Majlis pelancaran Misi Palestin: Mat Sabu tidak dibenar berpidato


By Fazy Sahir
June 19, 2011 | Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak mengambil alih misi kemanusiaan rakyat Palestin dalam majlis yang dilancarkan malam tadi.

Ini berikutan beliau dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Pakatan Rakyat digugurkan dari menyertai majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia itu.

Mat Sabu yang dijadualkan menyampaikan pidato dalam majlis pelancaran itu malam tadi di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras telah digugurkan daripada berbuat demikian.

Beliau hanya diberitahu oleh pihak penganjur bahawa ucapannya dibatalkan awal pagi semalam dan membuat keputusan untuk tidak hadir dalam majlis tersebut.

Mat Sabu dijadual menghadiri program itu bagi menggantikan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Isu Palestin isu bersama

“Sebenarnya, saya rasa amat gembira kerana dapat bersama Perdana Menteri dan NGO lain sebab isu Palestin adalah isu bersama dan kita perlu membela rakyat Palestin yang tertindas.

“Saya juga diberitahu akan berucap selama 10 minit bersama wakil NGO lain sebelum Perdana Menteri menyampaikan ucapan.

PAS memutuskan bahawa isu Palestin adalah isu bersama namun pada pagi kelmarin saya diberitahu ucapan saya dan NGO lain dibatalkan…..hanya Perdana Menteri yang akan berucap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Acara pidato yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada pelancaran program itu yang turut menampilkan Mohamad dibatalkan, dipercayai mendapat tekanan Pejabat Perdana Menteri.

Selain Mohamad, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga dijemput untuk menyampaikan pidato yang menyentuh isu Palestin.

Menurut Mat Sabu, beliau terkilan apabila mengetahui Umno bersama NGO, Aman Malaysia mengambil alih keseluruhan program itu.

Keadilan untuk rakyat Palestin

Beliau yang mesra dipanggil ‘Mat Sabu’ menyifatkan program sepatutnya menjadi platform menuntut keadilan bagi rakyat Palestin dan bukan bermotifkan politik.

“Kita tiada masalah sama ada berucap atau tidak tapi ada perkara yang tidak diingini apabila saya difahamkan program yang dianjurkan malam tadi seolah-olah diambil alih Umno dan Aman Malaysia.

“Kita mendapati seolah-olah Umno dan Aman Malaysia mahu memonopoli dan mengetepikan parti politik dan NGO pro pembangkang,” katanya.

Aman Malaysia adalah NGO di bawah Umno yang diwujudkan menghantar bantuan makanan dan barang keperluan ke negara-negara yang berdepan dengan bencana alam.

“Saya juga difahamkan beberapa NGO telah menarik diri daripada menyertai misi ini, Umno dan Aman Malaysia nak memonopoli dan ia sepatutnya tidak berlaku atas dasar bersama,” katanya.

“Program itu menjadi gerak Umno untuk membela rakyat Gaza dan Palestin, saya juga telah dihubungi Khalid Samad yang juga salah seorang peserta dan kini sedang membuat pertimbangan sama ada mahu
tarik diri atau tidak,” katanya.

Selain Khalid, Khairy dan 10 rakyat Malaysia lain termasuk dua wakil media akan menyertai misi itu.

  1. #1 by k1980 on Sunday, 19 June 2011 - 4:08 pm

    During the ceramahs for the coming 13GE, whenever jib is about to speak, just ask Mat Sabu to show his rotund, smiling face and Jib would hurriedly leave without a word. umno is doomed…..

You must be logged in to post a comment.