Hukuman penjara satu bulan terhadap mahasiswa yang menyertai “Occupy Dataran” Umar Mohd Azmi merupakan satu peringatan dasyat dan memeranjatkan sebelum PRU13 bahawa walaupun di bawah Najib sebagai PM, sistem keadilan jenayah masih teruk


Hukuman penjara satu bulan berserta dengan denda maksimum RM1,000 terhadap mahasiswa yang menyertai “Occupy Dataran” Umar Mohd Azmi telah menjadi peristiwa menggemparkan negara juga antarabangsa kerana benar-benar merupakan satu peringatan dasyat dan memeranjatkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 bahawa meskipun terdapat laungan slogan tentang program transformasi kerajaan, ekonomi, pendidikan, sosial dan politik, sistem keadilan jenayah di Malaysia masih teruk di bawah empat tahun pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

Jika tidak kerana saya sekarang berada di Sydney sudah tentu saya akan melawat khemah protes yang didirikan aktivis mahasiswa di luar penjara Kajang untuk menzahirkan sokongan , simpati dan solidariti saya bersama Umar terhadap ketidakadilan hukuman berat yang dikenakan keatasnya kerana menghalang pegawai awam melaksanakan tugas.

Mengapa Umar dikenakan hukuman yang berat dengan denda maksimum RM1,000 berserta satu bulan penjara, sekiranya hukuman maksimum untuk kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang kakitangan awam menjalankan tugas mereka adalah maksimum tiga bulan penjara atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali?

Salah satu sebab kukuh mengapa perlunya pertukaran kerajaan Persekutuan di Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 yang bakal menjelang adalah negara dipenuhi dengan kes-kes yang mana keadilan jenayah benar-benar teruk seperti kes Umar.

Khemah protes yang didirikan oleh aktivis mahasiswa di luar Penjara Kajang bagi membantah hukuman penjara satu bulan selepas dikenakan denda maksimum RM1,000 mengingatkan saya kepada tindakan protes terhadap hukuman penjara 18 bulan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Ogos 1998 sewaktu beliau mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, mengakibatkan terbatalnya kelayakkan beliau sebagai Ahli Parlimen dan dihalang daripada bertanding selama lima tahun selepas dibebaskan dari Penjara Kajang.

Sebagai protes, pemimpin DAP, penyokong dan mereka yang bersimpati mengadakan Mogok Lapar 18 Hari Bebas Guan Eng pada September 1998 sebagai menzahirkan kekecewaan, rasa terkejut, sedih dan marah seluruh negara terhadap ketidakadilan apabila seorang Ahli Parlimen yang jujur, tekun dan berani boleh dipenjarakan untuk 18 bulan kerana mempertahankan maruah, hak asasi manusia dan hak asasi wanita seorang gadis bawah umur yang ditahan kerana menuntut keadilan.

Pada ketika itu, Mogok Lapar 18 Hari Bebas Guan Eng mendapat sokongan, simpati dan solidariti rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kegagalan yang nyata sama ada di bawah Najib atau Tun Abdullah untuk melakukan reformasi, apatah lagi transformasi, ke atas sistem keadilan jenayah selepas kebinasaan sistem kehakiman hasil tangan 22 tahun pemerintahan Mahathir, telah ditonjolkan di dalam kes Umar, apabila dibandingkan dengan banyaknya kes yang tidak selesai melibatkan skandal-skandal besar memperlihatkan ketidakadilan di dalam negara, sama ada pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, pembunuhan Teoh Beng Hock di premis SPRM atau kematian misteri dan pembunuhan ketika di dalam tahanan seperti V. Kugan.

Saya menyokong khemah protes di luar Penjara Kajang yang didirikan oleh aktivis mahasiswa dan sepatutnya dilawat oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan seperti ketika Mogok Lapar 18 Hari Bebas Guan Eng 14 tahun lalu di Kajang – dan terdapat kes yang kuat untuk khemah protes itu berterusan selagi mana Umar masih dipenjarakan dengan tidak adil di dalam Penjara Kajang.

Print Friendly

This article is also available in English at: http://goo.gl/PlONn

  1. #1 by boh-liao on Saturday, 29 December 2012 - 12:07 am

    If d undergraduates were 2 “Occupy Dataran” in support of UmnoB/BN, they would certainly b hailed as champions n heroes by UmnoB/BN

You must be logged in to post a comment.