satu juta warga generasi Merdeka daripada fitnah Mahathir.

Walaupun Mahathir kemudiannya cuba mengurangkan kesan kejutan daripada cadangan mengarutnya dengan mengatakan permintaannya untuk mewujudkan RCI menyiasat satu juta kewarganegaraan pra-Merdeka hanyalah sekadar cadangan, rakyat Sabah dan Malaysia jangan biarkan Mahathir mengalih perhatian daripada masalah utama dalam RCI Sabah, iaitu secara haramnya menghalalkan pendatang haram di Sabah ketika 22 tahun era Mahathir – yang bukannya 20,000 tetapi boleh mencecah antara 1.5 juta hingga 1.9 juta memandangkan kejahatan Projek IC atau Projek M hanya sebahagian daripada masalah jangka panjang yang telah menjadikan rakyat Sabah sebenar menjadi minoriti dan asing di tanah air mereka sendiri kurang dari setengah abad.

Print Friendly

This article is also available in English at: http://goo.gl/JXwTF

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.