Mat Zain’s Open Letter on TBH RCI report


Mat Zain bin Ibrahim
26hb.July 2011.

Kepada;

YDH Tan Sri Hji Ismail bin Haji Omar,IGP,
Ketua Polis Negara,
Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia,
50560 Bukit Aman,
Kuala Lumpur.
Email:[email protected] Dengan Email

YDH Tan Sri,

SURUHANJAYA JAMES FOONG-TINDAKAN SUSULAN POLIS.

Assalamualikum wbt.

1. Sebelum membincangkan perkara tajuk,sukacita saya merujukkan Tan Sri kepada surat saya bertarikh 24.1.2011 yang dialamatkan kepada YBhg.Datuk Idrus Harun,Peguam Cara Negara dengan salinannya kepada YAB Perdana Menteri dan Tan Sri sendiri. Dalam surat tersebut saya telah kemukakan maklumat terprinci berkaitan perbuatan pemalsuan dan manipulasi keterangan serta penggunaan keterangan palsu dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja menyiasat Insiden Mata-Lebam 1999 (RCI Mata-Lebam).Dalam surat sama saya turut menegaskan jangkaan saya bahawa pemalsuan dan manipulasi serupa akan berlaku juga dalam Siasatan Suruhanjaya Di-Raja berkaitan kematian Teoh Beng Hock (Suruhanjaya James Foong). Pada masa saya menulis surat tersebut, Suruhanjaya ini masih belum ditubuhkan lagi.

Laporan Suruhanjaya.

2. Saya telah berpeluang memiliki dan meneliti Laporan Suruhanjaya James Foong dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Seperti yang telah dijangka, memang terdapat banyak pembohongan, pemalsuan dan manipulasi keterangan serta penggunaan keterangan palsu dalam prosiding ini juga, seperti yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya James Foong. Serupa dengan apa yang berlaku dalam prosiding RCI Mata-Lebam. Cuma yang berbeza, ialah pemainnya sahaja.

3. Walaupun berhadapan dengan masaalah saksi-saksi penting, terdiri daripada beberapa orang Pegawai SPRM memberi keterangan palsu dan tidak munasabah, selain daripada tidak mendapat sokongan seratus-peratus daripada pihak-pihak terlibat dan pendekatan berlawanan oleh Peguam-Peguam dan lain-lain kearalan, Suruhanjaya James Foong pada pendapat saya, wajar diberi pujian kerana telah berjaya memenuhi kehendak terma-terma rujukkan yang sempit dan terhad yang diberikan kepada Suruhanjaya.Pada pendapat saya penemuan yang mereka capai dan laporkan, setakat fakta serta keterangan yang dibentangkan dihadapan mereka, adalah teratur, lengkap dan berterus terang.

3.1. Malahan, jika Laporan diteliti secara mendalam dan rasional, saya berpendapat, Suruhanjaya ini menunjukkan lebih simpati kepada mendiang Teoh Beng Hock dengan membuka ruang dan peluang yang sangat luas kepada keluarga mendiang itu untuk meneruskan prosiding sivil terhadap SPRM dan Kerajaan.Malah meletakkan SPRM khasnya, dalam keadaan yang rumit.

4. Seterusnya saya berpendapat Laporan Suruhanjaya ini juga telah secara berterus-terang mendedahkan keterangan-keterangan beberapa kesalahan jenayah serius yang dilakukan oleh beberapa orang Pegawai SPRM berhubung kait dengan kematian Teoh Beng Hock. Namun begitu keterangan yang didedahkan tidak cukup untuk mengaitkan sesiapa dengan kesalahan Membunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) ataupun kesalahan Mematikan Orang dengan Salah (Culpable Homicide) dibawah Seksyen 304 KK. Bagaimanapun terdapat keterangan yang cukup untuk mengenakan tindakan dibawah Seksyen 304A iaitu “menyebabkan kematian dengan cuai”. Hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 304A ini adalah penjara 2 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

5. Kesalahan-kesalahan jenayah yang didedahkan dalam Laporan tersebut adalah dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Polis untuk menanganinya dan bukan sekadar membiarkan SPRM mengambil tindakan disiplin jabatan semata-mata.Kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan terhadap Keadilan Awam di-bawah Kanun Keseksaan dan bukan sekadar kesalahan desiplin Jabatan.

5.1. Berpandukan kepada maklumat terkandung dalam Laporan Suruhanjaya berkenaan saya berpendapat mereka yang dikenalpasti terlibat dan jenayah yang masing-masing lakukan adalah seperti berikut dibawah.

BULKINI PAHARUDDIN

6. Berdasarkan kepada penemuan Suruhanjaya diperenggan 85 dan 86 serta alasan-alasan yang terkandung dalam perenggan 87 hingga 93 saya berpendapat, Bulkini boleh dikenakan pertuduhan “memberi keterangan palsu dalam prosiding kehakiman” dibawah Seksyen 193 KK yang boleh dihukum penjara 7 tahun jika disabitkan kesalahannya.

RAYMOND NION anak JOHN TIMBAN

7. Selanjutnya, berdasarkan penjelasan dalam perenggan 198 hingga perenggan 201, saya berpendapat Raymond boleh dikenakan pertuduhan kerana “mereka keterangan palsu” dibawah Seksyen 192 KK yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 KK yang membawa hukuman penjara 7 tahun jika disabitkan kesalahannya.

7.1. Rekod punched out pada jam 6.04 pagi dan punched in jam 6.05 pagi 16.7.2009 dalam punch card Raymond adalah bukti penting bahawa beliau telah membuat catatan palsu dalam sesuatu buku atau rekod yang merupakan ingredient penting bagi kesalahan dibawah Seksyen 192 KK.Malahan rekod punch card ini (dalam perenggan 201) boleh digunakan untuk membuktikan terdapat perbuatan “cover-up” untuk melindungi mereka yang terlibat dengan salahlaku berkaitan kematian Teoh Beng Hock itu.

HISHAMUDDIN HASHIM
MOHAMAD ANUAR ISMAIL
ASHRAF MOHD.YUNUS.

8. Berdasarkan kepada “Keputusan mengenai terma rujukkan yang kedua” dimana Suruhanjaya mendapati bahawa Teoh Beng Hock telah didorong untuk membunuh diri sepertimana butiran dalam perenggan 119, beserta dengan alasan terperici Suruhanjaya sepertimana dalam perenggan 120 hingga 201, khasnya perenggan 197, saya berpendapat bahawa Hishamuddin, Anuar dan Ashraf boleh dituduh diatas kesalahan “Menyubahati kesalahan membunuh diri”( Abetment of Suicide) dibawah Seksyen 306 KK untuk dibaca bersama Seksyen 107 (berkaitan Subahat) dan/atau Seksyen 120A (berkaitan Konspirasi Jenayah) KK.

8.1. Kesalahan dibawah Seksyen 306 KK memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun jika disabitkan kesalahanya. Polis mempunyai kuasa untuk menangkap tanpa waran bagi kesalahan ini yang tidak boleh dijamin. Penyiasatan kes ini juga tidak memerlukan Arahan Penyiasatan daripada Pendakwa Raya.

8.2. Selain daripada diatas, pada pendapat saya,Hishamuddin,Anuar dan Ashraf juga boleh dikenakan pertuduhan memberi atau mereka keterangan palsu yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 KK sepertimana juga kesalahan yang dilakukan oleh Bulkini dan Raymond.

Memberi atau Mereka Keterangan Palsu oleh beberapa Pegawai SPRM.

9. Secara peribadi, saya hairan dan terkejut mendapati beberapa orang Pegawai SPRM dilaporkan telah memberi keterangan palsu secara berani dan bersahaja dalam prosiding Suruhanjaya ini. Seolah-olah perbuatan mereka demikian itu bukan kesalahan jenayah. Setakat pengetahuan dan pengalaman saya, kakitangan Kerajaan,tidak kira apa peringkat pun, akan cemas dan bimbang apabila dipanggil memberi keterangan lebih-lebih lagi dihadapan sesuatu Suruhanjaya Di-Raja. Selain daripada sedar akan konsekuennya jika mereka memberi keterangan palsu didalam prosiding itu, lazimnya kakitangan Kerajaan sedar, bahawa sesuatu Suruhanjaya Di-Raja itu ditubuhkan diatas Titah SPB Yang Di-Pertuan Agong dan apa-apa hasil laporannya adalah diatas perkenan Baginda juga.

10. Dalam perkara memberi keterangan palsu oleh Hishamuddin, Anuar, Ashraf, Bulkini dan Raymond, saya menyimpulkan bahawa, sama ada mereka telah disalahnasihatkan ataupun mereka telah diberi jaminan oleh pihak tertentu yang mereka tidak akan dikenakan sebarang pendakwaan, walaupun melakukan kesalahan jenayah serius itu. Pada pendapat saya,secara bersendiri, mereka tidak akan berani memberi keterangan palsu sedemikian itu, lebih-lebih lagi dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja.

11. Perkara serupa pernah berlaku ketika prosiding RCI Mata-Lebam 1999, bilamana seorang Dr.Abdul Rahman Yusof dipercayai telah diberi jaminan oleh Peguam Negara, bahawa tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap beliau, walaupun Dr.Rahman telah dibuktikan menyediakan 3 laporan pakar yang palsu diatas arahan Tan Sri Abdul Gani Patail (TS Gani Patail), ketika itu seorang TPR Kanan di-Jabatan Peguam Negara, yang mana 2 daripada laporan tersebut dikemukakan dalam prosiding berkenaan. Bukti mengenai salahlaku jenayah ini masih kekal dalam Laporan Suruhanjaya Di-Raja yang berkenaan.

SPRM pernah membersihkan salahlaku jenayah TS Gani Patail.

12. Saya percaya Tan Sri masih ingat pada 11.3.2009 (lebih kurang 4 bulan sebelum insiden kematian Teoh Beng Hock), SPRM pernah membersihkan TS Gani Patail daripada kesalahan jenayah memalsukan keterangan dalam siasatan kes mata-lebam tersebut itu. Walaupun pada hakikatnya, SPRM telah mengumpulkan bukti yang kukuh untuk mendakwa beliau. Malahan seorang daripada Ahli Panel Bebas yang dilantik untuk meneliti hasil siasatan SPRM itu, turut mendapati terdapat keterangan mengaitkan TS Gani Patail dengan salahlaku jenayah tersebut. Adalah dipercayai Ahli Panel yang membuat keputusan tersebut ialah Y.Bhg. Dato’Haji Abdul Kadir Sulaiman, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan yang kebetulan pula adalah salah seorang Ahli Suruhanjaya James Foong.

13. Persoalannya sekarang ialah, adakah layak untuk TS Gani Patail untuk “overrule” keputusan Suruhanjaya James Foong berkaitan salahlaku jenayah kerana memberi atau mereka keterangan palsu oleh beberapa Pegawai SPRM, sedangkan Pengerusinya, Tan Sri Datuk Seri James Foong Cheng Yuen, ialah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berhidmat. Selain itu beliau sendiri (TS Gani Patail) telah didapati melakukan kesalahan mereka keterangan palsu oleh salah seorang Ahli Suruhanjaya ini dalam satu kes lain.

14. Tidak salah untuk saya menyatakan bahawa selagi tidak ada pihak berkuasa yang berani tampil untuk membuat keputusan menghadapkan TS Gani Patail kemuka pengadilan diatas kesalahan-kesalahan jenayah terhadap Keadilan Awam itu sendiri, selagi itu juga kecelaruan dan kepincangan dalam Sistem Pentadbiran Undang-Undang Negara yang sedang kita alami sekarang tidak akan dapat diperbetulkan.

15. Tidak keterlaluan juga,untuk menyatakan kemungkinan, bahawa Pegawai-Pegawai SPRM dan lain-lain didapati berani dan tanpa segan silu memberi atau mereka keterangan palsu, sekalipun dalam sesuatu Suruhanjaya Di-Raja, ialah kerana mereka mengambil sebagai teladan tindakan TS Gani Patail sendiri yang melakukan kesalahan jenayah yang serupa, tetapi tiada sesiapa yang berani mengambil tindakan keatas beliau.

Penutup.

16. Sesuatu Laporan Suruhanjaya Di-Raja akan kekal sebagai bahan rujukkan umum sepanjang hayat. Pihak berkuasa tidak boleh menghalang mana-mana pihak sekalipun yang ingin membangkitkan apa-apa isu yang ditimbulkan dalam Laporan berkenaan pada bila-bila masa pun.Lebih-lebih lagi dana rakyat berjuta Ringgit dibelanjakan untuk mengendalikan sesuatu siasatan Suruhanjaya seperti ini.

17. Maklumat-maklumat mengenai perlakuan jenayah yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya adalah maklumat yang sahih dan boleh digunakan sebagai asas dan keterangan bagi memulakan sesuatu prosiding. Malahan pihak Polis tidak perlu menunggu pihak ketiga untuk membuat laporan Polis menyiasat atau mengambil tindakan keatas sesuatu salahlaku jenayah. Laporan Suruhanjaya itu sendiri adalah satu laporan resmi Kerajaan yang ditandatangani oleh setiap seorang daripada pembikinnya, malahan di-perkenankan pula oleh Yang Di-Pertuan Agong.

18. Dalam perkara beberapa Pegawai SPRM memberi atau mereka keterangan palsu dalam prosiding Suruhajaya ini,saya berpendapat Peguam Negara TS Gani Patail, berada dalam situasi beliau tidak berupaya untuk melaksanakan kuasa dan tanggungjawab beliau secara adil, berkecuali dan saksama. Ini adalah kerana beliau sendiri terlibat dalam mereka keterangan palsu yang disiasat dan kemudiannya dibersihkan pula oleh SPRM.

18.1. Sekiranya beliau mengambil keputusan untuk mendakwa Pegawai-Pegawai SPRM itu kerana memberi atau mereka keterangan palsu, maka persoalan yang akan timbul ialah bagaimana pula halnya dengan kes mereka keterangan palsu terhadap beliau sendiri. Besar kemungkinannya ada pihak dalam SPRM yang akan membangkitkan isu ini semula.

18.2. Sekiranya pula TS Gani Patail gagal atau enggan mengenakan apa apa pendakwaan terhadap Pegawai-Pegawai SPRM yang terlibat itu,maka akan memperlihatkan beliau menentang keputusan dan/atau penemuan Suruhanjaya James Foong dan sekaligus membuka floodgate untuk Laporan Suruhanjaya tersebut dicabar.

18.3. Begitu juga keadaanya bagi SPRM.Sekiranya Jabatan itu enggan mendakwa Pegawai-Pegawai mereka kerana memberi atau mereka keterangan palsu sepertimana keputusan Suruhanjaya, maka akan menyulitkan mereka untuk mengambil tindakan sedemikian terhadap pesalah lain.

18.4. Begitu juga sekiranya SPRM enggan mengiktiraf keputusan Suruhanjaya terhadap Pegawai-Pegawai mereka sedemikian itu, maka SPRM juga terpaksa tidak mengiktiraf keputusan Suruhanjaya berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

19. Apapun, saya terpaksa menyatakan bahawa kecelaruan dalam kes kematian Teoh Beng Hock ini mungkin dapat dielakkan sekiranya Polis telah melaksanakan tugas siasatan dengan teliti dan berkecuali.Perbuatan pembohongan,pemalsuan dan perbuatan “cover-up” oleh beberapa orang Pegawai SPRM seperti yang berjaya dikesan dan dilaporkan oleh Suruhanjaya tersebut, sepatutnya telah dapat dikesan oleh penyiasat Polis diperingkat awal siasatan lagi. Malahan PDRM mempunyai kepakaran dan kecekapan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes-kes yang lebih complicated daripada kes kematian Teoh Beng Hock itu,sekiranya PDRM bertindak secara professional.

19.1. Bagi saya,perbuatan membawa masuk “suicide note” disaat-saat akhir Inkues, adalah suatu kesilapan besar yang telah memusnahkan sama sekali kredibiliti Peguam Negara dan Polis dalam menangani siasatan insiden ini.

19.2. Diharap kesilapan yang telah berlaku dalam penyiasatan kes Teoh Beng Hock ini sama ada disengajakan atau sebaliknya akan menjadi pengajaran yang berguna kepada Penyiasat-Penyiasat baru dalam Pasukan.Semoga mereka sedar bahawa sebarang perbuatan mereka keterangan palsu dan percubaan “cover-up” lambat laun akan terbongkar juga.Mereka wajar dinasihatkan untuk menerima hakikat bahawa “its always better to disclose than to be discovered”. Satu pemalsuan tidak boleh ditutup walaupun dengan seratus pemalsuan yang lain.

20. Akhirkata, saya masih meletakkan keyakinan kepada Tan Sri dan pucuk pimpinan tertinggi PDRM dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan kali ini dan sebelumnya, secara adil dan bijaksana serta berlandaskan Peraturan Undang-Undang. Apapun PDRM tidak boleh dilihat sama sekali sebagai mengenepikan Laporan Suruhanjaya Di-Raja, oleh kerana pebuatan seumpama itu boleh ditafsirkan sebagai menghina Titah SPB Yang Di-Pertuan Agong.

Selamat sejahtera dan selamat menyambut bulan Ramadhan Al’Mubarak.

Terima kasih.

Yang benar,

(Mat Zain bin Ibrahim)
26.07.2011

  1. #1 by k1980 on Tuesday, 26 July 2011 - 4:39 pm

    For the coming 13GE ceramahs, prepare banners and posters with the following question addressed to James Foong—

    You aggressively, relentlessly, oppressively and unscrupulously harassed and chased after a cat on the 14th floor of your building, causing it to jump & died on the ground floor. And you say the cat committed suicide?

    Guarantee these banners will win at least 30 more seats for Pakatan Rakyat

  2. #2 by PRmaju on Tuesday, 26 July 2011 - 8:47 pm

    How come this guy is not the IGP ?

  3. #3 by tak tahan on Tuesday, 26 July 2011 - 10:35 pm

    Nazri should answer this(Mat Zain’s open letter regards TBH RCI) point by point then only he is eligible to debate with LKS.Otherwise he can go fly kite.

You must be logged in to post a comment.