Mat Zain’s letter to PM – Gani Patail also violated BAFIA like Rafizi


Mat Zain bin Ibrahim,
22 OGOS 2012

Kepada,
YAB Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Putrajaya,
Wilayah Persekutuan

Yang Amat Berhormat Dato Seri,
Assalamualaikum wbt.

GANI PATAIL JUGA MELAKUKAN KESALAHAN JENAYAH DIBAWAH BAFIA SEPERTIMANA RAFIZI.

Rafizi Ramli,Pengarah Strategi PKR telah dituduh pada 1 Ogos 2012 dibawah Banking and Financial Institution Act 1989 (Bafia), kerana menyebabkan pendedahan empat penyata kewangan berkaitan NFC dan Pengerusi syarikat tersebut, Dato Seri Mohd. Salleh Ismail. Turut dituduh ialah Johari Mohamad, seorang bekas kerani Public Bank.

Dari sudut undang-undang Bafia,pertuduhan yang dikenakan terhadap Rafizi dan Johari adalah teratur. Begitu juga dari segi hak dan kuasa untuk memulakan prosiding tersebut, sememangnya Peguam Negara dibekalkan dengan kuasa berkenaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

YAB Dato Seri sendiri telah mempertahankan pertuduhan yang dikenakan keatas mereka berdua itu, dengan alasan untuk memelihara integriti dan kredibiliti sistem kewangan dan perbankan Negara. Saya yakin YAB telah diberikan taklimat sepenuhnya oleh Peguam Negara mengenai latar belakang kes terhadap Rafizi dan Johari, sehingga mereka dituduh, serta implikasi tindakan tersebut.

Perkara yang YAB dipercayai tidak diberitahu.

Saya percaya antara perkara mustahak yang YAB tidak diberitahu atau sengaja disembunyikan daripada pengetahuan YAB ialah, bahawa Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah dan Gani Patail sendiri pernah mendedahkan penyata kewangan melibatkan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (RTC), isteri dan anak-anak RTC serta juga penyata kewangan beberapa syarikat milik atau yang RTC mempunyai kepentingan, selain daripada beberapa harta lain kesemuanya bernilai sekurang-kurangnya RM 40 juta.

Perbuatan ini berlaku berkaitan penyiasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap RTC yang didakwa melakukan beberapa kesalahan rasuah dan salahguna kuasa ketika beliau menjadi Ketua Menteri Melaka.
Ringkasnya, kesalahan yang telah dilakukan membabitkan Gani Patail itu, adalah sama seperti kesalahan yang dilakukan oleh Rafizi. Oleh yang demikian, sekiranya Rafizi telah dituduh dibawah Seksyen 97 BAFIA, maka Gani Patail juga tidak boleh dikecualikan daripada dikenakan pertuduhan yang sama.

Kronologi ringkas.

Dalam penyiasatan terhadap RTC itu, pihak BPR telah memperolehi beberapa banyak dokumen bukti berkaitan harta boleh alih dan tidak bolih alih yang telah dikumpulkan oleh RTC menerusi rasuah dan salahguna kuasa, ketika menjadi Ketua Menteri Melaka.

Antara dokumen bukti yang diperolehi dalam siasatan itu, ialah lebih daripada 10 penyata-penyata bank berlainan atas nama RTC sendiri, isteri dan juga anak-anak beliau. Selain daripada itu, ialah penyata kewangan beberapa syarikat milik RTC atau yang beliau mempunyai kawalan dan kepentingan.

Menerusi penyata-penyata kewangan tersebut, turut boleh dikenalpasti dengan positif ialah nombor akaun,transaksi dan baki terakhir dalam tiap-tiap akaun serta identiti bank-bank dan cawangan yang terlibat. Amaun yang terdapat dalam bank-bank tersebut yang dapat dikesan ketika itu, ialah lebih kurang RM 14.5 juta. Itu pun penyata daripada beberapa buah bank lagi masih belum diterima ketika itu.

BPR dan Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, telah menyediakan ringkasan keterangan yang terperinci, termasuk menyediakan deraf empat pertuduhan yang akan dikenakan terhadap RTC. Tiga pertuduhan kerana salahguna kuasa dan rasuah, manakala satu pertuduhan kerana membuat Statutory Declaration (SD) palsu.

Turut dilampirkan kepada ringkasan keterangan adalah senarai harta-harta alih dan harta tak alih, milik RTC dan ahli keluarga beliau dan termasuk penyata kewangan daripada beberapa institusi kewangan, lengkap dengan nombor akaun, transaksi dan baki akhir tiap-tiap akaun, serta nama cawangan bank yang berkaitan.

Semua dokumen ini dikelaskan sebagai “RAHSIA” dan ditandatangani oleh Gani Patail sendiri disetiap helai dokumen tersebut, termasuk penyata-penyata kewangan yang dilampirkan itu.

Laporan polis.

Diantara 9 July 1999 dan 20 Ogos 1999, Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) telah membuat 4 laporan berasingan mendakwa Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Mohtar Abdullah(Allahyarham)ketika itu Peguam Negara dan Gani Patail, menyalahgunakan kuasa dengan melindungi perbuatan rasuah Tan Sri Eric Chia(mendiang), Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan RTC.

Bagi maksud surat ini, saya akan memfokuskan kepada laporan terhadap RTC sahaja, memandangkan bagi laporan yang lain,tidak ada melibatkan pendedahan penyata kewangan yang menjadi kesalahan di-bawah Bafia, melainkan kesalahan mendedahkan dokumen di-bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Perlu dinyatakan disini bahawa ketika Anwar membuat laporan-laporan tersebut, beliau berada dalam tahanan di-Penjara Sungai Buloh. Laporan-laporan yang beliau buat dipercayai adalah menerusi pihak berkuasa Penjara memandangkan semua laporan beliau ditulis tangan dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, menggunakan kertas tulis mengandungi cop “Pengarah Penjara Sungai Buloh”.

Kemungkinannya tidak boleh diketepikan, bahawa beberapa ramai kakitangan penjara dan sekalipun tahanan-tahanan lain, berpeluang melihat isi kandungan laporan Anwar beserta dengan lampiran-lampiran yang dikepilkan bersama,sebelum sampai ketangan polis.

Laporan siasatan BPR terhadap RTC kemudiannya didapati disebarkan menerusi internet sungguhpun penggunaan internet ketika itu tidaklah begitu meluas seperti masakini.

Klasifikasi laporan-laporan Anwar.

Peguam Negara telah menasihatkan untuk klasifikasikan semua laporan Anwar dibawah Akta Rahsia Rasmi sahaja, kecuali laporan berkaitan Tun Daim Zainuddin, yang kemudiannya dirujukkan kepada Ketua Pengarah BPR.

Bagaimanapun setelah meneliti klasifikasi dan skop siasatan yang dinasihatkan oleh Peguam Negara,atas kapasiti Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL,saya telah menulis surat Rujukkan (PR)35/26 bertarikh 25 Ogos 1999 kepada Pengarah JSJ Bukit Aman dan mencadangkan semua laporan Anwar diklasifikasikan dibawah Seksyen 2(1) Emergency(Essential Powers)Ordinance 2,1970 iaitu kesalahan salahguna kuasa sepertimana yang Anuar adukan.

Siasatan akan tertumpu juga kepada bila dan bagaimana dokumen-dokumen yang dikelaskan sebagai “RAHSIA” oleh Gani Patail boleh berada dalam simpanan Anwar ,sedangkan beliau ketika itu berada dalam penjara,serta mengenalpasti orang-orang yang bertanggung jawab menyebabkannya.

Selain itu, saya telah mencadangkan supaya satu notis dibawah Seksyen 51(1) Kanun Prosidur Jenayah diserahkan kepada Anwar, untuk memaksa beliau mengemukakan semua dokumen-dokumen yang ada dalam simpanan atau kawalan beliau.

Maklum balas Jabatan Peguam Negara.

Empat hari selepas menghantar surat kepada Pengarah JSJ Bukit Aman,secra tiba-tiba saya menerima sepucuk surat daripada Jabatan Peguam Negara, dialamatkan atas nama saya persendirian dan dikelaskan sebagai “SULIT” Rujukan PRM(WP)5/99 SULIT(5) bertarikh 28 Ogos 1999.

Surat tersebut adalah untuk memaklumkan kepada saya, bahawa Gani Patail telah membuat laporan polis berkaitan pendedahan kepada umum laporan siasatan BPR terhadap RTC, sepertimana laporan yang dibuat oleh Anwar bersabit Tun H.S.Lee Rpt:22517/99 bertarikh 20.8.1999. Saya juga dimaklumkan bahawa laporan oleh Gani Patail itu disiasat oleh Musa Hassan yang pada ketika itu ialah Penolong Pengarah JSJ (Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang)Bukit Aman.

Bagaimanapun Peguam Negara tidak memaklumkan butir laporan yang dibuat oleh Gani Patail, mahu pun nombor laporan yang berkenaan ataupun nombor kertas siasatan yang dibuka oleh Musa Hassan, atau mengapa Gani hanya membuat laporan balas dalam kes melibatkan RTC sahaja dan tidak yang lain.

Saya menganggap perbuatan Gani Patail dan Musa Hassan pada ketika itu ialah untuk “hijack” keseluruhan penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Polis KL dan menghalang Polis KL daripada pergi lebih mendalam dalam penyiasatan keatas laporan-laporan yang dibuat oleh Anwar.

Pendirian YAB Perdana Menteri berkaitan kesalahan dibawah BAFIA.

Untuk tidak tersasar daripada tujuan asal saya menulis surat terbuka ini kepada YAB Dato Seri, saya memohon YAB menyatakan pendirian YAB setelah dimaklumkan bahawa Gani Patail juga terlibat melakukan kesalahan jenayah di-bawah BAFIA, sepertimana juga Rafizi Ramli dan Johari Mohamad.

Saya menjangka Gani akan sekeras-kerasnya menafikan bertanggung jawab mendedahkan laporan penyiasatan dan penyata kewangan tersebut, walaupun tanda tangan beliau sendiri terdapat dalam setiap muka surat, dokumen-dokumen berkenaan yang beliau kelaskan sebagai RAHSIA dan sewajarnya disimpan selamat mengikut prosidur Jabatan Kerajaan.

Jika Gani Patail ingin menolak tanggung jawab pendedahan dokumen tersebut kepada Allahyarham Peguam Negara Tan Sri Mohtar, sepertimana yang pernah beliau dan Musa Hassan lakukan dalam penyiasatan terhadap Tun Mahathir Mohamad, berhubung kait dengan kes Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, maka biarkan beliau sendiri membuat kenyataan itu.

Fakta yang nyata ialah penyata-penyata bank berkenaan yang ditandatangani oleh Gani Patail telah sampai ketangan orang-orang yang tidak mempunyai otoriti untuk melihatnya dan disebarkan kepada umum.
Jika beliau boleh membenarkan beberapa dokumen palsu digunakan dalam RCI mata-lebam dan kemudian menyebabkan dokumen palsu yang beliau sendiri arahkan untuk dibikin oleh seorang Doktor Pakar, dilesapkan sebelum laporan akhir RCI dikemukakan kepada YDP Agong;

jika beliau sanggup menyembunyikan fakta mustahak mengenai kelakuan dirinya daripada pengetahuan YDP Agong semasa perlantikan sebagai Peguam Negara , serta melakukan beberapa kesalahan lain yang boleh dibuktikan;

maka, melakukan satu lagi pembohongan, mungkin tidak menjadi masaalah bagi beliau.

Diantara RCI dan Tribunal.

Selain dari TRIBUNAL, tidak ada badan lain yang layak mengadili kelakuan Peguam Negara sekalipun RCI. Jauh sekali satu Panel Bebas yang ahlinya diberi kuasa seorang Timbalan Pendakwa Raya sahaja dan dilantik pula oleh seorang Peguam Cara Negara.

Walaupun dalam bulan Mac yang lalu ,YAB telah menyatakan TIDAK akan membentuk Tribunal untuk menyiasat Gani Patail, walaupun beberapa banyak pendedahan yang credible berkaitan salahlaku jenayah beliau dihebahkan kepada umum,saya masih meletakkan harapan bahawa YAB sanggup menimbang semula pendirian tersebut.

Sekiranya YAB Dato Seri sedia menunaikan tuntutan rakyat Negeri Sabah supaya RCI ditubuhkan menyiasat masaalah pendatang haram yang telah bermula lebih kurang empat dekad lalu di-Negeri itu, maka saya yakin YAB Dato Seri juga sedia menimbang semula tuntutan rakyat Semenanjung, yang telah beberapa kali menuntut untuk Tribunal dibentuk menyiasat Gani Patail.

Siasatan kes RTC belum selesai tetapi ditutup.

Menyentuh laporan siasatan terhadap RTC tersebut,pihak BPR dan juga Jabatan Peguam Negara dengan jelas merekodkan bahawa siasatan RTC masih belum selesai memandangkan terdapat beberapa buah bank lagi yang masih belum mengemukakan penyata terperinci beberapa akaun lagi ketika itu.

Jika demikian, maka anggaran amaun yang dikatakan telah dikumpul oleh RTC menerusi perbuatan rasuah dan salahguna kuasa adalah melebihi RM 40 juta.

Disamping itu pula pada 31 Mac 2011, YB Dato Seri Mohamad Nazri Aziz telah mengesahkan di-Parlimen bahawa Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk “indemnify” kesalahan jenayah mana-mana orang pun berdasarkan pertimbangan politik.

Selain itu YB Nazri juga berjanji akan menyiasat status harta melebihi RM 40 juta yang disahkan oleh BPR dan Jabatan Peguam Negara telah diperolehi oleh RTC menerusi jalan salah itu, sama ada dipulangkan kepada RTC atau tidak atau apa sebenarnya kedudukkan harta tersebut.

Sehingga hari ini pun jawapan yang YB Nazri janjikan itu, masih belum disempurnakan lagi. Ringkasnya siasatan keseluruhan BPR terhadap RTC masih belum selesai sehingga hari ini.

Jika siasatan masih belum selesai sepenuhnya dan Peguam Negara telah pula menutup kes tersebut, maka ianya jelas adalah suatu perbuatan salahguna kuasa pendakwaan.

Peguam Negara tidak mempunyai hak atau kuasa untuk memulangkan harta yang diperolehi secara rasuah dan salahguna kuasa kepada RTC atau mana-mana orang sekalipun.

Dengan demikian itu orang ramai boleh mendesak Operation Review Panel, SPRM untuk mengkaji semula kes terhadap RTC dan mengarahkan SPRM membuka semula kes tersebut, memandangkan terdapat perkembangan terbaru dalam kes berkenaan.

Penutup.

Sekiranya keterangan salahlaku Gani Patail yang telah didedahkan belum lagi meyakinkan YAB Dato Seri, maka saya menyatakan bahawa saya sanggup, bersedia dan mampu membentangkan keterangan-keterangan yang telah saya kemukakan sejak 1998 lagi secara terbuka.

Saya sedar akan konsekuennya sekiranya keterangan yang telah, atau akan saya kemukakan kelak, didapati tidak benar atau direkacipta ataupun jika melanggar mana-mana undang-undang berkaitan pendedahan kepada umum.

Salam Eidul Fitri, Maaf zahir batin.

Yang benar,
Mat Zain Ibrahim.
22 Ogos 2012

  1. #1 by yhsiew on Friday, 24 August 2012 - 7:01 pm

    Don’t we know there are two “versions” of the same law in Bolehland – the lenient version for BN members/supporters and the tough version for PR members/supporters?

  2. #2 by monsterball on Saturday, 25 August 2012 - 3:38 am

    Najib will throw the letter into the dustbin.
    He is the PM.
    He decides who to catch.

  3. #3 by monsterball on Saturday, 25 August 2012 - 3:41 am

    At Rejang Park, Sibu he said….”You help me. I help You”
    Is Mat Zain helping him?

You must be logged in to post a comment.