Beranikah SPRM mengikut jejak rakan sejawatnya di Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) dengan memperkenalkan pengubah-permainan di dalam pencegahan rasuah dengan mengkehendaki semua pemimpin politik dan penjawat awam untuk memperjelas tentang kekayaan luar biasa yang tidak setara dengan gaji rasmi mereka?


“Jangan tembak SPRM dari belakang” adalah salah satu tajuk akhbar hari ini, memetik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim semalam ketika meminta ahli politik untuk tidak “menembak SPRM dari belakang” kerana itu akan menyukarkan untuk memerangi rasuah.

Beliau berkata: “SPRM adalah tentera untuk memerangi rasuah. Jika anda menembak kami dari belakang, kepada siapa lagi masyarakat boleh meminta pertolongan untuk menentang rasuah.”

Abu Kassim benar-benar telah silap. Ahli politik Pakatan Rakyat bukan menembak SPRM daripada belakang tetapi daripada depan berkenaan kegagalan nyata dan ketidakcekapan di dalam memerangi rasuah, namun membenarkan SPRM untuk mempertahankan dirinya. Tiada sebab untuk pemimpin politik PR menyembunyikan kritikan mereka terhadap SPRM.

Hanya ahli politik UMNO/Barisan Nasional mempunyai sumber, cara malah motivasi untuk menembak SPRM dari belakang, untuk memastikan SPRM yang sudahpun menjadi alat menurut perintah kepada pemimpin politik yang berkuasa, supaya menjadi lebih menurut perintah kepada pemimpin bawahan yang lain di dalam perikatan pemerintah.

Kedua, empat tahun selepas menaiktaraf Biro Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM dengan penambahan kuasa, dana dan kakitangan, rakyat Malaysia masih belum yakin bahawa SPRM merupakan “tentera untuk memerangi rasuah”.

SPRM masih menanggung kesalahan kematian setiausaha politik DAP Teoh Beng Hock dan pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad di premis mereka yang masih belum dipertanggungjawabkan sebaiknya. Jelas, hanya perubahan kerajaan di Putrajaya dalam PRU13 diikuti dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat menyiasat sedalam-dalamnya misteri kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini di premis SPRM.

Penubuhan SPRM yang dinaiktaraf daripada BPR sejak Januari 2009 telah mencatatkan masalah rasuah yang semakin meruncing seperti mana yang tercermin pada menjunamnya kedudukan dan mata Malaysia ke tempat terendah sepanjang empat tahun di dalam 18 tahun laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) sejak 1995.

Pada tahun pertama CPI TI pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara, jatuh ke tempat 47 pada tahun 2003 ketika Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri penghujung tahun itu.

Meskipun berdegar-degar Abdullah dikaitkan dengan imej “Mr. Clean” dan”Hakim Bao Zaman Moden”, “pencegahan rasuah secara menyeluruh” dan “penahanan 18 ‘ikan besar”, CPI TI Malaysia masih berterusan menjunam dalam tempoh lima tahun Abdullah menjadi Perdana Menteri, jatuh ke tempat 47 pada tahun 2008.

Tetapi di dalam empat tahun sejak penubuhan SPRM menggantikan BPR, yang juga kebetulan dengan naiknya Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan Perdana Menteri, CPI TI Malaysia bukan sahaja berterusan menjunam, tetapi juga mencecah paras paling rendah – No. 56 pada tahun 2009 dan 2010, No. 60 pada tahun 2011 dan No. 54 pada tahun 2012.

Bolehkah Abu Kassim dan SPRM menjelaskan mengapa pencapaian Malaysia begitu buruk dalam CPI TI sepanjang empat tahun sejak penubuhan SPRM pada 2009 berbanding 14 tahun dari 1995 sehingga 2008 di bawah dua Perdana Menteri sebelumnya, Mahathir dan Abdullah?

Atau mengapa SPRM gagal untuk mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk meningkatkan mata CPI TI Malaysia kepada 4.9 (yang akan meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-48 bukannya ke-56)?

Atau imbau lebih jauh, punca kegagalan Malaysia untuk mencapai sasaran lima tahun Pelan Integriti Nasional (2004-2008) untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di dalam CPI TI daripada tempat ke 37 pada 2003 kepada sekurang-kurangnya tempat ke-30 pada 2008 dengan mata sekurang-kurangnya 6.5? (10 adalah mata terbaik dan 0 adalah terburuk)

Apakah ada sebarang tanda yang SPRM akan berhenti menjadi alat kepada penguasa dan menjadi lebih cekap dan bebas dalam memerangi rasuah, terutamanya “rasuah besar” melibatkan pemimpin tertinggi politik dan kerajaan dalam tahun-tahun akan datang atau kita perlu menunggu sehingga adanya perubahan kerajaan di Putrajaya?

Walaupun berdegar-degar Malaysia mengatakan lebih baik daripada Indonesia dalam hal berkaitan rasuah, Indonesia kelihatan lebih banyak menunjukkan kemajuan menakjubkan dalam memerangi rasuah sepanjang dua dekad lalu.

Pada 1995, Indonesia berada di paras terendah CPI TI pada No.41 dengan mata 1.94. Indonesia merangkak naik ke kedudukan ke-100 daripada 183 negara di dalam CPI TI 2011 dengan mata 3.0.

Sebaliknya Malaysia menunjukkan kemerosotan dalam kedudukan dan mata sejak 1995 (kedudukan 23 dan mata 5.28), jatuh ke No.60 dengan mata 4.3 di dalam CPI TI 2011.

Indonesia berada pada kedudukan No.118 daripada 176 negara dengan mata 32 daripada 100 dalam CPI TI 2012, berbanding kedudukan Malaysia di tempat ke-54 dengan mata 49.

Bagaimanapun, terdapat kemajuan yang besar malahan pengubah-permainan di dalam kempen pencegahan rasuah Indonesia yang langsung tiada di Malaysia.

Jumaat lalu, Menteri Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia Andi Mallarangeng, yang pernah disangkakan layak menyandang jawatan presiden, meletak jawatan selepas disyaki terlibat dengan rasuah oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

KPK juga telah mengumumkan rancangan untuk mengkehendaki semua pegawai negara untuk memperjelas tentang kekayaan luar biasa yang tidak setara dengan gaji rasmi mereka, yang dianggap pengubah-permainan di dalam memerangi rasuah di Indonesia.

Beranikah SPRM mengikut jejak rakan sejawatnya di Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) dengan memperkenalkan pengubah-permainan di dalam pencegahan rasuah dengan mengkehendaki semua pemimpin politik dan penjawat awam untuk memperjelas tentang kekayaan luar biasa baik aset, pendapatan atau gaya hidup yang tidak setara dengan gaji rasmi mereka?

Ketika Abu Kassim dan SPRM berani untuk memperkenalkan pengubah-mainan seperti itu bagi memerangi rasuah barulah mereka akan mula memperoleh keyakinan rakyat Malaysia terhadap kecekapan, kebebasan, professionalisme dan intergriti dalam memerangi rasuah habis-habisan dan memajukan CPI TI Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

Print Friendly

This article is also available in English at: http://goo.gl/1rPKW

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.